Hanya al-Qur'an untuk Islam?

 

(Di bawah adalah teks ucapan penulis BACAAN pada sebuah majlis dialog antara ahli-ahli pro-Qur'an dengan pensyarah-pensyarah Universiti Islam Antarabangsa. Kedua-dua pihak diwakili tiga orang anggota, dan taip-tiap seorang diperuntukkan masa selama 15 minit untuk berucap. Tajuk telah dicadang oleh pihak UIA, iaitu "Mengapa Muslim tidak boleh bergantung hanya kepada Qur'an untuk mengamalkan Islam". Bahasa pengantar dialog itu adalah bahasa Inggeris. Justeru, apa yang disampaikan di sini adalah hanya terjemahan kepada teks asal dengan sedikit ubah suai. Dialog yang julung kali diadakan itu telah berlangsung pada 5hb Januari 1992 di Universiti Malaya, Kuala Lumpur.)

 


Salamun alaikum.

KATA Qur'an yang pertama disebut di dalam Kitab Allah, iaitu al-Qur’an, adalah di dalam surah kedua, surah al-Baqarah, pada ayatnya yang ke 185 (atau ditulis seperti 2:185). Ayat itu berbunyi, "Bulan Ramadan yang padanya al-Qur'an diturunkan, untuk menjadi satu petunjuk bagi manusia, dan sebagai bukti-bukti yang jelas daripada Petunjuk itu, dan Pembeza."


Penentangan

Dari bulan itu, bermulalah sejarah Islam (menyembah dan mematuhi perintah Tuhan Yang Satu) di bawah pimpinan Nabi terakhir, Muhammad. Misinya untuk sampaikan mesej Allah yang terkandung di dalam al-Qur'an ke seluruh dunia telah tidak disambut baik pada mulanya oleh orang-orang tempatan.

Penentangan yang timbul bukanlah ditujukan kepada dirinya secara peribadi, kerana seperti yang sedia maklum, beliau mempunyai akhlak yang mulia (68:4), akan tetapi, ia dituju kepada Kitab yang satu, al-Qur'an, yang disampaikannya. Ini diceritakan sendiri oleh Allah melalui ayat-Nya yang berbunyi, "Sesungguhnya Kami tahu bahawa ia sedihkan kamu, apa mereka kata; namun begitu, bukanlah kamu yang mereka dustakan, tetapi orang-orang zalim, ia adalah ayat-ayat Allah yang mereka sangkal," (6:33). Maka yang disangkal adalah ayat-ayat Allah, bukan Muhammad.

Cerita penentangan terhadap al-Qur'an dipanjangkan lagi dengan sebuah ayat yang lain berbunyi, "Orang-orang tidak percaya berkata, 'Jangan dengarkan Qur'an ini, dan cakaplah yang sia-sia mengenainya supaya kamu dapat kalahkan,'" (41:26).

Para seteru tidak suka al-Qur'an, dan ada pula di kalangan mereka yang meminta kitab yang lain daripada Nabi Muhammad. Allah mengisahkan peristiwa ini seperti berikut:

"Dan apabila ayat-ayat Kami dibacakan kepada mereka, bukti-bukti yang jelas, orang-orang yang tidak mengharapkan untuk bertemu dengan Kami berkata, 'Datangkanlah Qur'an selain yang ini, atau tukarlah ia.' Katakanlah (Muhammad), 'Tidak patut bagiku untuk menukarkannya dengan kemahuan diriku sendiri. Aku tidak ikut apa-apa, melainkan apa yang diwahyukan kepadaku. Sesungguhnya aku takut, jika aku ingkari Pemeliharaku (Tuhanku), akan azab hari yang besar,'" (10:15).

Demikianlah itulah secebis coretan daripada sejarah permulaan Qur’an yang terkandung di dalam al-Qur’an. Ia bermula dengan penentangan orang ramai.


