Keinginan jadi Tuhan
orang-orang diberi al-Kitab sebelum al-Qur'an didapati menaruh suatu keinginan terhadap orang-orang Kitab Allah yang terakhir. Keinginan mereka, Yahudi dan Kristian, dapat difahamkan apabila mereka dikatakan tidak akan berpuas hati selagi orang-orang Islam tidak ikut anutan mereka. Keinginan tersebut mungkin tidak diketahui atau dipastikan sehingga Allah mendedahkan melalui firman berbunyi,
"Dan tidaklah orang-orang Yahudi akan berpuas hati dengan kamu, dan tidak juga orang-orang Kristian, sehingga kamu ikut anutan mereka. Katakanlah, 'Petunjuk Allah ialah petunjuk yang benar.' Jika kamu ikut keinginan mereka setelah pengetahuan yang datang kepada kamu, maka kamu tidak akan ada, terhadap Allah, wali (pelindung) dan tiada juga penolong." (2:120)
Agak menarik apabila didapati ayat di atas merupakan yang pertama antara ayat-ayat Allah yang mengandungi kata keinginan di dalam al-Qur'an. Justeru, keinginan supaya orang Islam menganut agama yang sama dengan mereka berdua jadi pilihan pertama bagi Allah dalam memperkatakan perihal keinginan manusia.
Lawan bagi keinginan mereka ialah petunjuk daripada Allah, yang terkandung di dalam Kitab al-Qur'an. Tanpanya, apa yang mereka ingini pasti tercapai, dan mungkin sudah tercapai sedikit sebanyak, terbukti dengan kehadiran beberapa ajaran anutan mereka dalam kepercayaan Islam, selain terdapat orang-orang yang murtad untuk memeluk agama mereka.
Keinginan yang serupa dapat dilihat dalam Islam. Golongan-golongan di dalamnya bukan sekadar berkeinginan sahaja malah pergi lebih jauh lagi dengan memaksa orang-orang Islam yang tidak sefahaman supaya tunduk kepada fahaman mereka. Lawan bagi kehendak mereka ialah petunjuk daripada Allah juga.
Ahli Kitab
Selepas itu Allah menyebut mengenai orang-orang diberi al-Kitab . Mereka berselisih mengenai kiblat, lalu tidak jadi pengikut kiblat satu sama lain. Kerana ikut keinginan mereka, mereka juga tidak jadi pengikut kiblat yang ditentukan Allah di dalam al-Qur'an, iaitu Masjidil Haram. Firman-Nya,
"Namun begitu, jika kamu datangkan kepada orang-orang diberi al-Kitab tiap-tiap ayat, mereka tidak akan ikut kiblat kamu; kamu bukanlah pengikut kiblat mereka, dan bukanlah mereka pengikut-pengikut kiblat satu sama lain. Jika kamu ikut keinginan mereka setelah pengetahuan datang kepada kamu, sungguh, kamu termasuk orang-orang zalim." (2:145)
Pengetahuan sudah datang, maka zalimlah orang-orang yang ikut keinginan segolongan manusia untuk tidak berkiblatkan Masjidil Haram.
berlebih-lebihan dalam agama
Allah meneruskan penjelasan mengenai ahli Kitab. Atas keinginan segolongan ahli Kitab (termasuk Kitab al-Qur'an) ajaran dan amalan agama tidak lagi jadi benar setelah mereka menambah padanya sehingga jadi berlebih-lebihan. Misalan, pada asal ada hanya sebuah Kitab, kemudian jadi timbunan kitab untuk dijadikan pegangan dalam agama. Segala tambahan datang daripada keinginan kaum yang bersalah lagi sesat. Firman Allah,
"Katakanlah, 'Wahai ahli Kitab, jangan kamu berlebih-lebihan dalam agama kamu, selain daripada yang benar, dan jangan ikut keinginan kaum yang telah sesat sebelumnya, dan sesatkan ramai, dan sesat lagi daripada jalan yang betul.'" (5:77)
Kepercayaan agama jadi lebih daripada yang terkandung di dalam al-Qur'an, dengan kekadang menggunakan nama Rasul yang membawa Kitab tersebut. Peranannya ditokok-tambah sehingga tidak jadi hanya sampaikan ayat-ayat Allah seperti yang ditetapkan-Nya. Apapun, segala tambahan yang akhirnya jadi berlebihan dalam ajaran dan amalan agama telah sesatkan ramai manusia daripada jalan yang betul.
