Sesat dan Cinta

 

From: Megat
To: "Pengurus Laman" <e_bacaan@yahoo.com>
Subject: Haiwan Sembelihan
Date: Thursday, February 02, 2006 4:00 PM

Salamunalaikum,

Selamat berjumpa kembali. Laman ini adalah laman yang pertama saya buka ketika memulakan kerja setiap pagi, saya telah jatuh cinta kepada laman ini. Saya teringat perasaan saya ketika mula membuka laman ini dan membaca artikel-artikel yang mengejutkan saya, perasaan saya ketika itu bercampur baur - takut, marah dan sedih.Ketika itu saya rasa dunia nak kiamat, sebab saya anggap orang seperti saudara adalah dajal dan sesatkan orang.

Tapi kini setelah 5 bulan saya diberi petunjuk oleh Allah melalui usaha tuan, saya kini setiap hari membaca terjemahan Al-Quran dan semakin cinta kepada Al-Quran dan Islam. Memang betul kata tuan kebanyakan orang yang dilabel antihadis ini adalah orang yang berfikiran kritikal, suka berfikir dan membaca seperti saya. Saya dapati orang yang tidak suka membaca, tidak berfikiran krikal, taksub memang sukar untuk saya berdialog dengan mereka. Yang mereka tahu ialah hukum orang yang tidak sealiran dgn mereka dengan berbagai label seperti sesat, kafir, anti hadis, murtad dll.

Saya kini telah yakin dengan Al-Quran sahaja tanpa hadis walaupun sebelum ini saya seorang "religious' dan telah lama dalam jemaah tabligh, pas. Kini saya tinggalkan jemaah tersebut.

Saya dapati saudara seorang yang jujur dalam mengupas ayat-ayat Allah tanpa memihak kepada mana-mana mazhab dan aliran. Syukur Alhamdulillah.

<Dipadam>

Terimakasih.


Salamun alaikum,

Terima kasih kerana sudi menulis lagi. Ini kali kedua. Kali pertama mengutarakan tajuk maksum dan tafsir, dan kali ini beberapa tajuk lain pula yang tidak kurang menarik perhatian.

Dimulakan dengan lemparan kata sesat kepada orang-orang yang percaya, iaitu yang berpegang pada al-Qur'an. Perbuatan serupa itu sudah diketahui Allah, lalu disuratkan di dalam Kitab-Nya berbunyi,

"Dan apabila mereka lihat mereka, mereka berkata, 'Sesungguhnya, mereka inilah orang-orang yang sesat!'" (83:32)

Mereka yang melemparnya tidak tahu kandungan al-Qur'an. Apatah lagi untuk percaya dan berpegang padanya. Kerana di dalam al-Qur'an terdapat banyak ayat yang mengandungi perkataan 'sesat' untuk mereka mengenalpasti orang-orang yang diterangkan Allah (dan Rasul-Nya) sebagai sesat. Satu daripadanya bermaksud,

".... maka sesiapa yang ikut petunjuk-Ku, tidak akan sesat, dan tidak juga dia jadi sengsara." (20:123)

Petunjuk-Ku adalah Kitab-Nya al-Qur'an. Sesiapa yang mengikutinya tidak jadi sesat. Orang-orang yang sesat tidak ikutinya.

Orang-orang yang tidak ikutinya jadi orang-orang yang tidak dapat petunjuk daripada Allah, dan akan bertindak tanpa petunjuk yang benar. Tindakan mereka menyebabkan Islam dihina, lalu terbit kebiadaban terhadap Islam seperti lukisan-lukisan kartun yang menghina Nabi.

Mereka yang berterusan memanggil orang-orang yang berpegang pada al-Qur'an sebagai sesat tidak dapat petunjuk daripada Allah, dan tergolong dalam kumpulan yang menyebabkan Islam dihina. Kerana mereka tidak ikut petunjuk Allah yang mampu pertinggikan Islam di atas semua kepercayaan di dunia ini.

Benar kata Megat, iaitu sukar berdialog dengan mereka. Sebab mereka tidak mahu mendengar ayat-ayat al-Qur'an. Mereka buta. Hanya orang-orang yang percaya kepada ayat-ayat Allah akan mendengar. Hanya yang jadi muslim mendengar. Firman Tuhan,

"Kamu tidak akan beri petunjuk kepada orang yang buta daripada kesesatan mereka, dan tidak juga kamu jadikan sesiapa mendengar, kecuali orang yang percayai ayat-ayat Kami, dan jadi muslim." (30:53)

Mereka yang mendengar akan jatuh cinta, seperti yang turut disebut oleh beliau, iaitu cinta kepada al-Qur'an. Cinta tersebut adalah cinta kepada Allah yang tersemat di dalam jiwa orang-orang yang percaya kepada ayat-ayat-Nya.

Mereka yang mengelar orang-orang yang percaya sesat juga dakwa cinta kepada Allah. Namun, cinta mereka berbelah bagi antara Allah dengan rakan-rakan bagi Allah, yang diadakan oleh pihak tertentu. Perbuatan membelah bagi itu zalim. Firman Allah,

"Tetapi ada manusia yang ambil untuk mereka rakan-rakan, selain daripada Allah, dengan mencintainya sebagaimana Allah dicintai, tetapi orang-orang yang percaya, mencintai Allah dengan lebih cinta. Sekiranya orang-orang buat kezaliman dapat lihat, ketika mereka melihat azab, bahawa kekuatan kesemuanya adalah kepunyaan Allah, dan bahawa Allah amat keras dalam azab." (2:165)

Contoh rakan-rakan bagi Allah adalah orang-orang yang diterima oleh golongan tertentu sebagai mereka yang berhak menetapkan sesuatu syariat dalam agama, yang selain daripada Allah. Walhal, hanya Allah sahaja yang berhak.

Apabila rakan-rakan bagi Allah yang dicintai bersama Allah itu tidak diikuti oleh orang-orang yang percaya kepada ayat-ayat Allah, kerana Allah melarang daripada amalan tersebut, mereka dipanggil sesat atau dengan beberapa gelaran lain.

Lantas, mereka yang tidak dapat petunjuk itu turut tidak tahu mengenai cinta, kasih sayang, dan sebagainya yang disebut di dalam al-Qur'an, selepas didapati tidak tahu mengenai sesat.

Dan mereka tidak suka orang-orang yang menyampaikan Mesej Allah dan beri mereka nasihat. 


8 Februari 2006

Sila rujuk:
Kalimat sesat dan cinta/sayang di dalam al-Qur'an,
dan artikel Siapa sebenarnya orang sesat.


Halaman Utama   Terkini   Perpustakaan   Artikel   Bacaan   E-Mail   Hiasan   Kalimat Pilihan
Keratan Akhbar   Penemuan   Soalan Lazim   Sudut Pelajar   Senarai Penulis   English Articles

Tulis kepada Pengurus Laman