Kitab lain

Hari ini berlainan pula. Desakan untuk kitab yang selain daripada al-Qur'an tidak lagi kedengaran. Ini bukan sahaja kerana Nabi Muhammad tidak ada bersama kita lagi, tetapi juga kerana mereka telah menghasilkan sendiri timbunan kitab yang banyak, tanpa pengetahuan dan persetujuan daripada Nabi, dalam masa yang panjang selepas wafatnya. Selanjutnya pula, mereka berkata pula pada hari ini, "Muslim tidak boleh bergantung hanya kepada Qur'an untuk mengamalkan Islam"!

Adakah lagi kitab-kitab lain yang mampu untuk beri petunjuk selepas al-Qur'an? Tidak. Tidak ada lagi. Dua ayat yang menyusul membenarkan jawapan tersebut:

Yang pertama berbunyi "Katakanlah, 'Datangkanlah sebuah Kitab daripada Allah yang lebih beri petunjuk daripada keduanya (Taurat dan Qur'an), dan ikutlah ia, jika kamu berkata benar,'" (28:49).

Dan kedua, "Maka dengan hadis apakah sesudah ini (Qur’an) yang mereka akan percayai?" (7:185. Lihat juga ayat 77:50. Terima kasih.)


Penulisan

Allah memang menggalakkan penulisan (96:4), tetapi bagi penulisan buku-buku agama, adalah difahamkan iaitu Dia tidak begitu merestuinya, seperti amaran-Nya yang berbunyi, "Maka kecelakaanlah bagi orang-orang yang menulis Kitab dengan tangan-tangan mereka, kemudian mereka berkata, 'Ini daripada Allah', supaya mereka menjualnya untuk harga yang sedikit; kecelakaanlah bagi mereka kerana apa yang tangan-tangan mereka tulis, dan kecelakaanlah bagi mereka kerana usaha-usaha mereka," (2:79). Tentu sekali penulisan kitab yang dimaksudkan-Nya di sini ialah yang berkaitan dengan agama, yang selain daripada ajaran-Nya.


Haram

Sebagai contoh, orang-orang yang mengharamkan benda-benda yang tidak dinyatakan sebagai haram di dalam al-Qur'an. Tuhan beri amaran dengan ayat-ayat-Nya yang bermaksud:

"Allah buat satu persamaan: sebuah bandaraya yang aman, tenteram, rezekinya datang kepadanya dengan senang dari tiap-tiap tempat, kemudian ia tidak percaya (kafir) kepada rahmat-rahmat Allah; maka Allah merasakannya pakaian kelaparan dan ketakutan kerana apa yang mereka kerjakan .…. Maka makanlah daripada apa yang Allah rezekikan kamu, yang halal, yang baik; dan berterimakasihlah atas rahmat Allah, jika Dia kamu sembah. Hanya benda-benda ini yang Dia haramkan kamu: bangkai, dan darah, dan daging babi, dan apa yang disucikan kepada selain Allah. Namun begitu, sesiapa yang terpaksa, dengan tidak menginginkan dan tidak juga menderhakai, maka sesungguhnya Allah Pengampun, Pengasih. Dan janganlah mengatakan apa yang lidah kamu terangkan dengan dusta, 'Ini halal, dan ini haram', supaya kamu ada-adakan dusta terhadap Allah; sesungguhnya orang-orang yang ada-adakan dusta terhadap Allah tidak akan beruntung," (16:112-116).

Segala tambahan bagi benda-benda yang diharamkan yang tertulis di dalam kitab-kitab karangan manusia, telah dikatakan diajar oleh Nabi sendiri. Akan tetapi sebenarnya, beliau tidak buat demikian. Buktinya adalah pada Kata-Kata Allah yang lain berbunyi:

"Katakanlah (Muhammad), 'Aku tidak dapati, dalam apa yang diwahyukan kepadaku, tiada yang diharamkan untuk dimakan kepada orang yang makan daripada itu, kecuali ia bangkai, atau darah yang tercurah, atau daging babi - itu adalah kotoran - atau kefasiqan yang disucikan kepada selain daripada Allah; namun begitu, sesiapa yang terpaksa dengan tidak menginginkan dan tidak juga menderhakai, sesungguhnya Pemelihara kamu Pengampun, Pengasih,'" (6:145).

