Sepuluh Soalan
(Download artikel ini di sini)
Seorang mahasiswa peringkat ijazah sarjana dari Akademi Islam sebuah universiti tempatan telah bertemubual dengan saya untuk mendapatkan maklumat demi mengisi tesisnya yang bertajuk “Anti Hadis dan inkar Sunnah; Satu Kajian Perbandingan (Komparatif) antara Malaysia dan Indonesia.” Antara lain, dia telah sampaikan 10 soalan yang dikatakan datang daripada profesornya. Soalan-soalan itu dicatat di bawah tajuk “Materi Wawancara”, yang disalin di bawah ini seperti kandungan asalnya.
1. Bagaimana pandangan tuan terhadap istilah Hadis?
2. Betulkah tuan adalah diantara orang yang selalu mempertikaikan Hadis Nabi? dan apakah usaha itu dalam kerangka untuk mempersoalkan kesahihan sesebuah Hadis atau untuk menolak kehujjahannya?
3. Apakah misi tuan dalam mempertikaikan Hadis?, betulkah kerana tuan menganggap bahawa kesempurnaan Al-Quran tidak perlu penjelasan lain, termasuk penjelasan Sunnah Nabi? Ataukah pandangan tuan itu kerana membawa misi untuk kepentingan lain?
4. Kalau tuan menganggap kesempurnaan Al-Quran tidak perlu dengan penjelasan yang lain, bagaimana dengan peranan Nabi dan peranan ummahnya dalam menjelaskan Al-Quran?, kemudian siapa orangnya yang berhak beri penjelasan terhadap sebahagian ayat Al-Quran yang petunjuknya masih bersifat umum, seperti dalam perintah kerjakan sembahyang, tatacara zakat, kaifiyat haji atau yang lainnya?
5. Bagaimana pandangan tuan dalam menganalisis beberapa persoalan yang di kaitkan dengan Hadis, padahal yang sebenarnya adalah Hadis palsu, atau setelah di analisis berdasarkan kajian Ilmu Hadis, Hadis itu benar-benar bersumber kepada Nabi s.a.w.?
6. Bagaimana pandangan tuan dalam memahami ayat-ayat Al-Quran yang maksudnya merupakan suruhan kepada ummah Islam untuk ikut Nabi s.a.w.?
7. Kalau ada anggapan bahawa tugas Nabi s.a.w. hanya sampaikan Al-Quran, bagaimana fungsi dan peranannya dalam membawa misi Tuhan?
8. Sejauhmana pandangan tuan terhadap para kelompok yang dikategorikan sebagai penolak Hadis, sejak kelompok Mu'tazilah (menurut Imam Syafi'i) dan tokoh-tokoh lain di dunia, termasuk di Malaysia dan di Indonesia.
9. Sejauhmana pandangan tuan dalam memahami seluk beluk sejarah perkembangan Hadis Nabi s.a.w.?
10. Bagaimana pandangan tuan dalam menyaksikan gerakan yang di katagorikan menolak Hadis, khususnya dalam perbandingannya di Malaysia dan di Indonesia?
Jawapan kepada semua soalan di atas telah dihantar kepadanya dan juga kepada profesor yang berlkaitan.
Jawapan kepada soalan-soalan di dalam Materi Wawancara
Bagaimana pandangan tuan terhadap istilah Hadis?
Jawapan saya:
1.1 - Sebelum menjawab soalan ini, terlebih dahulu saya menyatakan iaitu saya akan guna beberapa perkataan atau istilah yang tidak biasa, atau jarang, diguna di dalam penulisan mengenai agama Islam.
1.2 - Sebagai contoh yang pertama ialah perkataan "habr". Perkataan ini adalah suatu kalimat Arab yang terkandung di dalam Al-Qur'an, seperti yang terdapat di dalam ayat-ayat 5:44, 5:63, 9:34 dan 9:31. Saya pakai kata ini untuk mengganti kata "ulama" yang kini lazim diguna untuk bermaksudkan orang-orang yang dianggap ahli atau pakar dalam pengetahuan agama Islam.
1.3 - Dan kedua, ialah istilah "Islam-Sunni" atau "Islam-Syiah", dan sebagainya. Istilah ini sengaja saya wujudkan demi untuk bezakan beberapa fahaman yang berlainan serta hidup di dalam dunia Islam pada hari ini.
1.4 - Mungkin terdapat lagi kata atau istilah saya yang lain yang tidak serupa dengan penggunaan umum. Sekiranya ada maka istilah itu akan dijelaskan apabila ia disebut nanti.
1.5 - balik kepada soalan 1 yang telah disebut (Bagaimana pandangan tuan terhadap istilah Hadis?). untuk menjelaskannya saya merujuk kepada penggunaan kata Hadis oleh Pencipta bahasa Arab itu sendiri, iaitu Allah, Tuhan kita yang satu. Dia banyak sekali menggunakan kata Hadis di dalam Kitab-Nya, Al-Qur'an. Justeru, Nabi juga telah menggunakannya dengan luas, dengan pengertian seperti mana yang Allah mengertikan.
1.6 - Seperti perkataan-perkataan lain di dalam Al-Qur'an, perkataan Hadis juga terdapat di dalam kamus Arab. Sesungguhnya segala perkataan di dalam Al-Qur'an boleh didapati di dalam kamus Arab, dan juga lexicon serta concordance. Bagi hamba-hamba Allah yang tidak fasih bahasa Arab mereka merujuk kepada kamus-kamus atau lexicon dan concordance yang berdwibahasa untuk mendapatkan makna atau pengertian bagi tiap-tiap perkataan di dalam Al-Qur'an. Maka tiap-tiap perkataan Allah boleh diketahui maknanya.
1.7 - Sayugia diingat bahawa bahasa Arab Al-Qur'an itu jelas menurut Allah di dalam ayat 26:195, dan Kitab itu pula sengaja diadakan-Nya dalam bahasa Arab supaya ia mudah difahami (12:2 dan 43:3).
1.8 - Selain daripada kamus dan bahan rujukan yang telah dimaklumkan, makna bagi sesuatu perkataan Al-Qur'an boleh juga dijelaskan melalui pelbagai terjemahan Al-Qur'an.
1.9 - Justeru, kata Hadis boleh diketahui maknanya dalam bahasa Melayu melalui terjemahan-terjemahan Al-Qur'an oleh tokoh-tokoh seperti M. Said, H. Zainuddin Hamidy & Fachruddin Hs., Prof. Dr. H. Mahmud Yunus, dan A. Hassan. Tidak ketinggalan ialah terjemahan oleh Yayasan Penyelenggara Penterjemah/Pentafsiran Al Qur'aan, dan dari TNI Angkatan Darat, yang kedua-duanya datang dari sebuah negara jiran.
1.10 - Untuk mengetahui makna Hadis seperti yang saya fahamkan disenaraikan di bawah ini 19 daripada terjemahan ayat-ayat Al-Qur'an yang mengandungi kata tersebut. Maknanya diselitkan di dalam kurungan. Ia adalah buah pemikiran tokoh-tokoh dalam penterjemahan yang telah disebut, dan didapati pula tidak berbeza dengan pengertian yang terkandung di dalam kamus. Ayat-ayat yang dimaksudkan tadi adalah:
1.10.1 - "Pada hari itu orang-orang tidak percaya, orang-orang yang ingkari Rasul, akan inginkan supaya bumi didatarkan dengan mereka; dan mereka tidak akan sembunyikan daripada Allah sesuatu HADIS (perkataan, kejadian)" (4:42).
(ulasan: Semua tokoh sepakat menggunakan kata "perkataan" bagi hadis di dalam ayat di atas, melainkan badan Yayasan Penyelenggara Penterjemah/Pentafsiran Al Qur'aan, Indonesia, yang guna perkataan "kejadian".)
1.10.2 - "Di mana sahaja kamu berada, kematian akan dapatkan kamu, walaupun kamu berada di dalam menara-menara yang dibangunkan. Jika yang baik timpa mereka, mereka berkata, 'Ini daripada Allah'; tetapi jika yang buruk timpa mereka, mereka berkata, 'Ini daripada kamu.' Katakanlah, 'Semuanya daripada Allah.' Bagaimanakah dengan kaum ini? Mereka hampir-hampir tidak faham sebarang HADIS (perkataan, bicara, kejadian)" (4:78).
1.10.3 - "Allah, tidak ada tuhan melainkan Dia. Dia pasti akan kumpulkan kamu pada Hari Kiamat, yang tidak ada keraguan padanya. Dan siapakah lebih benar HADISNYA (perkataannya, omongannya) daripada Allah?" (4:87).
1.10.4 - "Dia turunkan kepada kamu di dalam Kitab, 'Apabila kamu dengar ayat-ayat Allah dinafikan, dan diperolok-olokkan, janganlah duduk bersama mereka sehingga mereka terjun pada HADIS (bicara, omongan, perkataan) yang lain; jika tidak, kamu adalah serupa dengan mereka.' Allah akan kumpulkan orang-orang munafik, dan orang-orang tidak percaya, kesemuanya di dalam Jahanam" (4:140).
