Kebanyakan Manusia

 

 

Manusia dicipta lemah. Lalu diringankan dalam tugas terhadap Allah. Tetapi dalam kelemahan dan keringanan itu dia jadi suatu makhluk yang degil, suka menentang, dan paling banyak membantah. Dia juga mempunyai sifat tergesa-gesa, selalu risau dan gelisah, kedekut, tidak berterima kasih, melampaui batas dan paling jahat sekali ialah kafir kepada Tuhannya.

Demikianlah dinyatakan Tuhan mengenai sifat-sifat yang jadi pakaian lazim pilihan manusia. Sifat-sifat tersebut dapat diketahui daripada ayat-ayat berikut:

"Allah hendak ringankan kamu kerana manusia dicipta lemah." (4:28)

"Dan Dia beri kamu segala yang kamu minta kepada-Nya. Jika kamu hitung rahmat Allah, kamu tidak dapat jumlahkannya; sesungguhnya manusia sangat aniaya, berdegil dalam ketidakpercayaan." (14:34)

"Dia cipta manusia daripada setitis mani; dan tiba-tiba, dia jadi penentang yang nyata." (16:4)

"Manusia seru (doa) untuk kejahatan seperti dia seru (doa) untuk kebaikan; manusia adalah tergesa-gesa." (17:11)

"Manusia dicipta bersifat tergesa-gesa. Sungguh, Aku akan lihatkan kepada kamu ayat-ayat-Ku; maka jangan kamu minta disegerakan." (21:37) Ayat-Ku di sini bermaksud azab-Ku.

"Katakanlah, 'Jika kamu miliki perbendaharaan pengasihan Pemeliharaku, jika demikian, tentu kamu menahannya kerana takut menafkahkannya; dan manusia selamanya kedekut.'" (17:100)

"Sesungguhnya Kami mengulang-ulangi untuk manusia di dalam al-Qur'an ini tiap-tiap macam persamaan; manusia adalah sesuatu yang paling banyak membantah." (18:54)

"Sesungguhnya manusia dicipta selalu risau dan gelisah," (70:19) 

"Binasalah manusia! Betapa tidak berterimakasihnya dia!" (80:17)

"Tidak sekali-kali! Sesungguhnya manusia melampaui batas," (96:6)

dan,

"Sesungguhnya manusia kafir kepada Pemeliharanya," (100:6).

Sembilan sifat yang disebut di atas adalah kelemahan yang terdapat pada manusia secara am. Antara sifat-sifat tersebut terdapat beberapa yang jadi basahan bagi kebanyakan manusia pula. Namun begitu, al-Qur'an, dalam pengajarannya, telah dengan secara khusus menjelaskan sifat-sifat yang terdapat pada kebanyakan manusia.

Menurut al-Qur'an kebanyakan manusia bersifat:

1. Tidak berterima kasih (bersyukur) kepada Tuhan

Mereka tidak berterima kasih terhadap pemberian yang Tuhan kurniakan. Firman-Nya,

"Sesungguhnya Pemelihara kamu mempunyai pemberian kepada manusia; tetapi kebanyakan mereka tidak berterima kasih." (27:73)

Terdapat empat lagi ayat yang membawa peringatan yang sama. Ayat-ayat tersebut pula beri contoh pemberian-pemberian yang tidak disyukuri oleh kebanyakan manusia. Mereka adalah seperti berikut:

i. Kehidupan (tidak mati)