Demikianlah itulah kata-kata sebenar Nabi Muhammad mengenai makanan yang diharamkan Islam. Ini adalah satu bukti yang nyata bahawa Muslim tidak perlu kitab yang lain, selain daripada al-Qur'an, untuk mengamalkan Islam.


Penambahan

Alasan utama untuk mengenakan umat Islam supaya berpegang kepada selain daripada al-Qur'an datang dari khabar angin yang mengatakan bahawa al-Qur'an itu tidak terperinci terutamanya dalam penerangannya mengenai ibadah, seperti solat, zakat, puasa, dan haji.

Menyentuh mengenai solat, persoalan yang timbul seperti apa, bila, kenapa, bagaimana, berapa banyak, atau segala suruhan dan larangan mengenainya, adalah terjawab di dalam al-Qur'an. Namun, tambahan untuk membasuh telinga dan hidung, dalam wuduk umpamanya, adalah tidak diajar di dalam Kitab Allah itu. Tambahan seperti ini mengingatkan kita pada suatu soalan daripada Tuhan berbunyi, 

"Apa, adakah kamu akan ajar Allah mengenai agama kamu, padahal Allah tahu apa yang di langit, dan apa yang di bumi? Dan Allah tahu segala sesuatu," (49:16).

Sementara mengenai zakat, pemberiannya tidak terhad kepada mereka yang mengaku Islam sahaja, menurut ajaran al-Qur'an. Seperti itulah juga dengan puasa. Berpuasa enam hari pada bulan Syawal, atau pada hari Isnin dan Khamis, atau berpuasa selama beberapa hari pada bulan Muharram, kesemuanya tidak diajar Tuhan di dalam Kitab-Nya.

Penambahan seperti ini dituruti dalam ibadah haji ajaran manusia. Ibadah-ibadah tambahan seperti mencium batu hitam, membaling batu, selipar, atau capal, kepada syaitan, atau bersolat di masjid yang kedua "suci", iaitu yang di Medinah, tidak pernah diperintah Allah. Menurut al-Qur'an, cuma ada satu masjid yang suci sahaja dalam Islam.

Pencemaran dalam ibadah Islam seperti ini tidak pernah diajar oleh Nabi kerana menurut Allah baginda hanya sampaikan ajaran al-Qur'an. (Sila renungkan ayat-ayat 69:43-46).


Ezra

Penambahan dan pencemaran dalam ibadah ajaran Tuhan oleh sarjana-sarjana agama bermula sejak Dia turunkan Kitab yang pertama lagi. Seorang daripada mereka ialah Uzair, atau Ezra, yang namanya disebut di dalam al-Qur'an. (Beliau tidak disenaraikan sebagai Nabi di dalam Kitab Allah.)

Siapakah dia? Saya petik keterangan daripada Bible untuk mengetahui siapa dia, berbunyi "Ezra ini berangkat pulang dari Babil. Ia adalah seorang ahli kitab, mahir dalam Taurat Musa yang diberikan Tuhan, Allah Israel," (Ezra 7:6)

Ezra adalah seorang ulama Yahudi yang hidup kira-kira seribu tahun selepas Nabi Musa. Namun, ajaran agamanya masih diikuti hingga ke hari ini. Ajarannya pula didapati bertentangan dengan ajaran Nabi Musa. Sebagai contoh, dia telah mengharamkan orang-orang Yahudi berkahwin dengan orang-orang yang bukan Yahudi. Ajaran lain seperti hukuman rejam batu ke atas pesalah hingga mati, buang negeri, merampas harta benda, dan penjara, kerana dikatakan melanggar hukum agama, adalah dipercayai telah dimulakan oleh pentadbir agama yang agung ini.


Persamaan

Beberapa acara keagamaan juga adalah dipercayai telah dirancang oleh ulama besar ini. Saya kemukakan tiga contoh:

1. Passover, iaitu untuk mengingati kebebasan dan pelarian kaum Yahudi dari pengabdian di Mesir. Ini serupa dengan Hijrah orang Islam.