1.10.5 - "Tidakkah mereka renungkan dominion langit dan bumi, dan apa sahaja yang Allah cipta, dan boleh jadi tempoh mereka sudah dekat? Maka dengan HADIS (berita, keterangan, perkataan, omongan) apakah yang mereka, sesudah ini, akan percayai?" (7:185).
1.10.6 - "Begitulah Pemelihara kamu memilih kamu, dan Dia ajar kamu interpretasi HADIS (mimpi), dan Dia akan sempurnakan rahmat-Nya ke atas kamu, dan ke atas keluarga Yaakub, sebagaimana Dia sempurnakan sebelum itu ke atas kedua bapa-bapa kamu, Ibrahim dan Ishak; sesungguhnya Pemelihara kamu Mengetahui, Bijaksana" (12:6).
1.10.7 - "Sesungguhnya dalam cerita-cerita mereka adalah pelajaran bagi orang-orang empunya minda; ia bukanlah HADIS (cerita, omongan, hal, perkhabaran) yang diadakan, tetapi satu pengesahan bagi apa yang sebelumnya, dan penjelasan bagi segala sesuatu, dan petunjuk, dan pengasihan, bagi kaum yang percayai" (12:111).
1.10.8 - "Boleh jadi, jika mereka tidak percayai HADIS ini, kamu binasakan diri kamu dengan kesedihan kerana mereka" (18:6).
(ulasan: Hadis di sini bermaksud Al-Qur'an.)
1.10.9 - "Sudahkah datang kepada kamu HADIS (kisah, ceritera, berita, cerita) Musa?" (20:9).
1.10.10 - "Kemudian Kami utus Rasul-Rasul Kami berturut-turut. Setiap kali Rasulnya datang kepada satu umat, mereka dustakannya, maka Kami jadikan sebahagian mereka mengikuti sebahagian yang lain, dan Kami buat mereka HADIS (warta berita, sejarah, cerita, buah mulut, buah tutur); maka nyahlah kaum yang tidak percayai!" (23:44).
1.10.11 - "Antara manusia, ada yang membeli HADIS (perkataan, omongan, cerita, berita) yang menghiburkan untuk menyesatkan daripada jalan Allah tanpa pengetahuan, dan untuk mengambilnya dalam olok-olokan; mereka itu, bagi mereka, azab yang hina" (31:6).
1.10.12 - "Wahai orang-orang yang percaya, janganlah kamu masuk rumah-rumah Nabi, kecuali diizinkan kepada kamu untuk makan, tanpa menanti-nanti akan masanya. Tetapi jika kamu diseru (diundang), maka masuklah; dan apabila kamu sudah selesai makan, bertaburlah, dan jangan berpanjangan dalam HADIS (percakapan [omong kosong], mengobrol, percakapan, omong-omong); itu menyakiti Nabi, dan dia malu pada kamu; tetapi Allah tidak malu pada yang benar" (33:53).
1.10.13 - "Allah turunkan HADIS (perkataan, berita) yang paling baik sebagai sebuah Kitab, yang serupa dalam pengulangannya, dengannya digentarkan kulit orang-orang yang takut kepada Pemelihara mereka; kemudian kulit mereka dan hati mereka jadi lembut pada Peringatan Allah. Itu petunjuk Allah, dengannya Dia beri petunjuk kepada sesiapa Dia hendaki; dan sesiapa Allah sesatkan, maka tidak ada baginya yang beri petunjuk" (39:23).
1.10.14 - "Ini adalah ayat-ayat Allah yang Kami bacakan kamu dengan benar; maka dengan HADIS (perkataan, keterangan, omongan) apakah, sesudah Allah dan ayat-ayat-Nya, yang mereka akan percayai?" (45:6).
1.10.15 - "Kemudian hendaklah mereka datangkan satu HADIS (rangkaian, berita, kalimat, gubahan, perkataan) yang serupa dengannya (Al-Qur'an), jika mereka berkata benar" (52:34).
1.10.16 - "Maka adakah kamu berasa hairan dengan HADIS (berita, berita [Al Quran], bacaan, pemberitaan, pernyataan) ini, dan kamu ketawa, dan kamu tidak menangis" (53:59-60).
1.10.17 - "Apa, adakah kamu anggap HADIS ini rendah?" (56:81).
(ulasan: Sekali lagi Hadis bermaksud Al-Qur'an)
1.10.18 - "Dan apabila Nabi beritahu secara rahsia kepada seorang daripada isteri-isterinya mengenai sesuatu HADIS (berita, peristiwa, omongan); dan kemudian, apabila dia (isteri) beritahukannya, dan Allah beritahunya kepada dia (Nabi), dia (Nabi) beritahu sebahagian daripadanya, dan memalingkan sebahagian daripadanya; kemudian, apabila dia beritahunya (isteri) daripadanya, dia (isteri) berkata, 'Siapakah yang beritahu ini kepada kamu?' Dia berkata, 'Aku diberitahu oleh Yang Mengetahui, Yang Menyedari'" (66:3).
1.10.19 - "Maka tinggalkanlah Aku bersama orang yang dustakan HADIS ini! Kami akan tarik mereka sedikit demi sedikit dari arah yang mereka tidak tahu" (68:44).
(ulasan: Dan lagi kata hadis bermaksud Kitab Al-Qur'an)
1.11 - Oleh yang demikian, saya memahami kata hadis daripada bahasa Arab Tuhan di dalam Al-Qur'an seperti bermaksud yang berikut:
perkataan, bicara, kejadian, omongan, berita, keterangan, mimpi, cerita, hal, perkhabaran, kisah, kalimat, ceritera, warta berita, sejarah, buah mulut, buah tutur, omong kosong, mengobrol, percakapan, bacaan, pemberitaan, pernyataan, peristiwa, rangkaian, gubahan, dan AL-QUR'AN.
Saya juga sedari bahawa kepelbagaian maksud bagi kalimat Hadis adalah berdasarkan konteks pada ayat atau ayat-ayat di mana ia disebut.
1.12 - Ingin juga saya menegaskan di sini iaitu kalimat "Hadis Nabi" yang lantang disebut di dalam dunia Islam pada hari ini tidak disebut langsung di dalam Kitab Allah. Lantas, saya berpendapat kalimat itu adalah hanya rekaan para habr Islam-Sunni dan Islam-Syiah.
1.13 - Pada fahaman Islam-Sunni dan Islam-Syiah kata Hadis Nabi senyawa dengan kata Sunnah Nabi atau Sunnah Rasul. Sehubungan itu saya telah buat sedikit komen di dalam artikel saya berjudul "Debu dalam Suci" yang ditulis beberapa tahun yang lalu bertujuan khas untuk menjawab sebuah buku kecil hasil tulisan seorang habr di Malaysia, yang turut menganggotai Majlis Fatwa Kebangsaan, bernama Mohd.Nakhaie Haji Ahmad. Karyanya berjudul "Anti Hadith: Lemas Dalam Sejengkal Air", terbitan Bahagian Hal Ehwal Islam (BAHEIS yang kini dikenali sebagai JAKIM). Buku ini telah diedar kepada orang ramai pada hari sambutan Maal Hijrah 1417 (1996).
1.14 - Saya petik dua perenggan yang terakhir daripada "Debu dalam Suci":
(Petikan bermula di sini)
"Perkataan sunnah dan hadith memang wujud di dalam Al-Qur'an. Akan tetapi, pengertiannya (yang datang daripada Allah) adalah berbeza daripada pengertian ulama, seperti Imam al-Syafi'i. Ulama Mohd. Nakhaie mengaku ini adalah benar. Katanya, "Tidak dinafikan penggunaan perkataan sunnah di dalam al-Qur'an merujuk kepada suatu perjalanan alam, adat resam dan lain-lain. Demikianlah juga perkataan hadith di dalam al-Qur'an dimaksudkan bicara pada umumnya," (muka 14).
Mengapa pula tidak diikuti pengertian daripada Allah yang mencipta bahasa Arab itu sendiri? Dari manakah datang pengertian yang baru itu, yang akhirnya melahirkan ajaran Sunnah Rasul atau Hadith Nabi? Mengapa pula manusia diberhalakan dalam agama?"
(Petikan berakhir di sini)
Betulkah tuan adalah di antara orang yang selalu mempertikaikan Hadis Nabi? dan apakah usaha itu dalam kerangka untuk mempersoalkan kesahihan sesebuah Hadis atau untuk menolak kehujjahannya?
Jawapan saya:
2.1 - Selalu? Tidak, tidak betul sama sekali sekiranya ada orang mengatakan saya selalu mempertikaikan ajaran habr Islam-Sunni yang dikenali sebagai Hadis Nabi. Kata-kata itu diwarnai fitnahan.
2.2 - Perkataan "selalu", menurut Kamus Dewan, bermakna sentiasa, selamanya, sepanjang masa, kerap benar, atau acapkali. Sebenarnya saya sentiasa, atau selamanya, atau sepanjang masa, atau kerap benar, atau acapkali berusaha untuk menegakkan, atau hidupkan ajaran Allah yang terkandung di dalam Al-Qur'an. Tugas inilah yang saya pilih untuk menjadi prioriti bagi diri saya.
