Satu Tuhan, Satu Kitab, Satu Umat

 

Perselisihan dan Perpecahan
mengikut ajaran al-Qur'an

 

Manusia seharusnya jadi satu umat kerana Tuhan yang mencipta mereka hanya satu. Akan tetapi, atas kebebasan yang Tuhan beri kepada mereka, mereka memilih untuk hidup tidak bersatu dengan berselisih antara satu sama lain. Perselisihan yang dibangkitkan adalah tidak berhenti-henti. Demikian itulah manusia seperti dinyatakan di dalam al-Qur'an berbunyi,

"Sekiranya Pemelihara kamu hendak, tentu Dia buat manusia satu umat, tetapi mereka tidak berhenti-henti berselisih," (11:118)

Perselisihan antara mereka jadi berpanjangan kerana apa yang diselisihkan tidak diputuskan Allah dengan serta-merta. Putusannya menunggu suatu waktu yang telah ditetapkan terlebih dahulu. Firman-Nya,

"Manusia hanyalah satu umat, kemudian mereka berselisih. Jika tidak kerana satu kata yang terdahulu daripada Pemelihara kamu, pasti ia telah diputuskan antara mereka mengenai apa yang dalamnya mereka selisihkan." (10:19)


Al-Qur'an

Perselisihan yang dimaksudkan itu adalah dalam kepercayaan. Ia berlaku setelah Kitab Allah diturunkan, dan hanya berlaku di kalangan orang-orang yang menerimanya. Sebab, antara mereka yang menerimanya, adalah yang percaya dan yang tidak. Namun, keangkuhan yang ditunjukkan oleh sesetengah orang jadi sebab utama.

Golongan yang percaya kepada Kitab Allah diberi petunjuk pada yang benar atas apa yang diselisihkan, dan mereka juga diberi petunjuk pada jalan lurus oleh Allah. Sementara bagi golongan yang tidak percaya, yang angkuh, mereka tidak dirahmati seperti golongan yang percaya. Ayat Allah yang menjelaskannya berbunyi,

"Manusia adalah umat yang satu, kemudian Allah bangkitkan Nabi-Nabi sebagai pemberi berita gembira dan pemberi amaran, dan Dia turunkan bersama mereka Kitab ....... Hanya orang-orang yang diberikannya berselisih, setelah bukti-bukti yang jelas datang kepada mereka, kerana angkuh antara mereka; kemudian Allah beri petunjuk kepada orang-orang yang percaya pada yang benar mengenai apa yang dalamnya mereka selisihkan, dengan izin-Nya; dan Allah beri petunjuk kepada sesiapa Dia hendaki pada jalan lurus." (2:213)

Jalan lurus dinyatakan di dalam Kitab al-Qur'an. Ikut jalan itu bererti menyembah Tuhan, atau Pemelihara, dengan sebenarnya. Namun begitu, terdapat juga golongan-golongan manusia yang berselisih dan enggan menyembah-Nya dengan tidak ikut jalan tersebut, walhal ia adalah yang ditetapkan Allah. Firman-Nya,

"'Sesungguhnya Allah, Pemeliharaku dan Pemeliharamu; maka sembahlah Dia. Ini jalan lurus.' Tetapi golongan-golongan berselisih sesama mereka, kemudian kecelakaanlah bagi orang-orang tidak percaya kerana senario hari yang besar." (19:36-37)

Golongan-golongan yang berselisih mengenai jalan lurus adalah bukan sahaja tidak percaya, atau kufur, malahan mereka juga diterangkan Allah sebagai orang-orang buat kezaliman . Firman-Nya,

"Tetapi golongan-golongan antara mereka berselisih; maka kecelakaanlah bagi orang-orang buat kezaliman kerana azab hari yang pedih." (43:65)

Mereka yang berselisih mengenai jalan lurus diberi amaran dengan "senario hari yang besar" dan "azab hari yang pedih" seperti yang baru dijelaskan.


Pengetahuan

Al-Qur'an yang diturunkan mengandungi pengetahuan bagi agama yang benar, iaitu Islam. Orang-orang yang berselisih mengenainya adalah mereka yang didatangkan pengetahuan tersebut, juga kerana sifat angkuh, yang menular di dalam diri mereka, lalu mereka jadi tidak percaya kepadanya. Al-Qur'an menjelaskan:

"Agama yang benar di sisi Allah ialah Islam (tunduk patuh kepada Tuhan), dan orang-orang diberi al-Kitab tidak berselisih melainkan setelah pengetahuan datang kepada mereka kerana angkuh antara mereka. Dan sesiapa tidak percaya kepada ayat-ayat Allah, maka sesungguhnya Allah cepat buat hitungan." (3:19)

Sesungguhnya Allah turunkan al-Qur'an sebagai satu ujian bagi manusia. Kalau semua manusia percayainya maka mereka jadi satu umat. Tetapi manusia berselisih. Segala yang diselisihkan akan diberitahu pada hari mereka temui-Nya nanti. Firman Tuhan,

