Tujuh Tarekat
From: Aku Shai
Date: 2009/10/8
Subject: 23:17
To: ebacaan114@gmail.com
salamun alaikum,
semoga tuan sentiasa dirahmati oleh ALLAH dan di permudahkan tuan untuk sampaikan ayat-ayatNYA.
harap dapat tuan terangkan apakah maksud ayat ini;
23:17. Dan Kami ciptakan di atas kamu tujuh tarekat (jalan), dan Kami tidak lalai terhadap ciptaan.
terimakasih, Salam.
Salamun
alaikum,
Terima kasih. Satu soalan baik, tapi kami tidak tahu jawapannya. Pun begitu, ayat 23:17 ingin diteroka sambil dibincang di sini. Selepas itu kami harap dapat maklum balas daripada para pembaca demi kefahaman ayat tersebut.
Memulakan langkah dengan mengumpul ayat-ayat mengandungi perkataan tujuh dan tarekat yang dipilih sebagai kata kunci utama ayat tersebut.
Tarekat, atau tariqah dalam bahasa asal, bermaksud jalan. Daripada akar yang sama terbit satu lagi kalimat, tariq, yang lazim diterjemah kepada bintang malam. Justeru kelihatan seperti maksud perkataan tarekat (jalan) mempunyai hubungan dengan bintang di langit.
Memandang pula kepada ayat disebut di atas, yang diturunkan di bawah ini bersama ayat yang menyusul. Mereka berbunyi,
"Dan Kami ciptakan di atas kamu tujuh tarekat (jalan), dan Kami tidak lalai terhadap ciptaan.
Dan Kami turunkan dari langit air, menurut ukuran, dan Kami menempatkan ia di dalam bumi; dan Kami berkuasa untuk menghilangkannya." (23:17-18)
Daripada ayat yang menyusul dapat disimpulkan bahawa maksud perkataan di atas di dalam ayat pertama ialah langit. Maka tujuh tarekat yang dicipta Allah berada di langit. Berkait pula dengan bintang di langit tadi.
Beralih perhatian kepada kalimat tujuh. Daripada ayat-ayat yang mengandunginya terdapat beberapa yang berpasangan dengan langit. Lebih tepat, ia disebut tujuh langit, dan contoh ayat ialah,
"Dia yang ciptakan untuk kamu semua yang di bumi, kemudian Dia beranjak ke langit dan mendatarkannya tujuh langit; dan Dia tahu segala sesuatu." (2:29)
Tujuh jalan, tujuh langit! Itu yang diamati dalam penerokaan setakat ini.
Di tujuh langit, seperti di bumi, kelihatan seperti ada penghuni. Firman-Nya,
"Tujuh langit dan bumi dan sesiapa di dalamnya menyanjung-Nya; tiada sesuatu melainkan menyanjung dengan memuji-Nya, tetapi kamu tidak faham sanjungan mereka. Sesungguhnya Dia adalah Penyantun, Pengampun." (17:44)
Selanjutnya didapati di antara tujuh langit dan bumi Perintah daripada Allah turun. Ayat yang menonjolkannya dicatat di bawah ini:
"Allah yang mencipta tujuh langit, dan daripada bumi yang serupa dengan mereka, di antara mereka Perintah turun, supaya kamu tahu bahawa Allah berkuasa atas segala sesuatu, dan bahawa Allah meliputi segala sesuatu dalam pengetahuan." (65:12)
Lazimnya Perintah dibawa oleh para malaikat. Mungkin merekalah makhluk yang menghuni di langit-langit itu.
Melencung sejenak untuk renungkan frasa berbunyi "dan daripada bumi yang serupa dengan mereka" yang tertulis di dalam ayat tadi. Frasa seolah menyatakan di bumi pun terdapat seperti tujuh langit. Adakah ia bermaksud tujuh lapisan yang dikesan berada di atmosfera? Untuk keterangan lanjut sila lihat The Layers of the Atmosphere.