2. Pentecost, atau Nuzul Qur'an dalam Islam, untuk merayakan turunnya Taurat kepada kaum Yahudi di Gunung  Sinai, dan,

3. Rosh Hashanah, atau Maal Hijrah umat Islam, disambut pada 1hb Tishri kalendar Yahudi. Pada hari yang kesepuluh mereka berpuasa dan menghabiskan hari itu dengan ibadah dan sembahyang.

Persamaan beberapa perayaan penting orang-orang Yahudi dengan sambutan-sambutan orang Islam tentu sekali memeranjatkan.

Diteruskan petikan dengan petikan terakhir daripada Bible mengenai Ezra berbunyi, "Lalu Ezra memuji Tuhan, Allah yang maha besar, dan semua orang menyambut dengan, "Amin, Amin!" (Nehemia 8:7). Tidakkah Amin ini serupa dengan Amin yang tidak diajar Tuhan, yang disebut manusia selepas membaca al-Fatihah?

Kerana ajaran agamanya, Ezra digelar anak Tuhan (9:30). Ezra disebut di dalam al-Qur'an untuk menjadi suatu peringatan dan pelajaran bagi manusia, supaya jangan ada lagi orang-orang seperti Ezra, tetapi, apakah yang kita lihat sehingga hari ini? Ribuan Ezra, dan ini bermakna, kita ada ribuan sumber untuk agama selain daripada al-Qur'an.


Ulama

Ulama adalah sepatah kata daripada al-Qur'an, iaitu kata jamak bagi adjektif alim yang bermakna, yang tahu, berketahuan, berpengetahuan, berilmu, mahir, arif, terpelajar, bijaksana, atau kesarjanaan, dan al-Alim pula, bermakna Yang Mengetahui.

Dari sebanyak seratus enam puluh tiga perkataan alim dan ulama di dalam al-Qur'an hanya sepuluh sahaja digunakan sebagai adjektif untuk manusia. Yang lain, dan yang terbanyak, adalah untuk Allah.

Contoh-contoh adjektif ini yang dipadankan dengan manusia adalah:

1. untuk tukang sihir, dalam cerita Nabi Musa (7:109,112, 10:79, 26:34,37);

2. untuk Nabi Yusuf, iaitu seorang alim dalam penjagaan perbendaharaan (12:55);

3. untuk anak yang alim bagi Nabi Ibrahim (15:53, 51:28);

4. untuk ulama Bani Israil yang percayai al-Qur'an (26:197). Ulama di dalam ayat ini bukanlah ulama seperti Ezra, atau sarjana, atau doktor agama, kerana Allah menggunakan perkataan yang lain, iaitu habr untuk mereka. Perkataan ini akan dibincangkan kemudian. Dan akhirnya,

5. saya petik ayatnya sekali berbunyi "Hanya yang takut kepada Allah di antara hamba-hamba-Nya ialah para ulama" (35:28).

Antara para 'ulama' Islam ada pula yang mengaku bahawa ayat ini ditujukan khas kepada mereka. Sebelum menerima dakwaan itu, elok diimbas konteks ayatnya dahulu iaitu "Tidakkah kamu lihat bagaimana Allah turunkan dari langit air, dan dengannya Kami keluarkan buah-buahan yang bermacam-macam warnanya? Dan di gunung-gunung terdapat jalur-jalur putih dan merah, daripada bermacam-macam warna, dan hitam yang pekat. Di antara manusia juga, dan haiwan, dan binatang ternak, bermacam-macam warnanya. Begitulah, hanya yang takut kepada Allah di antara hamba-hamba-Nya ialah para ulama; sesungguhnya Allah Perkasa, Pengampun," (35:27-28).

Adakah perkataan ulama di sini ditujukan kepada ulama agama. Tidak.

Ulama, dalam bahasa Tuhan, bermakna orang-orang yang berilmu, terpelajar, atau pakar dalam sesuatu bidang, sementara sarjana-sarjana atau doktor-doktor agama tidak termasuk dalam golongan ini. Untuk mereka, Tuhan menggunakan perkataan habr yang telah disebut tadi.

