Arab dan Israil

 

 

 

From: azizsuriani
To: ebacaan@yahoo.com
Sent: Mon, July 5, 2010 6:49:21 PM
Subject: masalah sejarah dan negara israil

 

 

Salamun'alaikum:

 

Melihat kepada pertikaian yang tidak mungkin kunjung padam mengenai hubungan Arab-Israil dan sengkita antara mereka saya ingin bertanya beberapa soalan. Saya benar-benar percaya bahawa al-Quran boleh jelaskan dan beri jawapan kepada semua permasalahan umat manusia.

 

1.  Apakah pandangan al-Quran terhadap orang-orang Yahudi, Israel dan Zionist ?

 

2.  Benarkah orang-orang seluruh orang-orang Yahudi dihina oleh Allah dan benarkah Allah memuliakan orang-orang Arab pula di dunia ?
Adakah orang-orang Arab lebih mulia dari Yahudi atau sebaliknya.

 

3.  Al-Quran juga sebuah kitab yang mencerita tentang sejarah walaupun tidak ada tarikh mengenai sesuatu kejadian dan peristiwa.  Bagaimana sejarah Israel, Baitul-Muqadis dan Jurusalem mengikut apa yang dapat kita faham dari al-Quran.

 

4.  Kewujudan Negara Israel mengikut sejarah. Benarkah Israel tidak pernah ada negara sedangkan mereka telah hidup beribu tahun ?

 

5.  Benarkah agama yang di bawa oleh Nabi Ibrahim dan Nabi Muhammad itu telah dirosakkan oleh orang-orang Yahudi (Israel) dan Munafik (Arab) akhirnya hari ini kita melihat mereka sedang menanggung kesusahan dari tangan mereka sendiri.

 

Saya ucapkan berbanyak terima kasih sekiranya dapat sedikit penjelasan dari tuan.

 

Sekian

 

Salam - Allah disanjung

 

AZIZ SURIANI


Salamun alaikum,

Terima kasih. Tajuk yang dikemukakan agak menarik, kerana mengaitkan sengketa Arab-Israil pada hari ini dengan perbuatan jahat mereka terhadap agama pada masa lampau.

Penjelasan dimulakan dengan menyatakan bahawa perkataan Yahudi dan Israil memang terdapat di dalam al-Qur'an, tetapi Zionist tidak.

Zionist adalah suatu ideologi yang mempercayakan bahawa orang-orang Israil atau Jews, sama seperti orang-orang atau bangsa lain di dunia ini, harus berkumpul dan hidup bersama di sebuah negara naungan sendiri. Selain daripada itu, Zionist atau Zionism, dikatakan bukan suatu pergerakan agama, tetapi pergerakan politik. Adalah difahamkan juga bahawa ideologi ini, dan namanya, tidak lagi jadi begitu popular kerana mereka sudah pun miliki sebuah negara sendiri. Namun begitu, masih terdapat antara mereka termasuk beberapa ahli politik yang menggunakan nama tersebut dalam santapan perjuangan mereka.

Untuk keterangan lanjut mengenai The history of Zionism and the creation of Israel sila layari halaman berikut:

http://www.mideastweb.org/zionism.htm

Dengan penjelasan itu diharap pertanyaan mengenai Zionist dan penubuhan negara Israil pada tahun 1948 sudah dijawab.