Keadilan
Jalan yang betul, di mana terdapat keadilan, turut dibengkokkan oleh keinginan atau kehendak manusia. Dengannya kandungan Kitab diputarbelit atau dipalingkan daripada manusia lain untuk berlaku ketidakadilan. Atas perbuatan itu, orang-orang yang percaya kepada-Nya diingatkan seperti berikut:
"Wahai orang-orang yang percaya, jadilah kamu orang-orang yang tegakkan keadilan, saksi-saksi untuk Allah, walaupun terhadap diri kamu sendiri, atau ibu bapa kamu, dan sanak saudara, sama ada orang itu kaya atau miskin; Allah paling dekat dengan keduanya. Kemudian jangan ikut keinginan kamu supaya kamu tidak buat adil; kerana jika kamu putarbelitkan, atau kamu palingkan, maka sesungguhnya Allah sedar apa kamu buat." (4:135)
Berlaku adil serta lurus juga disarankan apabila menyeru ahli Kitab lain kepada al-Qur'an. Keinginan mereka tidak diikuti, dan pertengkaran tidak berlaku, tetapi hanya berkata "Bagi kami amalan-amalan kami, dan bagi kamu, amalan-amalan kamu". Maksud firman Tuhan:
"Oleh kerana itu, kamu serulah, dan berlakuluruslah sebagaimana kamu diperintah; jangan ikut keinginan mereka, dan katakan, 'Aku percaya kepada mana-mana Kitab yang Allah turunkan; aku diperintah supaya berlaku adil antara kamu. Allah Pemelihara kami, dan Pemelihara kamu. Bagi kami amalan-amalan kami, dan bagi kamu, amalan-amalan kamu; tidak ada pertengkaran antara kami dan kamu; Allah akan kumpul kita bersama, dan kepada-Nya kepulangan.'" (42:15)
Hakim
Beranjak kepada hal menghakim antara manusia. Dalam hal tersebut, keinginan atau kehendak orang-orang yang dihakimkan tidak diikuti supaya yang benar tidak diabaikan. Mereka juga akan menggoda hakim daripada apa yang Allah turunkan di dalam al-Qur'an. Firman Tuhan,
"Dan Kami turunkan kepada kamu Kitab dengan yang benar, mengesahkan Kitab sebelumnya, dan mengawalnya. Maka hakimkan antara mereka menurut apa yang Allah turunkan, dan jangan ikut keinginan mereka untuk abaikan yang benar yang datang kepada kamu.....
Dan hakimkan antara mereka menurut apa yang Allah turunkan, dan jangan ikut keinginan mereka, dan berhati-hatilah terhadap mereka, supaya mereka tidak menggoda kamu daripada sebarang apa yang Allah turunkan kepada kamu." (5:48-49)
Sebaliknya, orang-orang yang menghakim dengan tidak adil kerana ikut keinginan mereka sendiri diterangkan sebagai sesat daripada jalan Allah. Firman-Nya,
"Wahai Daud, sesungguhnya Kami lantik kamu sebagai khalifah (pengganti) di bumi; maka hakimkanlah antara manusia dengan adil, dan jangan ikut keinginan supaya ia tidak menyesatkan kamu daripada jalan Allah. Sesungguhnya orang-orang yang sesat daripada jalan Allah, bagi mereka, azab yang keras kerana mereka melupakan Hari Perhitungan." (38:26)
Menyentuh sedikit mengenai terjemahan. Didapati bahawa antara para penterjemah al-Qur'an terdapat mereka yang tidak menggunakan perkataan keinginan tetapi hawa nafsu bagi kalimat asal hawa. Contoh kegunaannya adalah pada ayat yang baru disebut dan yang bakal diturunkan.
Kembali kepada perkara yang dibincangkan dengan tajuk kecil di bawah, dan sebuah firman:
Menyembah si Anu
"Katakanlah, 'Aku dilarang sembah orang-orang yang kamu seru selain daripada Allah.' Katakanlah, 'Aku tidak ikut keinginan kamu; jika demikian, aku sesat dan tidak termasuk orang-orang yang dapat petunjuk.'" (6:56)
Menyeru Allah membawa kepada menyembah-Nya. Menyeru selain Allah membawa kepada menyembah selain daripada-Nya. Orang yang menyeru dan menyembah Allah membersihkan empat bahagian anggota badan dalam wuduk. Orang yang menyeru dan menyembah si Anu (selain daripada Allah) membersihkan lebih daripada empat bahagian. Orang yang menyeru dan menyembah Allah tidak menyebut nama selain nama Allah dalam solat. Orang yang menyeru dan menyembah si Anu menyebut nama atau nama-nama selain daripada Allah dalam solat mereka. Orang yang menyeru dan menyembah Allah berkata Nabi tidak tahu yang ghaib, tetapi orang yang menyeru dan menyembah si Anu berkata Nabi tahu yang ghaib. Demikianlah beberapa contoh perbezaan di antara dua golongan tersebut.