2.3 - Ia jadi prioriti kerana saya dapati kebanyakan orang tidak membaca Al-Qur'an dengan ketahui makna ayat-ayatnya. Apatah lagi untuk menghidupkannya!
2.4 - Bukankah keutamaan Rasul kita menegakkan Al-Qur'an? Bukankah Rasul ini juga yang akan merungut di hadapan Allah pada hari akhirat kelak kerana orang tidak mempedulikan Al-Qur'an? Hanya kitab Al-Qur'an disebutnya. Sungutan baginda berbunyi "Wahai Pemeliharaku, sesungguhnya kaumku mengambil al-Qur'an ini sebagai suatu yang tidak dipedulikan" (Al-Qur'an 25:30).
2.5 - Sebab utama ajaran Al-Qur'an tidak dipedulikan kerana adanya ajaran habr yang disucikan sendiri dengan nama Hadis Nabi. Namun, ajaran habr ini akan lenyap apabila ajaran Allah dihidupkan. Ia pasti lenyap apabila ayat-ayat Allah dihayati dengan penghayatan yang sebenar. Antara ayat-ayat-Nya yang akan melenyapkan ajaran Hadis Nabi anjuran habr Islam-Sunni adalah yang berikut:
2.5.1 - "Dan siapakah lebih benar HADIS-nya daripada Allah?" (4:87).
2.5.2 - "Maka dengan HADIS apakah yang mereka, sesudah ini (Al-Qur'an), akan percayai (beriman)?" (7:185).
2.5.3 - "Itu ayat-ayat Allah yang Kami bacakan kamu dengan benar; maka dengan HADIS apakah, sesudah Allah dan ayat-ayat-Nya, yang mereka akan percayai (beriman)?" (45:6).
2.5.4 - "Maka dengan HADIS apakah sesudah ini (Al-Qur'an) yang mereka akan percayai (beriman)?" (77:50).
2.6 - Jelaslah bagi orang-orang yang beriman kepada Allah dan ayat-ayat-Nya, serta ikut Rasul, bahawa hadis-hadis yang muncul selepas Al-Qur'an tidak boleh diterima pakai. Bagi mereka tidak perlu persoalan atau penghujahan para habr Islam-Sunni untuk mensahihkan Hadis Nabi ciptaan mereka. Cukuplah juga bagi mereka dengan hujah Allah, yang juga merupakan hujah Nabi, yang menyatakan "Siapakah yang lebih benar hadisnya (perkataannya) daripada Allah?" (4:87).
2.7 - Yang menjadi berat, atau kekangan, dalam tugas hidupkan ajaran Al-Qur'an adalah ketidakpercayaan orang ramai kepada kata-kata Allah. Sesungguhnya kebanyakan orang tidak percayai, seperti firman-Nya yang berbunyi "Walaupun kamu sangat inginkan, tetapi kebanyakan manusia tidak mukmin (percayai)" (12:103). Mungkin ini disebabkan kehadiran sistem berhabr dalam agama Islam-Sunni.
Apakah misi tuan dalam mempertikaikan Hadis?, betulkah kerana tuan menganggap bahawa kesempurnaan Al-Quran tidak perlu penjelasan lain, termasuk penjelasan Sunnah Nabi? Ataukah pandangan tuan itu kerana membawa misi untuk kepentingan lain?
Jawapan saya:
3.1 - Adalah tidak perlu bagi saya untuk mempertikaikan Hadis sehingga ia jadi suatu macam misi. Hadis akan gugur dengan sendirinya apabila Al-Qur'an dihayati. Misi yang saudara sebut itu berwajah negatif, lantas ia tidak jadi pilihan saya. Saya lebih cenderung kepada sesuatu yang bersifat positif seperti mendedahkan ajaran Al-Qur'an, atau sediakan bahan untuk memahaminya, atau menyeru sehingga Al-Qur'an jadi satu-satunya Kitab yang diterima pakai untuk petunjuk.
3.2 - Betul, memang saya anggap Al-Qur'an itu sempurna sebagai sebuah kitab yang beri petunjuk. Anggapan ini dikukuhkan dengan ayat-ayat Allah yang saya imani. Ayat-ayat yang saya maksudkan ialah:
3.2.1 - "... ia (Al-Qur'an) bukanlah hadis yang diada-adakan, tetapi satu pengesahan bagi apa yang sebelumnya, dan penjelasan bagi segala sesuatu, dan petunjuk, dan pengasihan, bagi kaum yang percayai" (12:111).
3.2.2 - "... Dan Kami turunkan kepada kamu al-Kitab (Al-Qur'an), penjelasan bagi segala sesuatu, dan petunjuk, dan pengasihan, dan sebagai berita gembira, bagi orang-orang muslim" (16:89).
3.2.3 - "... dan segala sesuatu Kami jelaskan dengan cukup jelas" (17:12).
Kata-kata Allah ini menjelaskan bahawa Al-Qur'an adalah suatu penjelasan bagi segala sesuatu, dan segala sesuatu pula, kata-Nya lagi, dijelaskan-Nya dengan cukup jelas. Ini sudah mencukupi bagi saya untuk buktikan bahawa Al-Qur'an itu sempurna, melainkan saya berkata Allah telah berdusta.
3.3 - Namun, terdapat segolongan besar orang yang mengaku beriman kepada Allah tetapi menganggap Al-Qur'an itu tidak sempurna dan memerlukan penjelasan lain seperti penjelasan Sunnah Nabi. Kata Sunnah Nabi atau Sunnah Rasul telah dipersoalkan semasa saya menjawab soalan 1 (sila lihat perenggan 1.14).
3.4 - Oleh kerana erti perkataan "sunnah" telah dibengkokkan oleh para habr Islam-Sunni, maka apa yang dikatakan Sunnah Nabi atau Sunnah Rasul adalah hanya suatu putar belit mereka dalam agama dengan kepentingannya yang tersendiri.
3.5 - Dakwaan mereka iaitu Sunnah Nabi atau Sunnah Rasul menjelaskan Al-Qur'an didapati tidak berasas. Saya telah membuktikannya di dalam karangan saya, "Debu dalam Suci", yang telah dimaklumkan. Izinkan saya buat satu lagi petikan daripadanya di sini:
(petikan bermula di sini)
"Tanpa sunnah Rasul, Mohd. Nakhaie bimbang perintah Allah tidak dapat difahami. Contoh yang diberinya ialah amalan membazir. Katanya, "Rasulullah s.a.w tahu apakah yang dikatakan membazir dan yang dikatakan tidak membazir. Bukankah cara Rasulullah s.a.w. berbelanja, cara Rasulullah s.a.w. mengendalikan urusan perbelanjaan dirinya dan keluarga itu, menjelaskan apa yang tidak dijelaskan oleh al-Qur'an mengenai amalan membazir dan tidak membazir" (muka 34). Kenyataan ulama ini adalah bohong ....
Membazir bererti "menggunakan sesuatu dengan berlebih-lebihan sehingga terbuang, memboroskan, membuang-buang," (Kamus Dewan, 1994). Kata Arabnya ialah "asrafa", tetapi pengertiannya menurut Al-Qur'an (iaitu seperti yang Nabi tahu), adalah lebih luas.
Pengetahuan Nabi mengenai amalan-amalan yang boleh jadi membazir adalah seperti yang berikut:
1. makanan, minuman, perhiasan (pakaian) di masjid (7:31),
2. pemberian makanan, seperti buah-buahan (6:141),
3. pemberian nafkah (25:67),
4. pembunuhan (5:32 dan 17:33),
5. buat kerosakan di bumi (26:151-152). Contoh-contoh kerosakan itu adalah seperti musnahkan tanaman dan anak-anak pokok (2:205), tidak membetulkan urusan anak yatim (2:220), mengurangkan sukatan dan timbangan (7:85), amalan sihir (10:81), mengingkari, sangkal, dan tidak percaya kepada ayat-ayat Allah (10:91, 27:14, 16:88), mencuri (12:73), dan kerosakan pada bandaraya-bandaraya yang ditawan (27:34).
6. amalan homoseksual (7:81),
7. melupakan kesusahan yang menimpa dan seruan yang telah dibuat kepada Allah (10:12),
8. melupakan ayat-ayat Allah (20:126-127),
9. ragu-ragu terhadap ayat-ayat Allah (40:34), dan
10. berdusta, seperti terhadap ayat-ayat Allah (40:28)."
(petikan berakhir di sini)
3.6 - Dengan adanya penjelasan yang cukup jelas daripada Al-Qur'an, maka gugurlah dakwaan habr tersebut tentang Sunnah Rasul yang "menjelaskan apa yang tidak dijelaskan oleh al-Qur'an mengenai amalan membazir dan tidak membazir". Sesungguhnya Sunnah Nabi atau Sunnah Rasul anjuran habr Islam-Sunni pasti gagal apabila ujian muktamad dengan ayat-ayat Al-Qur'an dilakukan ke atasnya.