Firman-Nya, "Kemudian Dia hidupkan mereka. Sesungguhnya Allah mempunyai pemberian kepada manusia, tetapi kebanyakan mereka tidak berterima kasih." (2:243)

ii. Rezeki yang diberi Allah dijadikan haram dan halal tanpa izin-Nya

Atau yang tidak disebut di dalam al-Qur'an. Firman-Nya, "Katakanlah, 'Adakah kamu fikirkan rezeki yang Allah turunkan untuk kamu, dan kamu buat sebahagiannya haram, dan sebahagiannya halal?' Katakanlah, 'Adakah Allah izinkan kamu, atau kamu mengada-adakan terhadap Allah?'
Apakah yang mereka sangka, yang ada-adakan dusta terhadap Allah pada Hari Kiamat? Sesungguhnya Allah mempunyai pemberian kepada manusia, tetapi kebanyakan mereka tidak berterima kasih.'" (10:59-60)

iii. Malam dan siang

Firman-Nya, "Allah yang buatkan untuk kamu malam, untuk berehat padanya, dan siang, untuk melihat. Sesungguhnya Allah mempunyai pemberian kepada manusia, tetapi kebanyakan manusia tidak bersyukur (berterima kasih)." (40:61)

iv. Tidak sekutukan Allah dengan sesuatu

Firman-Nya, "Dan aku (Nabi Yusuf) ikut anutan bapa-bapaku, Ibrahim, Ishak, dan Yaakub. Tiadalah bagi kami untuk sekutukan sesuatu dengan Allah. Itu adalah daripada pemberian Allah kepada kami, dan kepada manusia; tetapi kebanyakan manusia tidak berterima kasih." (12:38)

Dengan itu agama Islam yang percaya kepada Allah dan tidak sekutukan-Nya dengan sesiapa jua adalah sebenarnya merupakan suatu pemberian daripada Tuhan.

Akan tetapi, kebanyakan daripada manusia yang mengatakan percaya kepada Allah namun didapati sekutukan-Nya juga. Firman Tuhan, "Dan kebanyakan mereka tidak percayai Allah, melainkan mereka sekutukan-Nya." (12:106)

(Sila lihat Sekutu Allah menurut al-Qur'an untuk mengetahui maksud sekutu yang sebenar. Terima kasih.)

Sifat tidak berterima kasih yang tersangkut pada kebanyakan manusia adalah balingan daripada Iblis atau syaitan. Lihat apa katanya kepada Tuhan, berbunyi, "Kemudian aku (Iblis) datang kepada mereka, dari hadapan mereka, dan dari belakang mereka, dan dari kanan mereka, dan dari kiri mereka; Engkau tidak akan dapati kebanyakan mereka berterima kasih." (7:17)

 

2. Fasiq (tidak mempedulikan perintah Tuhan)

Satu daripada sebab kebanyakan manusia jadi fasiq ialah kerana enggan hakimkan atau memutuskan menurut apa yang Tuhan turunkan. Firman-Nya,

"Dan hakimkan antara mereka menurut apa yang Allah turunkan, dan jangan ikut keinginan mereka, dan berhati-hatilah terhadap mereka, supaya mereka tidak goda kamu daripada sebarang apa yang Allah turunkan kepada kamu. Tetapi jika mereka berpaling, maka ketahuilah bahawa Allah hanya hendak timpakan kepada mereka kerana sebahagian daripada kesalahan mereka; sesungguhnya kebanyakan manusia fasiq." (5:49)

 

3. Tidak percaya

Kebanyakan manusia tidak percaya lalu mereka dipanggil bodoh. Firman-Nya,

"Walaupun Kami turunkan malaikat-malaikat kepada mereka, dan orang-orang yang mati berkata-kata dengan mereka, sekiranya Kami kumpulkan kepada mereka segala sesuatu berhadapan muka, bukanlah mereka yang akan percayai, kecuali jika Allah hendaki; tetapi kebanyakan mereka bodoh." (6:111)

Mereka tidak percaya kepada al-Qur'an, pertemuan dengan Tuhan dan peristiwa Saat yang akan berlaku.

i. Tidak percaya kepada al-Qur'an

Firman-firman-Nya,

"Maka jangan kamu dalam keraguan daripadanya (al-Qur'an); ia adalah yang benar daripada Pemelihara kamu, tetapi kebanyakan manusia tidak percayai." (11:17)