Beralih kepada Yahudi pula. Daripada ayat-ayat al-Qur'an mengandungi perkataan Yahudi dapat difahamkan bahawa ia adalah suatu anutan, atau agama, seperti Kristian, yang bermula dengan ajaran al-Kitab. Dua firman di bawah beri penjelasan lanjut:
 

"Dan tidaklah orang-orang Yahudi akan berpuas hati dengan kamu, dan tidak juga orang-orang Kristian, sehingga kamu ikut anutan mereka. Katakanlah, 'Petunjuk Allah ialah petunjuk yang benar.'" (2:120)

 

"Orang-orang Yahudi berkata, 'Orang-orang Kristian tiada sesuatu', dan orang-orang Kristian berkata, 'Orang-orang Yahudi tiada sesuatu'; dan mereka baca al-Kitab." (2:113)

 

Yahudi, atau Judaism, adalah anutan orang-orang Israil. Kebanyakan Nabi yang disebut di dalam al-Qur'an adalah Nabi mereka. Seorang daripadanya ialah Daud, yang menurut catatan sejarah manusia, telah membuka kotaraya Jerusalem atau Baitul Maqdis untuk memulakan sebuah negara Israil yang besar, dengan Jerusalem sebagai ibu negeri pada kira-kira tahun 1000SM. Negara tersebut berakhir pada tahun 722SM. Alamat di bawah dirujuk:

 

http://www.jewishvirtuallibrary.org/jsource/vie/Jerusalem1.html

 

Pun begitu, al-Qur'an ada ceritakan juga tentang kerajaan Daud. Firman-Nya,

 

"Dan mereka kalahkan mereka, dengan izin Allah, dan Daud bunuh Jalut; dan Allah beri kepadanya kerajaan dan kebijaksanaan, dan Dia ajarnya apa yang Dia hendaki." (2:251)

 

Menurut catatan sejarah manusia Daud bunuh Jalut di Jerusalem di mana baginda telah dilantik menjadi raja, iaitu raja bagi kerajaan orang-orang Israil. Kerajaannya diperkuatkan Allah menurut firman berbunyi,

 

"Kami menguatkan kerajaannya (Daud), dan memberinya kebijaksanaan, dan ucapan yang menetapkan." (38:20)

 

Daud telah diganti oleh anaknya Sulaiman sebagai raja. Kerajaannya pula, seperti dipohon, merupakan sebuah kerajaan seperti yang tidak dijatuhkan kepada sesiapa sesudah baginda. Permohonan Sulaiman berbunyi,

 

"Dia (Sulaiman) berkata, 'Wahai Pemeliharaku, ampunkanlah aku, dan berilah aku sebuah kerajaan seperti yang tidak dijatuhkan kepada sesiapa sesudah aku; sesungguhnya Engkaulah Yang Pemberi.'" (38:35)

 

Maka dengan itu dapat difahamkan bahawa orang-orang Israil pernah miliki sebuah negara yang besar. Dan mereka pula telah dirahmati Allah, serta dilebihkan di atas semua alam (2:47, 2:122 dan 45:16).

 

Tetapi itu tidak bermaksud bahawa mereka dimuliakan Allah lebih daripada bangsa-bangsa lain (termasuk Arab) walaupun tiada ayat yang serupa bunyi bagi yang lain. Sebenarnya, Allah memuliakan Adam dan semua Bani Adam. Firman-firman-Nya,

 

"Berkata (Iblis), 'Apakah pendapat Engkau? Yang ini (Adam) Engkau muliakan di atas aku - jika Engkau beri tangguh kepadaku hingga Hari Kiamat, sungguh aku akan menguasai keturunannya, kecuali sedikit.'" (17:62)

 

"Kami muliakan Bani Adam dan bawa mereka di darat dan laut, dan rezekikan mereka dengan benda-benda yang baik, dan lebihkan mereka dengan berlebihan di atas kebanyakan daripada apa yang Kami cipta." (17:70)

 

Dan antara mereka yang dimuliakan itu terdapat yang paling mulia. Firman-Nya lagi,

 

"Wahai manusia, Kami cipta kamu lelaki dan perempuan, dan buat kamu berbangsa-bangsa, dan bersuku-suku, supaya kamu mengenali satu sama lain. Sesungguhnya yang paling mulia antara kamu di sisi Allah ialah yang paling bertakwa antara kamu. Sesungguhnya Allah Mengetahui, Menyedari." (49:13)

 