Balik kepada tujuh langit. Mereka difahamkan dicipta berlapis-lapis, menurut ayat-ayat berbunyi,
"yang mencipta tujuh langit berlapis-lapis. Kamu tidak lihat pada ciptaan Yang Pemurah sebarang ketidaksempurnaan. Kembalikanlah pandangan kamu; adakah kamu lihat sebarang rekahan?" (67:3)
"Tidakkah kamu renungkan bagaimana Allah cipta tujuh langit berlapis-lapis," (71:15)
Petikan ayat tujuh langit diakhiri di bawah dengan di dalamnya menyebut tentang langit dunia pula. Firman-Nya,
"Maka Dia tentukan mereka sebagai tujuh langit dalam dua hari, dan Dia wahyukan perintahnya di tiap-tiap langit." Dan Kami hiasi langit dunia dengan pelita-pelita, dan untuk menjaganya; itulah ketentuan Yang Perkasa, Yang Mengetahui." (41:12)
Langit dunia dihias dan dijaga oleh pelita-pelita. Nampak macam suatu cosmos atau alam semesta. Maka ada tujuh cosmos, dengan setiap satu diwahyukan perintahnya, atau bermaksud setiap satu mempunyai sistem tersendiri, seperti sistem solar di langit dunia. Mungkinkah itu apa yang dimaksudkan dengan tujuh langit?
Pengetahuan manusia, khususnya para saintis, tentang langit atau langit-langit didapati terhad buat masa kini, kerana boleh dikatakan selalu terdengar daripada mereka mengenai penemuan baru, contoh bintang atau planet.
Sebutan mengenai langit dunia disambung dengan memetik ayat-ayat berikut:
"Kami hiasi langit dunia dengan hiasan daripada bintang-bintang,
Dan untuk jaga daripada setiap syaitan yang derhaka.
Mereka tidak dapat dengar pembesar-pembesar tertinggi kerana mereka dilempar dari tiap-tiap penjuru," (37:6-8).
Syaitan tidak dapat melintasi langit dunia, untuk mendengar daripada "pembesar-pembesar tertinggi" yang menghuni di langit-langit berada di luar langit dunia. Siapakah pembesar-pembesar tertinggi itu kalau tidak daripada golongan malaikat. Mungkin apa yang hendak didengar ialah perintah-perintah Tuhan yang bakal dilaksana oleh para malaikat.
Setelah menemui segala yang disebut, berlegar pula satu soalan iaitu adakah Tuhan berada di langit ketujuh? Kami berpendapat tidak, kerana Dia difahamkan duduk di atas Arasy (singgahsana) yang terletak di atas air. Ayat yang menjelaskan bermaksud,
"Dia yang cipta langit dan bumi dalam enam hari, dan Arasy-Nya di atas air, kerana Dia hendak uji kamu, siapa antara kamu yang lebih baik dalam amalannya." (11:7)
Kami akan berhenti sekejap lagi, lalu bercadang buat andaian bahawa apa yang dimaksudkan dengan tujuh tarekat (jalan) adalah berkaitan dengan tujuh lapis langit, yang jadi jalan-jalan dilalui menuju ke Arasy-Nya atau jalan-jalan dilalui Perintah daripada-Nya sebelum sampai kepada manusia.
Jalan itu tidak mungkin dapat dilalui oleh manusia kerana terlalu jauh seperti digambarkan ayat-ayat di bawah:
"Dia mengarah urusan dari langit ke bumi, kemudian ia naik kepada-Nya dalam satu hari yang ukurannya seribu tahun daripada hitungan kamu." (32:5)
"Kepada-Nya malaikat-malaikat dan Roh naik dalam sehari yang ukurannya lima puluh ribu tahun." (70:4)
Terima kasih. Salam.
11 Oktober 2009
Halaman Utama
Terkini Perpustakaan
Artikel Bacaan
E-Mail
Hiasan
Kalimat Pilihan
Keratan Akhbar
Penemuan
Soalan Lazim
Sudut Pelajar
Senarai Penulis English
Articles
Tulis kepada Pengurus
Laman