"Walaupun kamu sangat inginkan, tetapi kebanyakan manusia tidak mukmin (percayai)." (12:103)

"dan apa diturunkan kepada kamu daripada Pemelihara kamu adalah yang benar, tetapi kebanyakan manusia tidak percayai." (13:1)

"Sesungguhnya Kami mengulang-ulangi untuk manusia di dalam al-Qur'an ini tiap-tiap macam persamaan tetapi kebanyakan manusia menolak semua, kecuali ketidakpercayaan." (17:89)

ii. Tidak percaya kepada pertemuan dengan Tuhan di akhirat

Firman-Nya, "kebanyakan manusia tidak percaya kepada pertemuan dengan Pemelihara mereka." (30:8)

Mungkin ada yang percaya tetapi tidak percaya kepada penjelasan Allah mengenainya. Dan,

iii. Tidak percaya kepada Saat

Firman-Nya, "Saat pasti datang, tidak ada keraguan padanya, tetapi kebanyakan manusia tidak percayai." (40:59)

 

4. ikut sangkaan

Kebanyakan manusia tidak ikut ajaran al-Kitab yang diturunkan Allah tetapi ikut ajaran orang-orang yang dianggap alim. Ajaran mereka tiada lain tetapi hanya sangkaan sahaja. Dengannya mereka sesatkan orang lain pula. Firman-Nya, 

"Jika kamu taati kebanyakan orang di bumi, mereka akan sesatkan kamu daripada jalan Allah; mereka ikut hanya sangkaan, semata-mata dugaan." (6:116)

 

5. Tidak tahu

Kebanyakan manusia tidak tahu bahawa:

i. hanya Allah tahu bila Saat akan berlaku.

Firman-Nya, "Mereka tanya kamu mengenai Saat, bilakah ia melabuhkan. Katakanlah, 'Pengetahuannya adalah hanya di sisi Pemeliharaku. Tiada yang akan dedahkannya pada waktunya yang benar, melainkan Dia. Amatlah berat ia di langit dan di bumi; ia tidak akan datang kepada kamu melainkan dengan tiba-tiba.' Mereka tanya kamu seakan-akan kamu benar-benar ketahuinya. Katakanlah, 'Pengetahuannya adalah hanya di sisi Allah, tetapi kebanyakan manusia tidak tahu.'" (7:187)

ii. Allah memenangi dalam urusan-Nya

Firman-Nya, "Allah memenangi dalam urusan-Nya, tetapi kebanyakan manusia tidak tahu." (12:21)

iii. Allah melarang menyembah nama-nama (orang) yang nenek moyang namakan atau diri sendiri namakan.

Firman-Nya, "Apa kamu sembah selain daripada Dia tiadalah melainkan nama-nama yang kamu sendiri namakan, kamu dan bapa-bapa kamu; Allah tidak turunkan kuasa mengenai mereka. Putusan hanyalah kepunyaan Allah. Dia perintahkan bahawa kamu tidak sembah sesuatu melainkan Dia. Itu agama yang betul, tetapi kebanyakan manusia tidak tahu." (12:40)

Maka renungkanlah nama-nama yang ditaati dalam agama yang selain daripada Allah.

iv. Allah bangkitkan orang mati

Firman-Nya, "Mereka bersumpah dengan Allah dengan sumpah segenap hati, bahawa Allah tidak akan bangkitkan orang yang mati; tidak, ia adalah satu janji yang mengikat-Nya tetapi kebanyakan manusia tidak tahu." (16:38)

v. Allah tidak mungkiri janji-Nya

Firman-Nya, "Janji Allah! Allah tidak mungkiri janji-Nya, tetapi kebanyakan manusia tidak mengetahuinya." (30:6)