Ayat tersebut tidak menyebut tentang sesuatu bangsa yang dimuliakan Allah, tetapi individu. Tidak ada ayat yang menyebut sesuatu bangsa dimuliakan-Nya di atas yang lain. Justeru, soalan sama ada orang-orang Israil lebih mulia daripada Arab, atau sebaliknya, tidak harus timbul. Tambahan pula, pada kedua-dua bangsa tersebut, telah dijelaskan di dalam al-Qur'an tentang kejahatan mereka dalam agama. Contoh bagi orang-orang Israil adalah:

 

"Dan apabila Kami ambil perjanjian Bani Israil: 'Kamu tidak akan sembah sesuatu melainkan Allah, dan buat baik kepada ibu bapa, dan sanak saudara yang dekat, dan anak-anak yatim, dan orang-orang miskin; dan katakan yang baik kepada manusia, dan lakukan solat, dan berikan zakat.' Kemudian kamu berpaling, kecuali sedikit daripada kamu, dan kamu palingkan." (2:83)

 

"Dan Kami telah ambil perjanjian Bani Israil, dan Kami utus Rasul-Rasul kepada mereka. Setiap kali datang kepada mereka seorang Rasul, dengan apa yang jiwa mereka tidak inginkan, segolongan mereka dustakan, dan segolongan lain mereka bunuh." (5:70)

 

"Sebahagian daripada orang-orang Yahudi kelirukan perkataan-perkataan daripada makna-maknanya, dan mereka berkata, 'Kami dengar dan kami tentang', dan 'Dengarlah, dan jadilah kamu tidak mendengar', dan 'Peliharalah kami', putarbalikkan lidah mereka dan mencela agama. Sekiranya mereka kata, 'Kami dengar dan kami taat', dan 'Dengarlah', dan 'Perhatikan kami', tentulah itu lebih baik bagi mereka, dan lebih tegak; tetapi Allah laknati mereka kerana ketidakpercayaan (kekafiran) mereka, maka mereka tidak percayai kecuali sedikit." (4:46)

 

Dan contoh ayat-ayat bagi kejahatan orang-orang Arab terhadap agama pula, seperti berikut:

 

"Orang-orang Arab lebih sangat dalam ketidakpercayaan dan kemunafikan, dan lebih wajar untuk tidak tahu had-had (hudud) yang Allah turunkan kepada Rasul-Nya; dan Allah Mengetahui, Bijaksana." (9:97)

 

"Dan antara orang-orang Arab yang di sekeliling kamu, mereka adalah orang-orang munafik; dan sebahagian daripada penduduk Kota jadi berani dalam kemunafikan. Kamu tidak tahu mereka, tetapi Kami tahu mereka, dan Kami akan azab mereka dua kali, kemudian mereka dikembalikan kepada azab yang besar." (9:101)

 

Kami setuju dengan pendapat bahawa orang-orang Israil atau Yahudi, dan Arab merosakkan agama yang diturunkan Allah. Satu contoh ayat yang menunjukkan orang Yahudi merosakkan agama dibawa Nabi Muhammad berbunyi,

 

"Wahai Rasul, janganlah mereka sedihkan kamu, yang bersegera dalam ketidakpercayaan, daripada orang-orang yang berkata dengan mulut mereka, 'Kami percaya', tetapi hati mereka tidak percayai, dan daripada orang-orang Yahudi, yang dengar yang dusta, yang dengar kaum lain, yang tidak datang kepada kamu (Muhammad), dengan kelirukan perkataan-perkataan daripada makna-maknanya ...." (5:41)

 

Walaupun tidak terdapat sebuah ayat al-Qur'an yang jelas mengenai orang-orang Arab merosakkan agama, namun kehadiran kitab-kitab tulisan mereka yang dijadikan petunjuk selain al-Qur'an, dewasa ini, jadi bukti yang nyata. Pendapat berlandaskan firman berbunyi, "Maka dengan hadis apakah sesudah ini yang mereka akan percayai?" (77:50)