3.7 - Dalam misi hidupkan Al-Qur'an tidak ada kepentingan untuk diri sendiri seperti dapat upah, atau ganjaran, atau pangkat, atau gelaran (umpamanya gelaran ulama, profesor, tok guru, sheikul dan sebagainya) yang menerima ganjaran. Demikianlah itulah rupa misi Nabi Muhammad dalam sampaikan agama Allah. Dia tidak minta upah, lantas tidak menerimanya sama sekali. Firman-Nya:
"Kamu tidak minta upah untuknya; ia tidak lain hanya peringatan bagi semua alam" (12:104).
3.8 - Manakala bagi orang yang meminta upah atau menerima gaji dalam sampaikan agama, maka apa yang disampaikannya adalah bukan petunjuk Allah kerana orang itu tidak diberi-Nya petunjuk. Inilah yang tersirat di dalam ayat yang berbunyi, "Ikutlah orang yang tidak minta upah kepada kamu, merekalah orang-orang yang dapat petunjuk yang benar" (36:21).
3.9 - Bagaimanakah pula dengan keadaan orang ramai yang telah membelanjakan dengan banyak orang-orang yang menerima upah atau gaji untuk mendapatkan ilmu agama mereka?
3.10 - Justeru itu, jawapan saya bagi bahagian terakhir di dalam soalan 3 ini ("Ataukah pandangan tuan itu kerana membawa misi untuk kepentingan lain?") ialah tidak - tidak ada kepentingan lain dalam misi hidupkan Al-Qur'an.
3.11 - Akhir kata di sini, saya ingin merakamkan rasa kesal saya terhadap soalan ini kerana ia datang daripada seorang profesor Akademi Islam dari sebuah universiti tempatan yang memikirkan perihal kepentingan lain di dalam sampaikan ajaran agama.
Kalau tuan menganggap kesempurnaan Al-Quran tidak perlu dengan penjelasan yang lain, bagaimana dengan peranan Nabi dan peranan ummahnya dalam menjelaskan Al-Quran?, kemudian siapa orangnya yang berhak beri penjelasan terhadap sebahagian ayat Al-Quran yang petunjuknya masih bersifat umum, seperti dalam perintah kerjakan sembahyang, tatacara zakat, kaifiyat haji atau yang lainnya?
Jawapan saya:
4.1 - Allah tidak menyebut di dalam Al-Qur'an bahawa Nabi atau ummahnya berperanan sebagai penjelas Al-Qur'an. Al-Qur'an sudah cukup jelas Kata-Nya. Malah, Al-Qur'an itu sendiri berfungsi sebagai penjelas. Lihat apa Kata-Nya di dalam ayat-ayat yang berikut:
4.1.1 - "Ini (Al-Qur'an) adalah penjelasan bagi manusia, dan satu petunjuk, dan satu teguran bagi orang-orang bertakwa (takut kepada Tuhan)" (3:138).
4.1.2 - "Maka Kami turunkan ayat-ayat yang menjelaskan; Allah beri petunjuk kepada sesiapa Dia hendaki pada jalan lurus" (24:46).
4.1.3 - "Seorang Rasul dengan membacakan kamu ayat-ayat Allah yang menjelaskan, supaya Dia keluarkan orang-orang yang percaya dan buat kerja-kerja baik dari kegelapan kepada cahaya" (65:11).
4.2 - Allah tidak memerlukan sesiapa di dalam Kerajaan-Nya, lantaran Dia tidak memerlukan sesiapa untuk menjelaskan Al-Qur'an-Nya. Dia mampu untuk berdiri sendiri, dan tentu mampu juga untuk menjelaskan petunjuk-Nya di dalam sebuah Kitab. Renungkanlah ayat-Nya yang berbunyi, "Kemudian atas Kamilah untuk menjelaskannya (Al-Qur'an)" (75:19).
4.3 - Yang mengatakan peranan Nabi menjelaskan Al-Qur'an adalah hanya habr Islam-Sunni. Allah tidak berkata begitu, dan tidak juga Nabi. Dari itu mereka (habr) telah pergi jauh daripada petunjuk Allah. Mereka pergi dengan lebih jauh lagi apabila dua lagi ayat Allah tidak dipercayainya. Ayat-ayat itu adalah:
4.3.1 - "Ketahuilah bahawa atas Rasul Kami hanyalah untuk sampaikan yang jelas (Al-Qur'an)" (5:92).
4.3.2 - "Adalah hanya atas Rasul untuk sampaikan yang jelas (Al-Qur'an)" (24:54).
Kedua-dua ayat ini menegaskan iaitu atas Rasul Allah hanyalah untuk sampaikan bukan untuk menjelaskan. Sayugia diingat bahawa ayat-ayat ini, dan ayat-ayat Al-Qur'an yang lain, telah keluar dari mulut Nabi sendiri setelah Allah wahyukan kepadanya. Ini adalah antara hadisnya yang sebenar.
4.4 - Seterusnya, saya menarik perhatian kepada kata-kata "petunjuknya masih bersifat umum" yang terkandung di dalam soalan 4 di atas. Dakwaan ini berat. Ia diutarakan kerana para habr Islam-Sunni terangkan amalan-amalan solat, zakat, haji, atau yang lain, yang dijelaskan Allah di dalam Al-Qur'an sebagai tidak sempurna. Oleh yang demikian mereka ubah, atau tambah, atau batalkan penjelasan Allah terhadap ibadah-ibadah tersebut. Mereka buat demikian dengan berhujahkan ajaran Hadis atau Sunnah Nabi. Mereka berlandaskan sesuatu yang tidak direstui Allah.
4.5 - Tidak dinafikan bahawa jumlah ayat di dalam Al-Qur'an mengenai ibadah-ibadah tersebut adalah banyak. Justeru, apa yang dikatakan-Nya mengenai solat di dalam Kitab-Nya, maka itulah cara bersolat yang sebenar, dan wajib dituruti orang-orang yang percayai-Nya. Begitulah seterusnya dengan ibadah haji dan zakat, dan yang lain. Itu yang sebenar, yang termaktub di dalam Al-Qur'an. Sesungguhnya Allah telah jelaskan semuanya dengan cukup jelas.
Bagaimana pandangan tuan dalam menganalisis beberapa persoalan yang dikaitkan dengan Hadis, padahal yang sebenarnya adalah Hadis palsu, atau setelah dianalisis berdasarkan kajian Ilmu Hadis, Hadis itu benar-benar bersumber kepada Nabi s.a.w.?
Jawapan Saya:
5.1 - Ilmu Hadis telah membawa orang pergi jauh daripada ayat-ayat Allah. Maka ia adalah ilmu yang tidak berguna.
5.2 - Lihatlah apa yang terjadi kepada habr-habr Islam-Sunni yang disebut di dalam siri jawapan ini. Pakar-pakar Ilmu Hadis ini kelihatan seperti tidak mengendahkan langsung ayat-ayat Allah.
5.3 - Setelah melihat bahaya pada Ilmu Hadis, saya jauhkan diri daripadanya dengan tidak fikirkan sama sekali, sama ada Hadis itu palsu atau benar. Palsu atau benar sesuatu Hadis itu adalah hanya pendapat sesuatu golongan yang berkepentingan. Misalnya, Hadis yang dikatakan benar oleh Islam-Sunni akan dianggap palsu oleh Islam-Syiah, dan begitulah sebaliknya.
5.4 - Persoalan mengenai Hadis meluas di dalam dunia Islam sehingga mercup dengan banyaknya kelompok-kelompok agama dengan Hadis pegangan masing-masing. Islam-Ahmadiyyah, Islam-Tabliq, Islam-Muhammadiah, Islam-Wahbi, dan Islam-Pas, adalah antara kelompok yang dimaksudkan. Perpecahan seperti ini merupakan satu lagi bahaya bagi umat.
5.5 - Andaikata Ilmu Hadis itu tidak diwujudkan maka umat tidak berpecah belah kerana berpegang hanya kepada sebuah Kitab. Kitab yang satu ini mampu untuk menyatukan seluruh umat. Setelah umat bersatu hati, amalan tuduh-menuduh, sesat-menyesat, atau kafir-mengkafir antara satu sama lain, tidak mungkin akan wujud, atau wujud dengan meluas seperti yang terdapat pada hari ini.
Bagaimana pandangan tuan dalam memahami ayat-ayat Al-Quran yang maksudnya merupakan suruhan kepada ummah Islam untuk ikut Nabi s.a.w.?
Jawapan saya:
6.1 - Ikut atau taat? Tidak mengapalah, kerana saya akan sentuh kedua-dua perkataan ini.
6.2 - Saya pilih perkataan "ikut" untuk huraian pertama. Saya dapati tidak ada suruhan secara lansung untuk ikut Nabi, di dalam Al-Qur'an, tidak seperti pada perkataan "taat". Namun begitu, saya tidak mengatakan bahawa Nabi tidak perlu diikuti. Saya cuma menepati sesuatu kata.
