Syariat Agama

 

Allah mensyariatkan sebagai agama kepada Nabi Muhammad sama seperti Dia wasiatkan atau wahyukan Nabi-Nabi yang dilantik sebelum baginda, misalan, Nuh, Ibrahim, Musa dan Isa. Kesemuanya pula diperintah supaya lakukan agama menurut apa yang diwasiat atau diwahyukan, dan lagi, diperintah agar tidak berpecah belah di dalamnya.

Sebab utama umat berpecah belah dalam agama ialah kepercayaan yang berbeza, yang dimulakan oleh orang-orang yang sekutukan Allah, iaitu mereka yang mendatangkan syariat atau syariah yang bukan daripada apa yang disyariatkan Allah. Demikianlah itu kerana mereka benci kepada wahyu yang diwahyukan oleh Allah. Firman-Nya,

"Dia syariatkan bagi kamu (Muhammad) sebagai agama apa yang Dia wasiatkan Nuh dengannya, dan apa yang Kami wahyukan kamu, dan apa yang Kami wasiatkan Ibrahim dengannya, dan Musa, dan Isa: 'Lakukanlah agama, dan janganlah berpecah belah di dalamnya.' Amatlah benci bagi orang-orang yang sekutukan pada apa yang kepadanya kamu seru mereka. Allah pilih kepadanya sesiapa Dia hendaki, dan Dia beri petunjuk kepadanya orang yang berkesesalan." (42:13)

Kebencian mereka menyebabkan kewujudan syariat yang selain daripada ditetapkan Allah dan Nabi. Namun, mereka diterima pula oleh umat sebagai sarjana-sarjana dalam agama yang harus ditaati. Penerimaan sedemikian rupa membelakangkan peringatan Allah mengenai orang-orang diberi petunjuk, iaitu diberi kepada siapa Dia hendaki, bukan yang umat hendaki. Contoh orang-orang yang Dia hendaki untuk diberi petunjuk ialah mereka yang berkesesalan, yang sukar dikenalpasti.

Ditegaskan lagi iaitu orang-orang yang sekutukan Allah, dalam konteks di sini (kerana terdapat lagi sebab-sebab lain), adalah mereka yang mensyariatkan agama dengan apa yang tidak diizinkan Allah, atau yang tidak diwahyu atau diwasiatkan kepada Nabi-Nya. Ketegasan tersebut dapat difahamkan daripada firman Allah yang menyusul, berbunyi,

"Atau, adakah mereka punyai sekutu-sekutu yang mensyariatkan untuk mereka sebagai agama, yang dengannya Allah tidak izinkan?" (42:21)

Perbuatan sekutukan Allah adalah dosa besar. Ia tidak diampunkan. Firman Allah,

"Allah tidak ampun apa-apa yang dengan-Nya disekutukan, dan Dia ampun yang selain itu kepada siapa Dia hendaki. Sesiapa sekutukan Allah, sungguh dia ada-adakan dosa besar." (4:48)

Umat diberitahu lagi bahawa Nabi Muhammad telah dibuat oleh Tuhan berada di atas satu syariat atau syariah daripada Perintah-Nya. Baginda disuruh ikutinya dan dilarang ikut orang-orang yang tidak tahu mengenainya. Firman-Nya,

"Kemudian Kami buat kamu (Muhammad) di atas satu syariat daripada Perintah; maka ikutlah ia, dan jangan ikut keinginan orang-orang yang tidak tahu." (45:18)

Mereka yang tidak tahu adalah yang benar-benar tidak tahu kerana tidak mengkaji Perintah-Nya, atau, tidak mahu tahu kerana benci. Oleh kerana Nabi dilarang ikut mereka maka larangan tersebut juga jatuh ke atas umat. 