Membersih empat bahagian anggota badan dalam wuduk, tidak menyebut nama selain nama Allah dalam solat, dan Nabi tidak tahu yang ghaib adalah petunjuk daripada Allah. Orang yang tidak dapat petunjuk, lalu jadi sesat, kerana ikut keinginan si Anu, akan lakukan atau percaya selain daripada apa yang diturunkan-Nya.
petunjuk
Terdapat beberapa lagi ayat "keinginan" yang mengandungi perkataan petunjuk atau yang serupa misalan Peringatan atau bukti yang jelas. Pertama diturunkan di sini ialah mengenai orang yang ikut keinginan sambil mendustakan petunjuk atau ayat-ayat Allah. Satu persamaan telah dibuat, dan disuruh pula ceritakannya kepada masyarakat umum, seperti di bawah:
"Dan sekiranya Kami hendak, tentu Kami naikkan dia dengannya, tetapi dia kekal (cenderung) kepada bumi, dan ikut keinginannya. Maka persamaannya seperti persamaan seekor anjing: jika kamu menghalaunya, ia menjulurkan lidahnya, atau jika kamu membiarkannya, ia menjulurkan lidahnya juga. Itu persamaan kaum yang dustakan ayat-ayat Kami. Maka ceritakanlah ceritanya supaya mereka fikirkan." (7:176)
Nah! Orang itu direndahkan dengan disamai seekor anjing yang menjulurkan lidahnya. Tidak syak lagi bahawa ia adalah satu persamaan yang buruk bagi orang-orang yang dustakan ayat-ayat-Nya.
Kedua, menurut urutan, ialah ayat mengenai orang-orang yang berpaling daripada Peringatan kerana ikut keinginan mereka. Langit dan bumi dan apa sahaja yang di dalamnya akan rosak jika yang benar ikut keinginan mereka. Firman Tuhan,
"Sekiranya yang benar ikut keinginan mereka, langit dan bumi dan apa sahaja yang di dalamnya, tentulah rosak. Tidak, Kami datangkan kepada mereka Peringatan mereka, tetapi daripada Peringatan mereka, mereka berpaling." (23:71)
Mungkin tsunami yang berlaku empat tahun lalu boleh dijadikan contoh bagi kerosakan tersebut. Atau apa yang berlaku di Afghanistan akibat diperintah oleh golongan Islam yang ikut keinginan atau hawa nafsu.
Keinginan manusia harus diikuti dengan petunjuk al-Qur'an supaya tidak jadi sesat. Tanpa petunjuk, atau pengetahuan, keinginan mampu mengheret kepada kezaliman. Firman-Nya,
"Kemudian, jika mereka tidak sahut kamu, ketahuilah bahawa mereka hanya ikut keinginan mereka; dan siapakah lebih sesat daripada orang yang ikut keinginannya tanpa petunjuk daripada Allah? Sesungguhnya Allah tidak beri petunjuk kepada kaum yang zalim." (28:50)
"Tidak, tetapi orang-orang buat kezaliman ikut keinginan mereka, tanpa pengetahuan; maka siapakah yang akan beri petunjuk kepada orang yang Allah sesatkan? Mereka tidak ada penolong-penolong." (30:29)
Amalan-amalan yang jahat akan dinampakkan indah bagi orang-orang yang ikut keinginan mereka sedang mereka tidak berada di atas bukti yang jelas, atau petunjuk al-Qur'an. Demikianlah dijelaskan oleh ayat berbunyi,
"Apa, adakah orang yang di atas bukti yang jelas daripada Pemeliharanya seperti orang yang amalan-amalannya yang jahat dinampakkan indah baginya, dan mereka ikut keinginan mereka?" (47:14)
Lantaran itu, dapat disimpulkan bahawa orang-orang yang tidak ikut ayat-ayat al-Qur'an adalah mereka yang ikut keinginan (atau kemahuan atau hawa nafsu) mereka sendiri atau keinginan orang lain seperti si Anu. Mereka dikatakan zalim dan sesat.