6.3 - Apakah yang dimaksudkan dengan ikut Rasul atau Nabi? Ayat yang berikut jelaskannya, iaitu dengan "percaya kepadanya, dan meneguhkannya, dan menolongnya, dan ikut cahaya (Al-Qur'an) yang diturunkan bersamanya." Itu yang dimaksudkan Allah, di dalam firman-Nya yang berbunyi:
"Orang-orang yang ikut Rasul, Nabi yang ummiy, yang mereka dapati tertulis dengan mereka di dalam Taurat dan Injil, yang menyuruh mereka pada yang baik, dan melarang mereka daripada yang mungkar, dan menghalalkan bagi mereka benda-benda yang baik, dan mengharamkan mereka yang buruk-buruk, dan membebaskan mereka daripada beban-beban mereka, dan belenggu-belenggu yang ada pada mereka. Maka orang-orang yang percaya kepadanya, dan teguhkannya, dan menolongnya, dan ikut cahaya yang diturunkan bersamanya; merekalah orang-orang beruntung" (7:157).
6.4 - Selain itu mereka yang ikut Nabi menyeru orang lain supaya kembali kepada Allah dengan "bukti-bukti yang nyata" (di dalam Kitab Allah ia ditujukan kepada Al-Qur'an). Firman-Nya:
"Katakanlah (Muhammad), 'Ini jalanku. Aku seru Allah dengan bukti-bukti yang nyata, aku dan sesiapa yang ikut aku. Kepada Allah sanjungan!'" (12:108).
6.5 - Lantas, orang-orang yang menyeru dengan kitab yang selain daripada Al-Qur'an adalah sebenarnya orang-orang yang tidak ikut Nabi. Akhirnya, bagi orang-orang yang ingin ikut Nabi, saya turunkan di sini lagi hadisnya yang sebenar, seperti yang diriwayatkan Allah di dalam Kitab-Nya yang memberi cahaya:
6.5.1 - "Katakanlah (Muhammad), 'Aku tidak minta kepada kamu upah untuknya, dan tidak juga aku termasuk orang-orang yang melakukan mengikut kehendak mereka sendiri. Ia (Al-Qur'an), tidak lain, melainkan Peringatan bagi semua alam,'" (38:86-87).
6.5.2 - "Katakanlah (Muhammad), 'Aku bukanlah yang baru antara Rasul-Rasul, dan aku tidak tahu apa yang akan diperbuatkan terhadapku, atau terhadap kamu. Aku hanya ikut apa yang diwahyukan kepadaku; aku hanyalah seorang pemberi amaran yang jelas'" (46:9).
6.6 - Daripada petikan "hadis Nabi" di atas, terdapat satu "sunnah Nabi" yang sebenar, iaitu dia tidak menerima upah untuk sampaikan Al-Qur'an, yang di dalamnya mengandungi ajaran agama Islam yang sebenar. Ikutlah teladannya yang mulia ini. Ikutlah juga yang lain yang terkandung di dalam kedua-dua ayat tersebut.
6.7 - Beralih kepada perkataan "taat" yang saya sengaja sebut walaupun tidak tercatat di dalam soalan 6. Perkataan ini penting kerana ia terkandung di dalam suruhan Allah berbunyi "taatlah kepada Allah, dan taatlah kepada Rasul". Daripada suruhan ini lahirlah Hadis Nabi atau Sunnah Nabi ciptaan habr Islam-Sunni.
6.8 - Sebenarnya kata-kata "taatlah kepada Allah, dan taatlah kepada Rasul" adalah hanya sebahagian daripada ayat. Kajian habr mengenainya didapati pula tidak menyeluruh. Sekiranya petikan atau kajian itu dibuat dengan menyeluruh maka tidaklah lahir Ilmu Hadis atau Sunnah Nabi beserta amalannya. Kalaulah ayat-ayat yang berikut dibaca sampai habis tentu tidak lahirlah ia (Hadis atau Sunnah Nabi):
6.8.1 - "Dan taatlah kepada Allah, dan taatlah kepada Rasul, dan berhati-hatilah. Jika kamu berpaling, ketahuilah bahawa atas Rasul Kami hanyalah untuk sampaikan yang jelas" (5:92).
6.8.2 - "Katakanlah (Muhammad), 'Taatlah kepada Allah, dan taatlah kepada Rasul; kemudian, jika kamu berpaling, hanyalah kepadanya apa yang dibebankan kepadanya, dan kepada kamu, apa yang dibebankan kepada kamu. Jika kamu taati dia, kamu akan dapat petunjuk. Adalah hanya atas Rasul untuk sampaikan yang jelas'" (24:54).
6.9 - Maka suruhan untuk mentaati Rasul bukanlah bererti mentaati Hadis atau Sunnah Nabi yang difahamkan habr Islam-Sunni. Jika ia (Hadis atau Sunnah Nabi) ditolak maka bukanlah Nabi yang ditolak, tetapi Bukhari, Muslim dan yang lain, yang memandai-mandai menulis apa yang tidak patut ditulisnya. Lagipun, Bukhari, Muslim dan yang serupa mereka bukanlah Rasul, dan tidak harus ditaati.
6.10 - Mentaati Rasul pula ada batasnya, iaitu selagi beliau tidak menyuruh yang tidak baik. Ini menurut firman-Nya yang berbunyi ".... dan tidak juga ingkari kamu (Muhammad) pada apa yang baik, maka terimalah janji setia mereka" (60:12). Oleh yang demikian apa yang tidak baik daripada Nabi hendaklah diingkari. Jangan pula berkata Nabi tidak buat sesuatu yang tidak baik. Bacalah Al-Qur'an untuk mengetahuinya.
Kalau ada anggapan bahawa tugas Nabi s.a.w. hanya sampaikan Al-Quran, bagaimana fungsi dan peranannya dalam membawa misi Tuhan?
Jawapan saya:
7.1 - Kalau ada anggapan?
7.2 - Ketahuilah bahawa Allahlah yang menetapkan tugas Nabi sebagai hanya sampaikan Al-Qur'an. Kalaulah Allah dipercayai tentulah soalan ini tidak timbul.
7.3 - Profesor agama Islam-Sunni yang mengajukan soalan di atas didapati pula seolah-olah tidak sedar bahawa tugas sampaikan Al-Qur'an bukanlah mudah, lagi tiada kesudahan. Tugas itu jadi lebih berat apabila Kitab tersebut perlu disampaikan kepada seluruh umat manusia.
7.4 - Seseorang penyampai Al-Qur'an harus fikirkan mengenai pendekatan atau strategi demi keberkesanan tugasnya. Maka dia, pada hari ini, selain daripada bersemuka dengan orang ramai, akan menggunakan saluran media cetak atau elektronik, termasuk internet, untuk meyampaikan mesej Allah yang terkandung di dalam Al-Qur'an. Mungkin dia tidak perlu merujuk kepada cara-cara orang zaman dahulu kala, termasuk cara Nabi sendiri, dalam sampaikan Al-Qur'an.
7.5 - Penyampai Al-Qur'an akan dikunjungi pelbagai soalan kerana maklumlah ia merupakan suatu yang baru serta mengejutkan. Sesungguhnya kandungan Al-Qur'an bukan sahaja jadi kejutan pada zaman Nabi tetapi berlanjutan hingga ke hari ini.
7.6 - Justeru, sebagai penyampai Al-Qur'an yang pertama dan utama, Nabi telah berperanan sebagai seorang pakar rujuk di mana dia jadi tempat bagi orang bertanya. Antara pertanyaan yang diterimanya (seperti yang diriwayatkan Allah di dalam Kitab Al-Qur'an) adalah mengenai bulan-bulan baru (2:189), nafkah (2:215), bulan haram dan berperang padanya (2:217), arak dan judi (2:219), anak yatim (2:220), haid (2:222), apa-apa yang dihalalkan (5:4), Kiamat (7:1870), rampasan perang (8:1), Roh (17:85), dan gunung-gunung (20:105). Ayat-ayat tersebut beri jawapannya juga.
7.7 - Huraian saya mengenai fungsi dan peranan Nabi diteruskan dengan memetik beberapa ayat Allah yang berkaitan, yang mengandungi kata "Nabi" pula. Izinkan saya menyusuli ayat-ayat tersebut dengan sedikit pandangan saya yang dimuatkan di dalam kurungan.
7.7.1 - Firman-Nya, "Manusia adalah umat yang satu, kemudian Allah bangkitkan Nabi-Nabi sebagai pemberi berita gembira dan pemberi amaran, dan Dia turunkan bersama mereka Kitab dengan yang benar untuk Dia hakimkan antara manusia mengenai apa yang mereka selisihkan" (2:213).
(Sebagai penyampai Al-Qur'an, Nabi adalah pemberi berita gembira dan pemberi amaran, kerana Al-Qur'an mengandungi berita gembira bagi orang-orang yang percayainya, dan amaran bagi orang-orang yang enggan percayainya.)
7.7.2 - Firman-Nya, "Tiadalah bagi seseorang manusia bahawa Allah berikannya al-Kitab, dan Putusan, dan Kenabian, kemudian dia berkata kepada manusia, 'Jadilah kamu hamba-hamba kepadaku selain daripada Allah.' Tetapi, 'Jadilah kamu orang-orang rabani (yang menguasai) dengan sebab kamu tahu al-Kitab, dan dengan sebab kamu pelajarinya'" (3:79).
