Berita Harian, 14 Julai 1995, halaman 10

 

Siapa sebenarnya anti-Quran
Oleh Wadan Kassim

"TUNJUKKANLAH kami jalan yang lurus" adalah suatu permintaan yang sering kita ulangi setiap kali kita membaca al-Fatihah. Seterusnya Allah beri jawapan permintaan kita iaitu dalam surah Lembu yang berikutnya: "Kitab itu (al-Quran), di dalamnya tiada keraguan, petunjuk bagi orang takwa (takut kepada Tuhan)." - (Q. 2:2).

Walaupun kedua-dua ayat itu selalu dibaca oleh orang yang mengaku Islam, umumnya mereka tidak dapat pengajaran daripada ayat itu kerana mereka tidak faham al-Quran dalam bahasa Arab. Dalam keadaan begini, kedatangan sebuah terjemahan al-Quran seperti buku Bacaan oleh Othman Ali sepatutnya sangat dialu-alukan. Malangnya ia ditentang kuat oleh golongan yang lebih gembira jika al-Quran itu terus dianggap sebagai syair yang sudah mencakup setakat dilagu-lagukan saja, tanpa dipelajari kandungannya.

Al-Quran sebagai petunjuk adalah al-Quran dalam bahasa yang boleh difahami oleh pembacanya dan al-Quran sebagai syair ialah al-Quran dalam bahasa Arab yang seperti lazimnya dibaca berlagu-lagu. Buku bacaan yang tidak memuatkan ayat asal dalam bahasa Arab tidak bermanfaat bagi mereka yang inginkan al-Quran terus kekal sebagai syair. Yang lebih membimbangkan golongan itu ialah umat Islam akan mengetahui ajaran al-Quran sebenarnya. Akibatnya kedudukan mereka akan tergugat. Alasan mereka bahawa buku Bacaan boleh mengelirukan pembacanya terhadap maksud asal ayat yang berkaitan adalah palsu dan tidak berasas.

Dalam terjemahan al-Quran yang disertakan dengan ayat asal dalam bahasa Arab pun ada didapati kekeliruan terjemahan dan penyelewengan yang diselitkan dengan tambahan kata-kata yang tidak wujud dalam ayat asalnya. Orang yang tidak tahu bahasa Arab tentu akan dikelirukan oleh terjemahan itu.

Tiada siapa pun boleh dakwa terjemahannya adalah betul tepat seperti maksud ayat asalnya dalam al-Quran. Tetapi buku Bacaan boleh dikira sebagai sebuah terjemahan yang baik, lebih tepat dan tidak ditambah-tambah dengan sebarang kata-kata yang tidak wujud di dalam ayat-ayat asalnya. Bacaan tidak akan merosakkan akidah dan iman seseorang, bahkan akan lebih memperkuatkannya lagi. Dengan tinggalkan ayat asal dalam bahasa Arab, buku Bacaan adalah kecil dan mudah untuk dibawa ke mana-mana. Namun demikian, ia dicetak dengan huruf-huruf kasar yang tidak memenatkan mata membacanya.

Masalah yang menimpa umat Islam hari ini adalah berpunca daripada kejahilan mereka terhadap petunjuk al-Quran. Kejahilan ini tidak dapat dihapuskan kerana adanya golongan yang menentang dan merendah-rendahkan sesiapa saja yang cuba menarik manusia untuk mengetahui isi al-Quran. Golongan ini menggelar orang yang sebenar-benarnya mengikut al-Quran sebagai antihadis dan sebagainya, tanpa sedari bahawa dengan perbuatan begitu mereka jadi anti-Quran. Golongan anti-Quran ini bersungguh-sungguh memaksa orang lain mengikut mereka yang berpandukan kitab selain daripada al-Quran. Dengan itu, mereka percaya bahawa Nabi Muhammad pernah berguru kepada raja iblis yang mengajarnya suatu doa. Mungkin kerana pengaruh ajaran sesat itu, golongan ini bersikap angkuh, suka mencemuh dan hanya tahu menghukum. Tidak ada dalam diri mereka nilai-nilai baik yang bersifat ingin mendidik dengan cara yang baik. Mereka tidak menerima ayat al-Quran, misalnya ayat berikut:

Seperti yang diberitakan, RM13 juta wang rakyat digunakan tahun ini hanya untuk pelajar negeri Kelantan saja yang di peringkat darjah enam ke bawah supaya mereka mahir melagu-lagukan al-Quran sebagai syair. Wang RM13 juta itu tentunya akan masuk ke dalam saku guru-guru syair. Dalam hal ini al-Quran mengatakan: "Wahai orang beriman, sesungguhnya kebanyakan pendita-pendita dan alim ulama itu, memakan harta manusia dengan cara yang palsu (batil), dan mereka menghalang orang daripada jalan Allah." - (Q. 9:34).

Apabila umat dihalang daripada jalan Allah (petunjuk al-Quran), mereka akan mudah ditipu. Mereka akan percayai apa saja yang dikatakan oleh pendita-pendita dan alim ulama mereka. Di akhirat kelak mereka akan menyesal sebagai yang diterangkan al-Quran: "Kecelakaan besarlah bagiku; sepatutnya aku tidak menjadikan si polan itu teman akrab. Sesungguhnya dia sesatkan aku daripada al-Quran, ketika al-Quran itu datang kepadaku." - (Q. 25:28-29).

"Dan mereka berkata: Wahai Tuhan kami, sesungguhnya kami mentaati pemimpin-pemimpin (guru/ustaz) kami dan pembesar kami lalu mereka sesatkan kami dari jalan." - (Q. 33:67).

Apabila umat sudah mempelajari al-Quran, ulama akan kehilangan pengaruh dan fungsi mereka. Agama tidak akan jadi punca rezeki yang lumayan lagi. Al-Quran mengatakan: "Adakah engkau meminta upah kepada mereka? Maka upah Tuhanmu lebih baik dan Dia sebaik-baik yang beri rezeki." - (Q. 23:72).

"Ikutlah orang yang tidak minta upah kepadamu, dan mereka adalah orang yang dapat petunjuk." - (Q. 36:21).

Mungkin sudah hampir masanya sekarang al-Quran itu akan kembali sebagai petunjuk dan tidak lagi sebagai syair.

 


Halaman Utama  Terkini  Perpustakaan  Artikel  Bacaan  E-Mail  Hiasan  Kalimat Pilihan
Keratan Akhbar  Penemuan  Soalan Lazim  Sudut Pelajar  English Articles

Tulis kepada Pengurus Laman