Makanan
Perkara selanjut dalam urutan ayat-ayat mengandungi kalimat keinginan ialah makanan. Pada makanan pun ramai orang disesatkan oleh orang-orang yang ikut keinginan mereka. Mereka mengharamkan makanan-makanan yang tidak diharamkan Allah lalu jadi orang-orang yang mencabuli hukum Allah. Firman-Nya,
"Mengapakah dengan kamu, bahawa kamu tidak makan daripada apa yang padanya diingatkan nama Allah, padahal Dia telah jelaskan kepada kamu apa yang Dia haramkan kamu, kecuali kamu terpaksa padanya? Tetapi, sesungguhnya ramai orang menyesatkan dengan keinginan mereka tanpa sebarang pengetahuan; Pemelihara kamu, Dia sangat-sangat tahu orang-orang yang mencabul." (6:119)
Penjelasan mengenai apa yang diharamkan Allah dapat dibaca pada ayat-ayat 2:173, 5:3 dan 16:115. Terdapat lagi ayat keinginan atas makanan yang menjelaskan pula mengenai orang-orang yang saksikan berbunyi,
"Katakanlah, 'Bawalah saksi-saksi kamu, orang-orang yang saksikan bahawa Allah haramkan ini.' Kemudian, jika mereka saksikan, janganlah saksikan bersama mereka; dan jangan ikut keinginan orang-orang yang dustakan ayat-ayat Kami, dan yang tidak percayai akhirat, dan setarakan Pemelihara mereka." (6:150)
Selain mencabul, orang-orang yang mengharamkan makanan atas keinginan mereka disifat sebagai mendustakan ayat-ayat Allah, tidak percayai akhirat, dan menyetarakan-Nya.
Kehukuman
"Begitulah Kami turunkan sebagai satu kehukuman dalam bahasa Arab. Dan jika kamu ikut keinginan mereka, setelah pengetahuan yang datang kepada kamu, maka kamu tidak ada wali (pelindung) terhadap Allah, dan tidak ada yang mempertahankan." (13:37)
Ayat sebelumnya (13:36) yang berbunyi "Katakanlah, 'Aku hanya diperintah untuk sembah Allah, dan tidak sekutukan sesuatu dengan-Nya. Kepada-Nya aku seru, dan kepada-Nya tempat kembali'" boleh diambil sebagai penjelasan bagi maksud kehukuman yang disebut.
Justeru, al-Qur'an yang diturunkan dalam bahasa Arab kerana kejelasan yang terdapat padanya, untuk memudahkan alih bahasa supaya seluruh umat manusia dapat memahami apa yang dimaksudkan dengan menyembah Allah, menyekutu sesuatu dengan-Nya, dan sebagainya.
Maka segala kebengkokan yang terbit daripada keinginan sesetengah golongan, seperti daripada penganut anutan si Anu, dapat dikesan dengan mudah.
Berkaitan dengan kehukuman ialah syariat, atau hukum agama, daripada Perintah Allah. Manusia yang ikut keinginan mereka juga menggubal hukum agama sendiri, seperti hukum hudud atau hukum syariah a la suni dan sebagainya, tetapi ia tidak diikuti, kerana mereka yang menggubal ditakrif sebagai orang-orang yang tidak tahu. Firman Allah,
"Kemudian Kami buat kamu di atas satu syariat daripada Perintah; maka ikutlah ia, dan jangan ikut keinginan orang-orang yang tidak tahu." (45:18)
Hati
Hati jadi perkara yang dibangkitkan seterusnya dalam urutan ayat-ayat keinginan. Ia dilalaikan Allah daripada mengingati-Nya pada golongan manusia yang ikut keinginan mereka. Firman-Nya,
"dan jangan taati orang yang hatinya Kami lalaikan daripada peringatan Kami supaya dia mengikuti keinginannya, dan urusannya melewati batas." (18:28)
Orang yang lalai daripada Peringatan Allah dikatakan melewati batas dalam urusannya kerana ikut keinginan. Satu daripada amalan dalam mengingati-Nya ialah solat. Untuk keterangan lanjut mengenai mengingati Allah sila rujuk Zikir ajaran al-Qur'an. Terima kasih.
Ada juga yang pada hati mereka Allah letak satu penutup lalu mereka ikut keinginan mereka. Itu kerana setelah mendengarkan ayat-ayat Allah yang jelas mereka pergi pula kepada orang-orang diberi pengetahuan untuk bertanya. Ayat berikut menjelaskan,
"Dan antara mereka ada yang dengarkan kamu, sehingga, apabila mereka keluar daripada kamu, mereka berkata kepada orang-orang diberi pengetahuan, 'Apakah yang dia kata tadi?' Merekalah orang-orang yang pada hati mereka Allah letak satu penutup, dan mereka ikut keinginan mereka." (47:16)
Perbuatan pergi bertanya, misalan kepada ustaz, atas kemahuan sendiri, adalah kerana ragu-ragu terhadap ayat-ayat Allah. Atau ada agenda lain dalam ketidakpercayaan.