"Dan Kami turunkan kepada kamu Kitab dengan yang benar, ...... Sekiranya Allah hendak, tentu Dia buat kamu satu umat; tetapi supaya Dia uji kamu dalam apa Dia beri kamu ...... kepada Allah kamu kembali, kesemuanya; dan Dia beritahu kamu apa yang padanya kamu selisihkan." (5:48)

Satu lagi sebab mengapa umat berselisih antara satu sama lain ialah amalan sesetengah manusia yang mengambil kitab selain daripada al-Qur'an sebagai petunjuk. Kerana, menurut Allah, kitab-kitab yang selain daripada al-Qur'an, yang dikarang oleh manusia, mengandungi banyak perselisihan. Perselisihan pada kitab-kitab itu tentu jadikan manusia berselisih antara satu sama lain. Firman-Nya,

"Apa, tidakkah mereka renungkan al-Qur'an? Jika ia daripada selain Allah, tentu mereka dapati di dalamnya banyak perselisihan." (4:82)

Dengan mengambil kitab selain daripada al-Qur'an maka bererti mengambil selain daripada Allah sebagai Pemelihara atau Tuhan. Amalan itu, tidak syak lagi, menjadi resipi bagi perselisihan antara manusia. Firman-Nya,

"Katakanlah, 'Adakah aku cari satu pemelihara, selain daripada Allah, yang adalah Pemelihara segala sesuatu?' ...... Kemudian kepada Pemelihara kamu, kamu kembali, dan Dia beritahu kamu apa yang padanya kamu selisihkan." (6:164)


Wali

Turut jadi sebab bagi perselisihan umat ialah amalan sesetengah golongan manusia yang mengambil wali-wali selain daripada Allah. Ambilan tersebut serupa dengan menyembah mereka. Golongan yang buat demikian menyangka wali-wali mereka dapat mendekatkan mereka dengan Allah. Firman-Nya,

"Tidakkah kepunyaan Allah agama yang tulus? Dan orang-orang yang mengambil wali-wali (pelindung-pelindung) selain daripada Dia - 'Kami hanya sembah mereka supaya mereka dekatkan kami dalam kedekatan dengan Allah' - sesungguhnya Allah akan hakimkan antara mereka mengenai apa yang padanya mereka selisihkan. Sesungguhnya Allah tidak beri petunjuk kepada pendusta, yang berdegil dalam ketidakpercayaan." (39:3)

Wali-wali daripada golongan manusia disangka dapat mendekatkan manusia dengan Allah kerana ajaran mereka yang dianggap menarik dan benar. Akan tetapi, Allah sifatkan mereka dan wali-wali mereka sebagai pendusta, dan sebagai orang-orang yang berdegil dalam ketidakpercayaan. Mereka tidak dapat petunjuk daripada Allah.

Manusia juga berselisih mengenai Hari Kiamat dan kejadian yang berlegar di sekitarnya. Keterangan mengenainya dipanggil "berita besar". Perselisihan mengenai berita besar dirakamkan pada ayat berbunyi,

"Yang mengenainya (berita besar) mereka berselisih." (78:3)

Perselisihan tersebut disebabkan ajaran sesetengah manusia yang bertentangan dengan ajaran Allah daripada al-Qur'an.


Perpecahan

Perselisihan mengenai al-Kitab mendorong kepada perpecahan umat. Perpecahan serupa itu sukar dipulih kerana ia merupakan perpecahan yang jauh. Tuhan menjelaskan,

"Itu adalah kerana Allah turunkan al-Kitab dengan yang benar, dan orang-orang yang berselisih mengenai al-Kitab adalah dalam perpecahan yang jauh." (2:176)

Perpecahan berlaku di kalangan orang-orang diberi al-Kitab, atau orang-orang yang menerimanya. Mereka berpecah belah setelah al-Kitab, atau Bukti Yang Jelas, datang kepada mereka.

"Dan mereka tidak berpecah belah, orang-orang diberi al-Kitab , melainkan setelah Bukti Yang Jelas datang kepada mereka." (98:4)

Sebab utama umat berpecah belah ialah ketidakpercayaan kepada Kitab tersebut yang dilakukan oleh orang-orang yang rasa mulia atau sombong. Ketidakpercayaan mereka juga menyebabkan perpecahan yang jauh di kalangan umat. Dan, menurut Allah lagi, tiada yang lebih sesat daripada mereka. Ayat-ayat al-Qur'an yang menjelaskannya adalah:

"Tidak, tetapi orang-orang tidak percaya adalah dalam kemuliaan dan perpecahan." (38:2)

"Katakanlah, 'Apa pendapat kamu, jika ia adalah daripada Allah, kemudian kamu tidak percaya kepadanya? Siapakah yang lebih sesat daripada orang yang dalam perpecahan yang jauh?'" (41:52)