(Nabi berfungsi sebagai perangsang untuk mengetahui dan menguasai kandungan Al-Qur'an, dan bukan untuk umat menghambakan diri kepadanya.)
7.7.3 - Firman-Nya, "Dia tidak akan suruh kamu ambil malaikat-malaikat dan Nabi-Nabi sebagai Pemelihara-Pemelihara (Tuhan-Tuhan)" (3:80).
(Peranan Nabi bukan seperti Tuhan, kerana hanya Tuhan berhak metapkan hukum atau syariat untuk agama.)
7.7.4 - Firman-Nya, "Tiadalah bagi seorang Nabi untuk dia menipu, dan sesiapa menipu akan datang dengan apa yang ditipukannya pada Hari Kiamat; kemudian tiap-tiap jiwa akan dibayar sepenuhnya apa yang ia usahakan, dan mereka tidak dizalimi" (3:161).
(Bukan peranan Nabi sebagai pembohong, terutamanya mengenai Allah dan agama. Dia tidak akan berkata Allah berfirman itu atau ini, dengan bohong. Contoh pembohongan itu, selain daripada yang ditunjukkan di dalam jawapan saya bagi soalan 3 yang lalu, ialah yang telah disiar di akhbar Utusan Malaysia (Sabtu 15.7.1995) semasa polemik BACAAN dahulu. Pembohongan tersebut berlaku di dalam berita berjudul "Tidak berasas dan keterlaluan", di muka 3, dan ia berbunyi seperti yang berikut:
"Mufti Besar Negeri Sembilan, Datuk Mohd. Murtadza Ahmad pula mengingatkan Othman dan mereka yang sealiran dengannya terhadap Firman Allah berbunyi "Ulama itu adalah pewaris Nabi" dan "Apa yang engkau (Nabi) sampaikan bukan dari dirimu tetapi wahyu". Menurut beliau, firman Allah itu menjelaskan bahawa pada ulamalah tempat umat Islam merujuk perkara-perkara mengenai syariah Islam dan bagi menjalankan tanggungjawab tersebut, ulama tidak akan sama sekali berbohong."
Tidak! Tidak ada langsung Firman Allah yang mengatakan ulama itu pewaris Nabi, atau Firman yang mengiaskannya sahaja.
Juga tidak ada Firman Allah yang mengatakan segala yang diucapkan Nabi adalah wahyu Allah. Yang ada cuma ayat-ayat yang bermaksud bahawa ucapan Nabi yang wahyu adalah hanya Al-Qur'an. Sila baca ayat-ayat 53:3-5. Terima kasih.
Berbohong bukanlah peranan Nabi, dan sepatutnya bukan juga peranan "pewaris" Nabi. Sebenarnya di dalam agama Allah, iaitu Islam yang sebenar, tidak disebut peranan sesiapa pun sebagai pewaris Nabi. Akan tetapi sebutan yang bermaksud pewaris Kitab didapati ada pula, seperti pada ayat 35:32, berbunyi "Kemudian Kami wariskan Kitab kepada mereka antara hamba-hamba Kami yang Kami pilih.")
7.7.5 - Firman-Nya, "Orang-orang yang ikut Rasul, Nabi yang ummiy, yang mereka dapati tertulis dengan mereka di dalam Taurat dan Injil, yang menyuruh mereka pada yang baik, dan melarang mereka daripada yang mungkar, dan menghalalkan bagi mereka benda-benda yang baik, dan mengharamkan mereka yang buruk-buruk, dan membebaskan mereka daripada beban-beban mereka, dan belenggu-belenggu yang ada pada mereka...." (7:157).
(Apa yang Nabi suruh, larang, halalkan, haramkan, dan bebaskan, semuanya tersurat dan tersirat di dalam Al-Qur'an yang disampaikannya.)
7.7.6 - Firman-Nya, "Wahai Nabi, gesalah orang-orang mukmin untuk berperang" (8:65).
(Nabi sebagai penggesa untuk berperang, melawan orang-orang yang memerangi.)
7.7.7 - Firman-Nya, "Wahai Nabi, Kami utus kamu sebagai seorang saksi, dan pemberi berita gembira, dan pemberi amaran" (33:45).
(Nabi sebagai saksi, dan dua peranannya yang telah disebut terlebih dahulu.)
7.7.8 - Firman-Nya, "Wahai Nabi, berjuanglah terhadap orang-orang tidak percaya dan orang-orang munafik, dan bersikapkeraslah terhadap mereka" (66:9).
(Nabi sebagai pejuang terhadap orang-orang tidak percaya kepada Allah dan ayat-ayat-Nya, dan orang-orang yang berkata mereka percaya tetapi tidak percaya. Seperti itulah berjuang orang-orang yang menyampaikan Al-Qur'an.)
7.8 - Nabi juga telah diangkat sebagai hakim. Firman-Nya, "Dan Kami turunkan kepada kamu Kitab dengan yang benar, mengesahkan Kitab sebelumnya, dan mengawalnya. Maka hakimkan antara mereka menurut apa yang Allah turunkan, dan jangan ikut keinginan mereka untuk abaikan yang benar yang datang kepada kamu" (5:48).
7.9 - Demikianlah peranan Nabi seperti yang saya difahamkan daripada Al-Qur'an pada hari ini. Walaupun fungsi dan peranan Nabi dijelaskan Allah di dalam Kitab-Nya, namun kita tidak akan ditanya mengenainya di akhirat kelak. Persoalan mengenainya hanya dibesar-besarkan oleh habr agama Islam-Sunni untuk menegakkan pegangan mereka kepada apa yang mereka sucikan sendiri dengan nama Hadis atau Sunnah Nabi.
7.10 - Untuk mengakhiri jawapan kepada soalan 7, saya petik sebuah ayat Al-Qur'an, buat renungan orang-orang yang takut kepada Tuhan, yang di dalamnya tersirat apa yang saya maksudkan tadi, iaitu kita tidak akan ditanya mengenai fungsi dan peranan Nabi di akhirat kelak. Ayat itu berbunyi,
"Katakanlah, 'Taatlah kepada Allah, dan taatlah kepada Rasul; kemudian, jika kamu berpaling, hanyalah kepadanya (Muhammad) apa yang dibebankan kepadanya, dan kepada kamu, apa yang dibebankan kepada kamu. Jika kamu taati dia, kamu akan dapat petunjuk. Adalah hanya atas Rasul untuk sampaikan yang jelas" (24:54).
Sejauhmana pandangan tuan terhadap para kelompok yang dikategorikan sebagai penolak Hadis, sejak kelompok Mu'tazilah (menurut Imam Syafi'i) dan tokoh-tokoh lain di dunia, termasuk di Malaysia dan di Indonesia.
Jawapan saya:
8.1 - Kategori yang disebut itu dinamakan sendiri oleh habr Islam-Sunni. Mereka memang pandai mengkategori, atau melabel, orang lain yang tidak sealiran dengan mereka.
8.2 - Allah pula mengolongkan manusia ke dalam tiga golongan, iaitu:
8.2.1 - orang-orang yang percaya (atau beriman) kepada Dia dan Kitab-Nya,
8.2.2 - orang-orang tidak percaya (atau kafir) kepada Dia dan Kitab-Nya, dan,
8.2.3 - orang-orang yang berkata mereka percaya tetapi sebenarnya mereka tidak percaya kepada Dia dan Kitab-Nya (atau munafik).
8.3 - Saya yakin kelompok kategori manusia yang disebut di dalam soalan habr di atas adalah mereka yang di dalam golongan 8.2.1. Di dalam Al-Qur'an tercatat banyak sebutan mengenai mereka, dan perihal pandangan saya terhadap mereka pula, adalah tidak melebihi daripada apa yang terkandung di dalam Kitab itu.
8.4 - Daripada Al-Qur'an saya dapati bilangan mereka tidak ramai (12:103), tetapi lama kelamaan kelompok ini akan jadi besar, dan lebih besar lagi (110:2). Agama mereka seperti yang diajar Tuhan di dalam Al-Qur'an akan dipertinggikan-Nya di atas setiap agama (9:33), termasuk agama Islam-Sunni atau Islam-Syiah. Dewasa ini pun ia sudah cukup tinggi daripada yang lain kerana "Allah telah turunkan hadis yang paling baik sebagai sebuah Kitab (iaitu Al-Qur'an)" (39:23) yang jadi pegangan mereka.
Sejauhmana pandangan tuan dalam memahami seluk beluk sejarah perkembangan Hadis Nabi s.a.w.?
Jawapan saya:
9.1 - Maafkan saya kerana mungkin pergi jauh sangat sehingga memeriksa kesan atau padah Hadis Nabi ke atas penggunanya, merangkap pengedarnya, yang bertauliah. Dalam pemeriksaan saya, mereka didapati berpenyakit. Saya mendiagnosis penyakit itu sebagai rabun Al-Qur'an.