jadi tuhan
Kemuncak ikut keinginan ialah apabila ia dijadikan tuhan, bermaksud ia lebih diutamakan daripada Tuhan, atau ayat-ayat-Nya. Tindakan-tindakannya mengikut kehendaknya bukan kehendak Tuhan. Firman-Nya,
"Sudahkah kamu lihat orang yang mengambil keinginannya menjadi tuhannya? Adakah kamu jadi wakil kepada mereka?" (25:43)
Satu contoh orang seperti itu ialah yang mempunyai suatu pengetahuan, lalu membuatnya beranggapan seperti orang pandai. Dia disesatkan atas pengetahuan tersebut, dan pendengaran, hati serta penglihatannya ditutup oleh Allah. Maksud firman-Nya,
"Sudahkah kamu lihat orang yang mengambil keinginannya untuk menjadi tuhannya, dan Allah sesatkan dia atas satu pengetahuan, dan letak satu penutup pada pendengarannya, dan hatinya, dan letak satu penudung pada penglihatannya? Siapakah yang akan beri petunjuk kepadanya selepas Allah? Apa, tidakkah kamu mengingati?" (45:23)
Benar, sesetengah orang pandai didapati sukar untuk menembusi keinginan atau ego mereka dengan ayat-ayat al-Qur'an.
Jiwa
Pengaruh keinginan manusia ialah jiwa mereka. Ia telah menyebabkan berlaku kesombongan, dan Rasul didusta dan dibunuh, seperti dilakukan oleh Bani Israil sebelum al-Qur'an diturunkan (2:87 dan 5:70). Apa yang berlaku pada hari ini, disebabkan oleh sangkaan dan keinginan jiwa orang-orang yang terdahulu ialah sebutan nama Allah yang Dia tidak beri kuasa. Misalan nama Akhbar yang tidak disebut di dalam al-Qur'an. Firman-Nya,
"Tiadalah ia, melainkan nama-nama yang kamu sendiri namakan, dan bapa-bapa kamu; Allah tidak turunkan kuasa mengenai mereka. Mereka ikut hanya sangkaan, dan apa yang jiwa inginkan; dan sesungguhnya, petunjuk telah datang kepada mereka daripada Pemelihara mereka." (53:23)
Oleh itu, Allah menyuruh manusia supaya melarang jiwa mereka daripada menimbulkan keinginannya. Orang yang takut akan Medan-Nya tentu akan melarangnya. Firman Allah,
"Tetapi bagi orang yang takut akan Medan Pemeliharanya, dan melarang jiwa daripada keinginannya," (79:40)
Daripada ayat sebelum (79:39) apa yang dimaksudkan dengan Medan di situ ialah Jahim atau dikenali umum sebagai neraka.
Penutup
Tajuk jiwa adalah yang terakhir dalam ayat-ayat keinginan yang menurut kronologi. Terdapat pula ayat yang mengandungi perkataan berkeinginan. Ayat tersebut terkandung dalam doa Nabi Ibrahim. Apa yang dipohonnya kepada Allah supaya hati manusia berkeinginan lakukan sesuatu disebut di dalam ayat berbunyi,
"Wahai Pemelihara kami, aku tempatkan sebahagian daripada keturunanku di sebuah lembah di mana tidak ada tanah yang disemai dekat Rumah Suci Engkau; wahai Pemelihara kami, agar mereka melakukan solat, dan buatkan hati manusia berkeinginan padanya, dan berilah rezeki mereka dengan buah-buahan supaya mereka berterima kasih." (14:37)
Allah dipohon semoga hati manusia berkeinginan lakukan solat. Namun, orang tidak percayai dan ikut keinginannya akan menghalang daripada lakukannya. Firman Allah,
"Sesungguhnya Akulah Allah; tidak ada tuhan melainkan Aku; maka sembahlah Aku, dan lakukan solat untuk mengingati Aku... Janganlah sesiapa halangi kamu daripadanya, yang tidak percayainya dan ikut keinginannya, atau kamu akan binasa." (20:14-16)
orang tidak percayai dan ikut keinginannya tidak menyembah Allah dan tidak lakukan solat untuk mengingati-Nya. Dan tentu ada lagi keingkaran lain yang dilakukannya.
Sila rujuk:
Kalimat
Keinginan
di dalam al-Qur'an.
Penulis Bacaan
26 Mei 2009
Artikel
/ English
Articles
Halaman Utama
Terkini
Perpustakaan
Bacaan
E-Mail
Hiasan
Kalimat Pilihan
Keratan
Akhbar Penemuan
Soalan Lazim
Sudut
Pelajar
Tulis kepada
Pengurus Laman