ZABUR - Kitab atau Kekuatan
diberi kepada Nabi Daud?

(Dikemaskini 22.11.11 setelah saudara
Fairuz Mohd <birudamaicia@yahoo.com>
tunjukkan kesilapan kenyataan bahawa Nabi Daud hidup sebelum Nabi Musa.
Kenyataan itu dan lain yang berkaitan sudah dipadam. Sebenarnya anggaran tarikh
bagi kehidupan Nabi Daud ialah 1040-970 S.M, sementara bagi Nabi Musa pula
kira-kira 1391-1271 S.M. Terima kasih.)

 

From: "Firem@n"
To: Pengurus Laman <e_bacaan@yahoo.com>
Sent: Monday, March 24, 2008 12:14:42 PM
Subject: Apakah Zabur sebuah kitab suci ?

Salam,

 

Dalam Qur'an dikatakan bahwa Allah beri Nabi Daud Zabur, apakah Zabur ini berupa sebuah kitab suci atau sebuah "kekuatan" yang Allah berikan kepada Nabi Daud ? Karena saya dapati juga dalam Qur'an, dalam riwayat penurunan kitab suci selalu yang digandengakan adalan Taurat dan Injil atau Taurat, Injil dan Qur'an, sedangkan Zabur tidak disebutkan / digandengakan dalam beberapa kalimat Qur'an tersebut.

Bagaimana menurut pemahaman anda ?

 

Terima kasih atas tanggapannya

 

Salam

firem@n

 

Salamun alaikum,

Terima kasih saudara "Firem@n". Maaf tidak dapat menjawab dengan sempurna ketika membalas e-mel saudara beberapa bulan lalu. Maka jawapan selanjut ditulis di sini.

Tuhan telah lebihkan Nabi Daud di atas sebahagian para Nabi lain dengan memberinya Zabur. Firman Tuhan,

"dan Kami telah lebihkan sebahagian Nabi di atas sebahagian yang lain; dan kami beri Daud Zabur." (17:55)

Perkataan Zabur berada di dalam enam ayat al-Qur'an. Satu daripadanya tercatat seperti berikut:

"Sesungguhnya Kami telah tuliskan di dalam Zabur, sesudah Peringatan, 'Bumi akan diwarisi oleh hamba-hamba-Ku yang salih.'" (21:105)

Di situ ia dijelaskan bersama perkataan menuliskan. Justeru, Zabur adalah suatu yang padanya ditulis, atau terdapat tulisan, umpama sebuah kitab. Selain daripada Peringatan ditulis padanya, sebuah ayat mengandungi janji Allah iaitu bumi akan diwarisi oleh hamba-hamba-Nya yang salih (baik). Mungkin bermaksud orang-orang di bawah pemerintahan Nabi Daud dan warisnya Nabi Sulaiman baik-baik belaka. Sebab itu kerajaan dua beranak tersebut kuat dan maju.

Jika ingin mengatakan Zabur sebuah kitab maka ia tidak salah kerana perkataan itu dikatakan bermaksud kitab. Jamaknya zubur atau kitab-kitab. Ayat-ayat yang mengandunginya pula adalah:

"Sesungguhnya ia adalah di dalam zubur (kitab-kitab) dahulu." (26:196)

"Apa, adakah orang-orang tidak percaya daripada kamu lebih baik daripada mereka itu? Atau, adakah bagi kamu kelepasannya dalam zubur (kitab-kitab)?" (54:43)

"Segala sesuatu yang mereka buat adalah di dalam zubur (kitab-kitab)," (54:52)

Nabi Ibrahim juga difahamkan telah diberi sebuah kitab. Demikianlah difahamkan daripada ayat berbunyi,

"Naskhah-naskhah gulungan Ibrahim dan Musa." (87:19)

Akan tetapi, kitab Nabi Ibrahim, seperti Zabur, tidak disebut bersama Taurat, Injil atau al-Qur'an. Mungkin kerana kandungan mereka yang berbeza, yang tidak seperti disebut di dalam ayat berikut:

"Orang-orang yang ikut Rasul, Nabi yang ummiy (Muhammad), yang mereka dapati tertulis dengan mereka di dalam Taurat dan Injil, yang menyuruh mereka pada yang baik, dan melarang mereka daripada yang mungkar, dan menghalalkan bagi mereka benda-benda yang baik, dan mengharamkan mereka yang buruk-buruk, dan membebaskan mereka daripada beban-beban mereka, dan belenggu-belenggu yang ada pada mereka. Maka orang-orang yang percaya kepadanya, dan meneguhkannya, dan menolongnya, dan ikut cahaya (al-Qur'an) yang diturunkan bersamanya; merekalah orang-orang beruntung." (7:157)

Selain daripada Zabur yang diberi kepada Nabi Daud, Allah juga beri baginda:

1. "kerajaan dan kebijaksanaan, dan Dia ajarnya apa yang Dia hendaki." (2:251)

2. "putusan, dan pengetahuan. Dan bersama Daud, Kami tundukkan gunung-gunung untuk menyanjung, dan burung-burung, dan Kamilah yang membuatnya." (21:79) dan

Dia lantiknya sebagai "khalifah (pengganti) di bumi;" (38:26).

Tidak dinafikan bahawa Nabi Daud adalah seorang yang kuat. Dia telah bunuh Jalut, dan Allah mengajarnya membuat baju besi (bukan ilmu kebal, bila ditikam tak lut!). Petikan daripada al-Qur'an atas perkara bersabit berbunyi,

"Dan mereka kalahkan mereka, dengan izin Allah, dan Daud bunuh Jalut;" (2:251)

"Dan Kami mengajarnya (Daud) membuat baju besi untuk kamu, untuk melindungi kamu daripada bencana kamu sendiri; maka adakah kamu bersyukur (berterima kasih)?" (21:80)

Sebenarnya, kekuatan Nabi Daud telah disahkan sendiri oleh Allah di dalam sebuah firman bermaksud,

"Sabarlah atas apa mereka kata, dan ingatlah akan hamba Kami Daud yang mempunyai kekuatan; dia seorang yang kembali." (38:17)

Ingin bertanya sebelum berhenti. Adakah kekuatan tersebut bermaksud pada fizikal atau imannya? Atau kedua-duanya sekali! Apa pun, dapat dilihat iaitu kekuatan Nabi Daud dan kitab Zabur adalah dua perkara tidak serupa.

 


Sila rujuk:
Kalimat Daud dan Zabur di dalam al-Qur'an

 

26 Julai 2008

Halaman Utama   Terkini   Perpustakaan   Artikel   Bacaan   E-Mail   Hiasan   Kalimat Pilihan
Keratan Akhbar   Penemuan   Soalan Lazim   Sudut Pelajar   Senarai Penulis   English Articles

Tulis kepada Pengurus Laman