Satu daripada janji-Nya berbunyi, "Dan, orang-orang tidak percaya dan dustakan ayat-ayat Kami, mereka itulah penghuni-penghuni Api, di dalamnya mereka tinggal selama-lamanya." (2:39)

vi. tidak ada pertukaran dalam ciptaan Allah

Firman-Nya, "Maka tegakkanlah wajah kamu kepada agama, seorang yang lurus - keaslian Allah yang dengannya memulakan manusia. Tidak ada pertukaran dalam ciptaan Allah. Itu agama yang betul; tetapi kebanyakan manusia tidak mengetahuinya." (30:30)

Lantas, tidak ada pertukaran juga pada ayat-ayat Allah di dalam al-Qur'an.

vii. manusia dikumpulkan pada Hari Kiamat

Firman-Nya, "Katakanlah, 'Allah hidupkan kamu, kemudian matikan kamu, kemudian Dia kumpulkan kamu pada Hari Kiamat, yang tidak ada keraguan padanya, tetapi kebanyakan manusia tidak tahu.'" (45:26)

viii. Nabi diutus sebagai pemberi berita gembira dan pemberi amaran

Firman-Nya, "Kami tidak utus kamu melainkan kepada seluruh manusia sebagai pembawa berita gembira, dan pemberi amaran; tetapi kebanyakan manusia tidak mengetahuinya." (34:28)

ix. Tuhan yang meluas dan menyempitkan rezeki manusia

Firman-Nya, "Katakanlah, 'Pemeliharaku menjulur dan menyempitkan rezeki-Nya kepada sesiapa Dia hendaki, tetapi kebanyakan manusia tidak mengetahuinya.'" (34:36)

x. pengurniaan adalah ujian daripada Allah

Firman-Nya, "Apabila mudarat sentuh manusia, dia seru Kami; kemudian, apabila Kami kurniakan kepadanya satu rahmat daripada Kami, dia berkata, 'Aku diberi hanya kerana satu pengetahuan.' Tidak, ia adalah satu cubaan, tetapi kebanyakan mereka tidak mengetahuinya." (39:49)

xi. ciptaan langit dan bumi adalah lebih besar daripada ciptaan manusia

Firman-Nya, "Sungguh, ciptaan langit dan bumi adalah lebih besar daripada ciptaan manusia; tetapi kebanyakan manusia tidak mengetahuinya." (40:57)

 

6. Lalai daripada ayat-ayat Allah

Kebanyakan manusia lalai daripada ayat-ayat Allah. Ayat-ayat Allah juga bermaksud tanda-tanda kebesaran-Nya. Firman-Nya, 

"Maka pada hari ini Kami selamatkan kamu (Firaun) dengan badan kamu, supaya kamu jadi satu ayat bagi orang-orang yang sesudah kamu. Sesungguhnya kebanyakan manusia lalai daripada ayat-ayat Kami." (10:92)

dan akhir sekali, kebanyakan manusia,

 

7. Benci pada yang benar

Benci kepada al-Qur'an, lalu ambil ajaran kitab lain, misalannya. Firman Allah, 

"Kami telah datangkan kepada kamu yang benar, tetapi kebanyakan kamu benci pada yang benar." (43:78)

 

Sikap-sikap manusia yang merugikan dan yang menyelinap pada kebanyakan manusia terbentang sudah. Jika ada orang terasa dirinya berada dalam golongan majoriti manusia maka haruslah dia fikirkan untuk melepaskan diri dari mana-mana kumpulan sifat yang dia sedang menyarungi, walaupun sudah kian lama dan sudah selesa berada di dalamnya. Dan kembali kepada al-Qur'an yang kebanyakan manusia tidak pakai, tidak percaya.

Selamat meneruskan puasa.

 

Penulis Bacaan
18 Oktober 2004
Ramadan 1425


Artikel / English Articles
Halaman Utama   Terkini   Perpustakaan   Bacaan   E-Mail   Hiasan   Kalimat Pilihan
Keratan Akhbar   Penemuan   Soalan Lazim   Sudut Pelajar
Tulis kepada Pengurus Laman