9.2 - Diagnosis tersebut berdasarkan nafas-nafas yang keluar melalui tulisan mereka yang bunyinya berbagai-bagai. Antaranya ialah:
9.2.1 - "Bukankah cara Rasulullah s.a.w. berbelanja, cara Rasulullah s.a.w. mengendalikan urusan perbelanjaan dirinya dan keluarga itu, menjelaskan apa yang tidak dijelaskan oleh al-Qur'an mengenai amalan membazir dan tidak membazir".
9.2.2 - "petunjuknya masih bersifat umum, seperti dalam perintah kerjakan sembahyang, tatacara zakat, kaifiyat haji atau yang lainnya?"
9.2.3 - "Kalau ada anggapan bahawa tugas Nabi s.a.w. hanya sampaikan Al-Quran".
9.2.4 - "... mengingatkan Othman dan mereka yang sealiran dengannya terhadap Firman Allah berbunyi "Ulama itu adalah pewaris Nabi" dan "Apa yang engkau (Nabi) sampaikan bukan dari dirimu tetapi wahyu".
Keempat-empat tanda penyakit di atas telah dikesan terlebih dahulu di dalam siri jawapan ini, iaitu jawapan kepada soalan 3, 4 dan 7.
9.3 - Izinkan saya menambah satu lagi. Yang ini belum direkod di dalam siri jawapan ini, tetapi tercatat di dalam tulisan Tan Sri Prof. Dr. Muhammad Abdul-Rauf, bekas Rektor, Universiti Islam Antarabangsa. Beliau telah menulis sebuah buku kecil berjudul "Irrationality of the Anti-Hadith Heretics" (Ketidakrasionalan dalam Penyelewengan Anti-Hadis), dengan niat seperti yang tersirat pada tajuk bukunya. Di halaman 18 buku tersebut, beliau telah turunkan Hadis Nabi yang berikut:
9.3.1 - "A woman embraced Islam, and thereby her marriage to an unbeliever was automatically annulled. After the expiry of her 'Iddah she was married to a Muslim. Yet, it happened that her original husband had meanwhile embraced Islam. So he went to the Prophet and claimed his wife. The Prophet ruled that she should return to her first husband as the second marriage was invalid since the original husband became a Muslim prior to it."
9.3.2 - Dalam bahasa Melayu, Hadis ini bermaksud:
"Seorang wanita memeluk (agama) Islam, dan oleh sebab itu perkahwinannya dengan yang kafir, secara automatik, dimansuhkan. Setelah tamat iddahnya, dia berkahwin dengan seorang muslim. Tetapi, berlaku pula sementara itu, suaminya yang pertama memeluk Islam. Maka dia pergi kepada Nabi dan tuntut isterinya. Nabi perintah dia balik kepada suaminya yang pertama kerana perkahwinan keduanya tidak sah disebabkan suami yang asal jadi muslim sebelum itu."
9.4 - Hadis Nabinya jelas menunjukkan dia rabun Al-Qur'an. Lihat apa kata Allah pula dalam kes ini:
"Mereka (wanita beriman) adalah tidak halal bagi orang-orang yang kafir (tidak percaya), dan tidak juga orang-orang yang kafir halal bagi mereka. Berikan orang-orang yang kafir apa yang mereka telah nafkahkan (belanjakan); dan tiada kesalahan ke atas kamu untuk kahwini mereka, apabila kamu beri mereka upah (mas kahwin) mereka" (60:10).
9.5 - Bandingkan keputusan Nabi di dalam Hadis Nabi Profesor Dr. tersebut dengan keputusan Nabi menurut Al-Qur'an. Mengapa terdapat dua keputusan yang berbeza? Pada Hadis Nabinya tidak disebut mengenai bayar balik kepada bekas suami perempuan yang memeluk Islam. Ini penting kerana dalam proses ini dapat diketahui sama ada suami pertama itu masih kafir atau sudah memeluk Islam.
9.6 - Jangan pula berkata Nabi rabun Al-Qur'an. Yang rabun ialah manusia yang meriwayatkan Hadis Nabi tersebut. Akan tetapi yang paling rabun ialah orang yang percayai dan menyebarkannya. Tidakkah malang bagi umat apabila orang itu seorang habr besar yang bergelar pula?
9.7 - Apa yang dikatakan Hadis Nabi tadi tentu telah "melalui proses penyelidikan yang teliti dan metodologi yang kemas", menurut Mohd. Nakhaie (di dalam buku kecil yang telah disebut semasa saya menjawab soalan 1, yang terkandung di dalam artikel saya, "Debu dalam Suci"), tatkala dia menjelaskan bagaimana sesuatu Hadis diterima.
9.8 - Metodologi tersebut mengandungi sistem sanad, yang menurutnya lagi, "unik di dalam tradisi keilmuan Islam". Di dalam sistem ini terdapat perawi, dan "perawi itu mestilah seorang yang bertaqwa, tidak berdusta, kuat ingatannya dan berakhlak mulia, wara' dan tidak lakukan kemungkaran."
9.9 - Indah khabar daripada rupa! Itu sebenarnya apa yang dikatakan selok-belok Ilmu Hadis ciptaan habr Islam-Sunni. Proses penyelidikan yang teliti! Metodologi yang kemas! Unik! Tradisi keilmuan Islam! Kesemuanya bergantung pada perawi, yang kononnya bertaqwa, tidak berdusta, kuat ingatan, berakhlak mulia, wara' dan tidak lakukan kemungkaran. Akan tetapi, apa pula hasilnya? Rabun Al-Qur'an.
9.10 - Tan Sri Prof. Dr. Muhammad Abdul-Rauf juga telah menyentuh sedikit mengenai selok-belok sejarah perkembangan Hadis. (Segala petikan tulisan beliau di dalam jawapan ini terkandung juga di dalam sebuah karangan saya berjudul "Surat kepada Rektor U.I.A." Karangan ini menjawab buku beliau yang disebut di perenggan 9.3 di atas. Di hujung petikan di bawah terdapat nombor halaman, iaitu halaman buku beliau). Tulisannya mengenai selok-belok sejarah perkembangan Hadis sebenarnya mendedahkan pekong di dada. Yang berikut ini adalah beberapa contoh:
9.10.1 - "pada mulanya, kebanyakan Sahabat Nabi enggan merekodkan Hadith secara bertulis kerana bimbangkan keutuhan Qur'an yang Suci itu." (halaman 3)
(Ulasan saya: Nyata, penulisan Hadis tidak wajib dari awal lagi. Sahabat Nabi berpandangan jauh ke depan, atau mungkin kerana mereka tahu bahawa Hadis Nabi tidak termasuk di dalam agama.)
9.10.2 - "keengganan orang Islam (menulis Hadith) beransur-ansur hilang kebimbangannya dan pada masa yang sama penyusunan Hadith berkembang luas berserta bilangannya dengan menulis apa yang tersimpan dalam ingatan." (halaman 3).
(Ulasan saya: Sudah tentu penyusunan dan penulisan Hadis dilakukan selepas zaman Sahabat Nabi oleh orang-orang yang ingkar, atau orang-orang jahat. Jelas juga di sini apa yang habr Mohd. Nakhaie sebut sebagai tradisi keilmuan Islam [Islamnya] iaitu suatu tradisi ilmu yang bergantung hanya pada ingatan manusia sahaja. Berapa lamakah ingatan itu berlarutan sebelum ia akhirnya ditulis?)
9.10.3 - "Lagi sedikit (pencerita Hadith) adalah lagi baik kerana kesilapannya kurang berlaku." (halaman 9)
(Ulasan saya: Kesilapan hanya kurang sedikit, tetapi tetap berlaku. Bagaimana dengan nasib umat yang taat kepada kesilapan ini?)
9.10.4 - "Imam Malik ... beri kuasa kepadanya untuk melakukan ijtihad dan beri fatwa." (halaman 6)
(Ulasan saya: Satu lagi ciri tradisi keilmuan Islam-Sunni, dan metodologinya yang kemas, terserlah pada kenyataan Profesor Dr. atau habr besar ini, iaitu manusia beri kuasa kepada manusia lain untuk buat hukum agama. Tuhan sendiri tidak beri kuasa itu kepada Nabi. Nampaknya ada orang bertuhankan Imam Malik, atau Imam-imam lain!)
9.10.5 - "Kerana tuan ajar saya, dengan kuasa al-Zuhri, yang ceritakan dengan kuasa Abu Salamah Ibn 'Abd-al-Rahman, yang kemudiannya ceritakan dengan kuasa Umm Salamah (janda Nabi), yang ceritakan cerita ..." (halaman 5).
(Ulasan saya: Kuasa atas kuasa atas kuasa untuk bercerita. Ceritanya Hadis Nabi. Ada surat turun kuasa? Tak mengapalah, tetapi renungkanlah ayat Allah yang bermaksud "Antara manusia, ada yang membeli hadis yang menghiburkan untuk menyesatkan daripada jalan Allah tanpa pengetahuan, dan untuk mengambilnya dalam olok-olokan; mereka itu, bagi mereka, azab yang hina" 31:6).