Perintah Tuhan terdapat pada ayat-ayat-Nya yang jadi bukti-bukti yang nyata bagi manusia. Perintah-Nya telah diturunkan sejak zaman sebelum Nabi Muhammad lagi. Malanganya ia telah diselisihkan kerana sifat angkuh yang dipakai oleh sesetengah mereka. Perselisihan tersebut akan diputuskan sendiri oleh Allah pada Hari Kiamat. Demikianlah dinyatakan oleh ayat yang diturunkan sebelum ayat yang baru dicatat di atas:

"Kami beri mereka (orang-orang sebelum Nabi Muhammad) bukti-bukti yang nyata daripada Perintah; maka mereka tidak selisihkan, kecuali setelah pengetahuan datang kepada mereka, kerana angkuh antara mereka. Sesungguhnya Pemelihara kamu akan putuskan antara mereka pada Hari Kiamat mengenai apa yang mereka selisihkan." (45:17)

Untuk mengelakkan perselisihan yang terbit daripada ajaran Kitab yang diturunkan sebelum al-Qur'an maka Allah turunkan al-Qur'an pula. Tugasnya yang pertama adalah untuk mengesahkan Kitab yang terdahulu. Kedua, untuk mengawal kandungan Kitab tersebut, seperti menunjukkan apa yang benar dan apa yang tidak, atau apa yang ada diperintah dan apa yang tiada.

Maka orang-orang yang bersenang hati ikut ajaran kitab Bible, kerana sangka ia adalah Kitab sebenar yang diturunkan sebelum Nabi, lalu harus ditaati ajarannya, hendaklah mengetahui pula mana-mana ajaran atau perintah yang tidak disahkan oleh al-Qur'an. Kerana segala yang tidak disahkan harus ditolak. 

Beberapa contoh ajaran daripada Bible yang sedang diamalkan oleh orang Islam dan yang tidak disahkan oleh al-Qur'an dapat dibaca dalam artikel Ajaran Islam daripada Bible. Mereka harus ditolak kerana mereka adalah hanya rekaan atau keinginan para sarjana agama yang sekutukan Tuhan.

Kitab al-Qur'an yang diturunkan Allah merupakan juga satu ujian bagi orang-orang yang menerimanya. Di dalamnya terdapat peraturan (atau syariat) yang sudah ditentukan Allah. Peraturan serupa itu turut diberi kepada orang-orang terdahulu. Di samping peraturan tersebut, Allah menguji dengan beri satu jalan yang terbuka untuk umat memilih sama ada mahu percaya atau tidak percaya kepadanya.

Kebebasan itu jadikan umat tidak bersatu, lalu berpecah belah kerana terdapat golongan yang ikut keinginan sesetengah pihak, seperti para sarjana, yang mengabaikan Kitab Allah.

Akan tetapi, Nabi telah, dengan tegasnya, diperintah supaya ikut dan hakimkan atau buat keputusan menurut peraturan yang terkandung di dalam Kitab al-Qur'an. Firman-Nya,

"Dan Kami turunkan kepada kamu (Muhammad) Kitab dengan yang benar, mengesahkan Kitab sebelumnya, dan mengawalnya. Maka hakimkan antara mereka menurut apa yang Allah turunkan, dan jangan ikut keinginan mereka untuk abaikan yang benar yang datang kepada kamu. Bagi setiap kamu, Kami tentukan satu peraturan, dan satu jalan yang terbuka. Sekiranya Allah hendak, tentu Dia buat kamu satu umat; tetapi supaya Dia uji kamu dalam apa Dia beri kamu. Maka berlumba-lumbalah kamu dalam kebajikan; kepada Allah kamu kembali, kesemuanya; dan Dia beritahu kamu apa yang padanya kamu selisihkan." (5:48)

Lantaran itu, umat juga harus percaya dan hakimkan atau buat keputusan berpandukan Kitab al-Qur'an, macam Nabi Muhammad.

Akhir sekali, umat dinasihatkan supaya berlumba-lumba dalam kebajikan mengikut yang ditentukan Allah di dalam al-Qur'an. Dan tidak harus membuang masa dalam perselisihan yang diterbitkan oleh orang-orang yang sekutukan Allah. Dia akan beritahunya pada hari umat kembali kepada-Nya.


Rujukan:
Kalimat syariat di dalam al-Qur'an

Penulis Bacaan
1 November 2004
Ramadan 1425


Artikel / English Articles
Halaman Utama   Terkini   Perpustakaan   Bacaan   E-Mail   Hiasan   Kalimat Pilihan
Keratan Akhbar   Penemuan   Soalan Lazim   Sudut Pelajar
Tulis kepada Pengurus Laman