 

Bagi kami pula, tidak menuding jari kepada mana-mana pihak yang dianggap merosakkan agama. Kejahatan tersebut boleh dilakukan sesiapa jua, tidak semestinya Yahudi atau Arab sahaja, tetapi orang-orang Melayu pun boleh, kerana perbuatan tersebut mampu dilakukan melalui penulisan, sembunyikan yang benar, campuradukkan yang benar dengan yang palsu, atau putarbalikkan lidah dengan al-Kitab supaya orang lain menyangkanya daripada sebahagian al-Kitab sedang ia bukan daripada al-Kitab, sekadar beri beberapa contoh sahaja. Contoh-contoh diceduk daripada ayat-ayat di bawah:

 

"Maka kecelakaanlah bagi orang-orang yang menulis al-Kitab dengan tangan-tangan mereka, kemudian mereka berkata, 'Ini daripada Allah,' supaya mereka menjualnya untuk harga yang sedikit; kecelakaanlah bagi mereka kerana apa yang tangan-tangan mereka tulis, dan kecelakaanlah bagi mereka kerana usaha-usaha mereka." (2:79)

"Orang-orang yang sembunyikan bukti-bukti yang jelas, dan petunjuk yang Kami turunkan, setelah Kami jelaskan kepada manusia di dalam al-Kitab, mereka dilaknati Allah, dan mereka dilaknati para pelaknat," (2:159)

"Wahai ahli Kitab, mengapa kamu campuradukkan yang benar dengan yang palsu, dan kamu sembunyikan yang benar sedang kamu mengetahuinya?" (3:71)

"Dan antara mereka, ada segolongan yang putarbalikkan lidah mereka dengan al-Kitab supaya kamu sangka ia daripada sebahagian al-Kitab, sedang ia bukan daripada al-Kitab; dan mereka berkata, 'Ia daripada Allah', tetapi ia bukan daripada Allah, dan mereka berkata dusta terhadap Allah sedang mereka mengetahuinya." (3:78)
 

Beralih kepada pertanyaan terakhir iaitu benarkah "orang-orang Yahudi (Israel) dan Munafik (Arab) akhirnya hari ini kita melihat mereka sedang menanggung kesusahan dari tangan mereka sendiri" - bermaksud kesusahan akibat merosakkan agama, dan kesusahan yang dimaksudkan itu ialah sengketa Arab-Israil (tidak disebut di dalam al-Qur'an) yang sedang berlaku.

Andaikata dapat dikaitkan kesusahan hari ini dengan kejahatan masa lampau, maka pada hemat kami, orang-orang Israil telah pun ditimpa penderitaan yang jauh lebih pedih lagi, misalan semasa Perang Dunia II, dan sebelum itu pengusiran mereka dari Rusia. Apa yang menimpa mereka pada hari ini, seperti kami lihat (dan mungkin salah), ialah kemenangan bukan kesusahan.

Sementara bagi Arab pula, kesusahan hanya menimpa sebahagian kecil sahaja daripada seluruh kaum Arab. Hanya yang tinggal bersempadan dengan Israil yang ditimpa kesusahan, sedangkan majoriti daripada kaum tersebut boleh dikatakan sedang hidup mewah dengan pembaziran pula.

Mungkin apa yang sedang menimpa mereka bukan kemurkaan Allah yang sebenar, yang belum dirasai lagi. Bagaimana pula dengan orang-orang Melayu yang turut merosakkan agama?

Sekian pendapat kami.

Allah disanjung!
 

9 Julai 2010

Halaman Utama   Terkini   Perpustakaan   Artikel   Bacaan   E-Mail   Hiasan   Kalimat Pilihan
Keratan Akhbar   Penemuan   Soalan Lazim   Sudut Pelajar   Senarai Penulis   English Articles

Tulis kepada Pengurus Laman