Selanjutnya, sikap angkuh antara satu sama lain dan keraguan terhadap al-Kitab, yang mengandungi pengetahuan, turut menyumbang kepada perpecahan umat. Semua berlaku setelah pengetahuan daripada al-Kitab datang kepada mereka. Perpecahan itu tidak diputuskan dengan segera kerana menunggu suatu tempoh yang telah ditetapkan Allah. Firman-Nya,

"Mereka tidak berpecah belah kecuali setelah pengetahuan datang kepada mereka, kerana angkuh antara satu sama lain; dan kalau tidak kerana satu Kata yang terdahulu daripada Pemelihara kamu hingga satu tempoh yang dinyatakan, tentu ia diputuskan antara mereka. Tetapi orang-orang yang diwariskan al-Kitab sesudah mereka adalah dalam keraguan padanya, kebimbangan." (42:14)


Bergolongan

Perpecahan umat dapat dilihat dengan jelas setelah manusia jadi bergolongan dalam agama, dan mereka yang bergolongan itu pula bergembira dengan apa yang mereka ada. Kenyataan tersebut dipetik daripada ayat berikut:

"Tetapi mereka berpecah dalam urusan mereka antara mereka kepada golongan-golongan kepercayaan; tiap-tiap golongan gembira dengan apa di sisi mereka." (23:53)

Pecahan dalam agama, seperti bermazhab atau berkumpulan, yang dianjurkan oleh sesetengah pihak adalah bukan ajaran Allah mahupun Nabi-Nya, Muhammad (6:159). Sebaliknya, agama yang disyariatkan kepada baginda dan Nabi-Nabi sebelum baginda adalah yang bercorak tidak berpecah belah. Firman-Nya,

"Dia syariatkan bagi kamu (Muhammad) sebagai agama apa yang Dia wasiatkan Nuh dengannya, dan apa yang Kami wahyukan kamu, dan apa yang Kami wasiatkan Ibrahim dengannya, dan Musa, dan Isa: 'Lakukanlah agama, dan janganlah berpecah belah di dalamnya.'" (42:13)


Azab

Perpecahan dan perselisihan di kalangan manusia berlaku setelah al-Kitab, yang menjadi bukti-bukti yang jelas daripada Allah atas kebenaran, datang kepada mereka. Kejahatan yang dilakukan itu akan dibalas dengan azab yang besar. Seperti itulah bunyi peringatan daripada sebuah ayat bermaksud,

"Janganlah jadi seperti orang-orang yang berpecah belah, dan berselisih setelah bukti-bukti yang jelas datang kepada mereka; mereka itu, bagi mereka, azab yang besar," (3:105)

Segala yang diperselisihkan akan dihakim dan diputuskan Allah pada Hari Kiamat (22:69 dan 45:17). Hanya Dia sahaja yang berhak buat demikian. Justeru, manusia tidak seharusnya menjatuhkan hukum seperti sesat ke atas manusia lain yang didapati berselisih dengan mereka. Sebaliknya, mereka harus mengatakan seperti yang diajar Tuhan berbunyi,

"Katakanlah, 'Ya Allah, Pemula langit dan bumi, yang tahu yang ghaib dan yang nyata, Engkaulah yang hakimkan antara hamba-hamba-Mu mengenai apa yang mereka padanya mereka selisihkan.'" (39:46)


Tali Allah

Perselisihan dan perpecahan tentu akan mengheret kepada permusuhan di kalangan umat. Jalan penyelesaiannya pula sukar disetujui, walaupun ia mampu mengikat hati mereka untuk menjadi satu. Jalan itu adalah dengan berpegang teguh pada tali Allah, berbentuk sebuah Kitab yang diwahyukan-Nya. Dengannya umat jadi bersaudara, tidak berselisih, tidak berpecah belah, dan juga tidak bermusuhan antara satu sama lain. Iktibar diambil daripada sebuah firman-Nya yang berbunyi,

"Dan berpegangteguhlah kamu pada tali Allah, semuanya, dan janganlah kamu berpecah belah, dan ingatlah akan rahmat Allah ke atas kamu ketika kamu bermusuh-musuhan, lalu Dia satukan hati-hati kamu, supaya dengan rahmat-Nya kamu jadi bersaudara." (3:103)

Lantaran itu, umat haruslah berpegang dengan teguh pada al-Qur'an seperti yang diperintah Tuhan, untuk merealisasikan dasar Islam "Satu Tuhan, Satu Kitab, Satu Umat". Walaupun ia sukar, namun umat harus terus berusaha untuk mencapainya, demi kebahagiaan di dunia dan di akhirat.


Penulis Bacaan
13 Disember 2004


Artikel / English Articles
Halaman Utama   Terkini   Perpustakaan   Bacaan   E-Mail   Hiasan   Kalimat Pilihan
Keratan Akhbar   Penemuan   Soalan Lazim   Sudut Pelajar
Tulis kepada Pengurus Laman