9.11 - Apa yang dikatakan habr Islam-Sunni selok-belok Ilmu Hadis didapati tidak mantap sama sekali. Hanya dengar cakap orang sahaja. Mungkin ia putar-belit namanya, bukan selok-belok. Perihal mendengar cakap orang yang tidak datang kepada Nabi ada disebut Allah di dalam Al-Qur'an yang berbunyi,
"... yang dengar kaum lain, yang tidak datang kepada kamu (Muhammad), dengan kelirukan perkataan-perkataan daripada makna-maknanya, dan berkata, 'Jika kamu diberi yang ini, ambillah ia, dan jika kamu tidak diberi, maka berhati-hatilah kamu'" (5:41).
9.12 - Hadis Nabi ditulis oleh orang-orang yang tidak berjumpa Nabi. Apapun niat mereka tetapi padahnya buruk sekali. Habr-habr Islam-Sunni yang menyebarkannya didapati rabun Al-Qur'an. Harap-harap hati mereka tidak dikunci daripada petunjuk Allah demi kesejahteraan umat. Saya menutup jawapan kepada soalan 9 ini dengan sebuah Firman-Nya yang bermaksud:
"Apa, tidakkah mereka renungkan Al-Qur'an? Atau, adakah adanya kunci pada hati mereka?" (47:24).
Bagaimana pandangan tuan dalam menyaksikan gerakan yang di katagorikan menolak Hadis, khususnya dalam perbandingannya di Malaysia dan di Indonesia?
Jawapan saya:
10.1 - Orang-orang yang berpegang pada Al-Qur'an sahaja muncul dari berbagai-bagai lapisan masyarakat. Mereka terdiri daripada pelbagai kaum dan tinggal di merata negeri. Akan tetapi kebanyakan mereka tinggal di Lembah Klang.
10.2 - Mereka adalah orang-orang empunya pegangan dalam sesuatu agama sebelum ambil Al-Qur'an sebagai ikutan. Anutan asal, misalnya Islam-Sunni, ditinggalkan kerana mereka merasakan ia bertentangan dengan akal. Namun, terdapat juga mereka yang tidak menghiraukan langsung agamanya yang diterima daripada nenek moyang, sebelum mereka membaca dan memahami kandungan Al-Qur'an, dan kemudian beriman kepadanya.
10.3 - Lazimnya mereka adalah orang-orang yang suka membaca dan mempunyai fikiran yang kritis. Pembacaan tidak terbatas kepada berbilang terjemahan Al-Qur'an tetapi melanjut kepada buku-buku pegangan tiap-tiap mazhab atau kelompok agama yang wujud di dalam dunia Islam. Malah, Bible dan buku-buku agama lain pun dibacanya.
10.4 - Jangan sangka mereka tidak tahu Hadis. Kebanyakan daripada mereka adalah orang-orang yang percaya dan mengamalkannya, sebelum mereka ambil keputusan untuk menolaknya. Namun, Hadis masih disimpan. Antara mereka ada yang menyimpan sebanyak 9,500 Hadis Nabi, iaitu kesemua yang terkandung di dalam 5 buah buku Hadis yang terbesar di dunia - Sahih Bukhari (jilid 1-9), Sahih Muslim (jilid 1-4), Sunan Abu Dawud (jilid 1-3), Muwatta oleh Imam Malik (1 jilid), dan Mishkat al-Masabih (jilid 1-4). Hadis-hadis ini disimpan hanya sebagai bukti untuk menolaknya.
10.5 - Mereka bergiat cergas sampaikan mesej Allah yang terkandung di dalam Al-Qur'an. Pun begitu, ada antara mereka yang giat mempertikaikan Hadis. Sasaran tidak terbatas kepada sesuatu kumpulan, golongan atau kaum sahaja, malah, hampir kesemua lapisan masyarakat telah didatanginya dengan hujah-hujah yang berlandaskan Al-Qur'an.
10.6 - Kegiatan mereka tidak tertumpu di negara ini sahaja. Dengan kefasihan bahasa Inggeris mereka pergi jauh, melalui internet, ke luar negara. Di sana mereka menyertai forum-forum agama lalu berdebat dengan orang-orang dari pelbagai fahaman dan anutan, baik dari dalam mahupun di luar Islam, seperti orang-orang Kristian.
10.7 - Pada sebuah laman forum di internet yang dikuasai orang-orang yang berpegang kepada Al-Qur'an (sahaja), saya berpeluang menyaksikan kehadiran peserta dari merata dunia. Akan tetapi, saya tidak berjumpa pula dengan peserta-peserta dari Indonesia. Mungkin ada yang menyertainya setelah saya tinggalkan forum tersebut.
10.8 - Kegigihan mereka dalam sampaikan mesej Allah dikagumi. Di mana sahaja mereka berada, mereka akan menyebut-nyebut ajaran Tuhan sama ada kepada orang-orang yang didampingi, atau orang-orang yang mendampingi. Dalam hal ini saya teringat seorang kenalan saya yang bukan-Melayu, dan belum lagi "masuk Islam" (seperti istilah yang difahamkan orang-orang Islam-Sunni). Baru-baru ini dia terlantar di hospital akibat suatu kemalangan jalan raya. Dalam keadaan cemas seperti itu pun dia sempat bercakap-cakap kepada doktor dan jururawat yang merawatnya mengenai agamanya yang berlandaskan Al-Qur'an. Alangkah terperanjatnya mereka tatkala mendengar sesuatu yang belum didengari, dan disampaikan pula oleh seseorang yang mereka anggap kafir!
10.9 - Begitulah gigihnya orang-orang yang berpegang pada Al-Qur'an dalam sampaikan ajaran agama Allah di Malaysia. Saya agak mereka yang di Indonesia pun sedemikian cergasnya. Saya hanya mampu mengagak sebab saya tidak tahu-menahu langsung mengenai mereka. Dugaan itu dibuat memandangkan kedua-dua pihak dapat inspirasi daripada sumber yang sama, iaitu sebuah Kitab yang datang dari Allah.
10.10 - Tidak juga saya tahu sama ada mereka yang di Indonesia itu melibatkan diri dalam politik seperti ambil bahagian dalam demonstrasi yang melaung-laungkan sesuatu atas nama Islam. Setahu saya, di Malaysia tidak ada. Sebaliknya, mereka didapati menentang mana-mana pertubuhan atau badan yang lantang menyebut nama Islam (untuk menegakkan Islam-Sunni atau Islam-Syiah, umpamanya) dalam perjuangan mereka.
10.11 - Pemegang Al-Qur'an yang saya kenal bergerak secara individu atau dalam kumpulan kecil, dan tidak mengangkat sesiapa sebagai ketua. Namun, tali persaudaraan mereka adalah kukuh kerana tali yang dipegang adalah tali Allah yang sejati.
10.12 - Jangan pula memanggil mereka penolak Hadis (atau ingkar Sunnah di Indonesia), atau anti-Hadis, atau apa-apa nama yang cuba memburuk-burukkan mereka. Nanti mereka membalas dengan jawapan yang pedas. Mereka telah dinamakan Muslim, dan agama mereka, agama Allah, iaitu Islam. Di dalam agama ini Hadis Nabi tidak disebut sebagai suatu perkara yang wajib diimani. Malah dalam Islam (yang sebenar) Nabi-Nabi Allah tidak dibeza-bezakan antara satu sama lain.
10.13 - Saya menutup siri jawapan ini dengan memetik beberapa ayat Allah yang terkandung di dalam Al-Qur'an. Sebelum itu, saya ingin beritahu iaitu sekiranya ada lagi soalan-soalan yang hendak dikemukakan kepada saya maka saya sedia menerima dan menjawabnya.
10.13.1 - Firman-Nya, "Dan berjuanglah untuk Allah dengan perjuangan yang sebenar; Dia telah pilih kamu, dan tidak letak ke atas kamu kesusahan dalam agama kamu, anutan bapa kamu, Ibrahim; Dia namakan kamu Muslim dari dahulu, dan di dalam yang ini (Al-Qur'an), supaya Rasul menjadi saksi ke atas kamu, dan kamu jadi saksi ke atas manusia" (22:78).
10.13.2 - Firman-Nya, "Apa, adakah selain daripada agama Allah yang mereka cari, dan kepada-Nya tunduk patuh sesiapa di langit dan di bumi, dengan rela atau benci, dan kepada-Nya mereka akan dikembalikan? Katakanlah, 'Kami percaya kepada Allah, dan apa diturunkan kepada kami (Al-Qur'an), dan apa diturunkan kepada Ibrahim, Ismail, Ishak, Yaakub, dan puak-puak, dan kepada apa diberi kepada Musa dan Isa, dan Nabi-Nabi daripada Pemelihara (Tuhan) mereka. Kami tidak beza-bezakan seorang pun antara mereka, dan kepada-Nya kami muslim.' Sesiapa mencari agama selain daripada Islam, ia tidak akan diterima daripadanya, dan di akhirat dia adalah antara orang-orang yang rugi" (3:83-85).
Terima kasih.
Salamun alaikum (6:54).
Othman Ali
Mac
1999
-Download artikel ini di sini
Halaman Utama
Terkini
Perpustakaan Bacaan
E-Mail Hiasan
Kalimat Pilihan
Keratan
Akhbar Penemuan
Soalan Lazim
Sudut
Pelajar
Tulis kepada Pengurus Laman