Perkataan ini muncul sebanyak empat kali di dalam al-Qur'an, seperti yang di bawah:

Pertama, habr yang mendokong Kitab Allah (5:44);

Kedua, habr yang sembunyikan kebenaran (5:63);

Ketiga, habr yang menipu rakyat dengan harta mereka, dan menjauhkan mereka dari jalan Allah (9:34), dan,

Keempat, habr yang dijadikan tuhan. Saya petik ayat yang keempat ini, berbunyi "Mereka ambil habr-habr mereka, dan rahib-rahib mereka, sebagai tuhan-tuhan selain daripada Allah," (9:31). Ulama agama dijadikan Tuhan oleh manusia!

Maka itu, dengan mematuhi ajaran sarjana, atau doktor agama, atau habr, di samping membelakangkan ajaran Tuhan, perbuatan itu dianggap sebagai mengangkat mereka untuk menjadi tuhan di samping Allah.

Atau, sebagai sekutu-Nya, seperti yang dijelaskan dengan ayat yang lain berbunyi, "Atau, adakah mereka punyai sekutu-sekutu yang mensyariatkan untuk mereka sebagai agama, yang dengannya Allah tidak izinkan?" (42:21). Lantas, mereka yang memandai-mandai mensyariatkan sebagai agama diterangkan Allah sebagai sekutu-Nya.

Ia, tuan-tuan dan puan-puan, dengan mentaati ajaran-ajaran habr, kita mungkin jadi orang-orang musyrik (yang sekutukan Tuhan).


Ahli Qur'an

Tentu sekali saya bersetuju bahawa kita memerlukan pertolongan manusia lain dalam usaha mencari kebenaran. al-Qur'an ajar kita supaya mendengar semua perkataan dan ikut yang terbaik daripadanya (39:18), dan tambahan lagi, ia beritahu kita kepada siapa yang harus ditanya - "Tanyalah ahli zikir jika kamu tidak tahu," (16:43).

Apakah ia zikir yang dimaksudkan itu? Soalan ini terjawab di dalam sebuah ayat Allah yang bermakna, "Dan ini (al-Qur'an) adalah satu zikir (Peringatan) yang diberkati, yang Kami turunkan; maka adakah kamu sekarang menafikannya?" (21:50).

Zikir adalah Mesej-Nya, atau al-Qur'an, yang merupakan satu-satunya sumber untuk mengamalkan Islam. Pada sumber-sumber lain, kata Allah, terdapat banyak percanggahan atau perselisihan. Firman-Nya, "Apa, tidakkah mereka renungkan al-Qur'an? Jika ia daripada selain Allah, tentu mereka dapati di dalamnya banyak perselisihan," (4:82).

Maka tanyalah ahli Qur'an, dan ikutlah al-Qur'an.

Kata-kata Allah tidak boleh disangkal - "dan tiada yang sangkal ayat-ayat Kami kecuali orang-orang tidak percaya (kafir)," (29:47) - mereka yang sangkal adalah orang-orang yang kafir, kata-Nya.


Hanya Qur'an

Sekiranya dikatakan ada sumber lain selain daripada al-Qur'an untuk mengamalkan Islam, maka ia bermakna kita harus mentaati habr-habr yang diangkat jadi tuhan, atau mentaati ribuan Ezra, anak-anak Tuhan, yang wujud di dalam dunia Islam pada hari ini. Tidak, muslim memerlukan hanya al-Qur'an untuk menjadi Islam.

Sebagai penutup, saya petik ayat yang menyusul ini untuk renungan bersama berbunyi "Allah buat satu persamaan: seorang lelaki yang sekutu-sekutu berselisih padanya, dan seorang lelaki yang kepunyaan penuh seorang lelaki. Adakah keduanya sama dalam persamaan? Segala puji bagi Allah! Tidak, tetapi kebanyakan mereka tidak tahu," (39:29).


Terima kasih.


Artikel / English Articles
Halaman Utama   Terkini   Perpustakaan   Bacaan   E-Mail   Hiasan   Kalimat Pilihan
Keratan Akhbar   Penemuan   Soalan Lazim   Sudut Pelajar
Tulis kepada Pengurus Laman