Forex

 

 

From: payauputih
To: ebacaan@yahoo.com
Sent: Mon, November 29, 2010 9:50:57 PM
Subject: Forex

Salamun Alaikum Tuan Pengurus Laman dan Seangkatan,

 

Semoga tuan dan keluarga sihat sejahtera.

 

Mohon tuan berikan pendapat berkenaan perniagaan Forex.... di luar sana ada yang mengatakan halal dan tak kurang pula yang mengatakan haram secara umumnya.

 

Bukankah forex itu merupakan salah satu cabang perniagaan.... ?

 

Harap tuan dapat beri pandangan berkenaan isu ini terutama berpandukan Al Quran.

 

Terima kasih


Salamun alaikum,

Kami ingin tahu tentang lebai yang mengatakan forex itu haram, adakah beliau membawa Ringgit Malaysia ke Mekah dan Madinah untuk berbelanja semasa Haji atau Umrahnya? Kalau beliau kata Rial maka beliau tidak mendengar (lalu tidak faham) apa yang beliau sendiri telah katakan terlebih dahulu.

Mungkin beliau telah percaya kepada orang yang membawa buah-buah kelapa atau rambutan (sebagai contoh) daripada kebunnya untuk bertukar barang, seperti tasbih atau kurma, semasa berada di tempat-tempat suci tersebut atas tujuan sama. Orang yang dimaksudkan itu ialah guru yang mengajarnya bahawa forex, atau perniagaan wang, itu haram.

Wang atau mata wang sudah jadi barang dagangan penting dalam kehidupan dunia tanpa sekatan sempadan hari ini. Ia dijual dan dibeli, seperti menjual Rial yang dibeli dengan Ringgit.

Jual beli dihalalkan Allah, dengan firman berbunyi "Allah halalkan jual beli" (2:275).

Mata wang sudah lama diguna oleh manusia dalam jual beli, perdagangan, atau perniagaan. Al-Qur'an ada menyebut mengenainya, seperti dalam cerita Nabi Yusuf (tinggal lama sebeum Nabi Musa), yang dijual dengan harga beberapa dirham. Di samping itu, ia disebut lagi, iaitu dalam kisah beberapa orang pemuda mukmin yang tidur di dalam gua "selama tiga ratus tahun, dan ditambah sembilan" (18:25). Kali ini mata wangnya ialah duit perak. Ayat-ayat yang ceritakan mereka berbunyi,
 

"Kemudian mereka menjualnya (Nabi Yusuf) dengan harga yang murah, beberapa dirham yang dihitung, kerana mereka tidak menghargainya." (12:20)

 

"Dan demikian Kami bangkitkan mereka supaya mereka saling bertanya antara mereka. Seorang daripada mereka berkata, 'Berapa lamakah kamu tinggal?" Mereka berkata, "Kami tinggal selama sehari atau sebahagian hari.' Mereka berkata, 'Pemelihara kamu sangat-sangat tahu berapa lama kamu tinggal. Hantarlah salah seorang antara kamu dengan duit perak ini ke kota, dan hendaklah dia perhatikan siapa antara mereka yang mempunyai makanan yang paling suci, dan datangkan kepada kamu rezeki daripadanya; hendaklah dia bersopan santun, dan janganlah beritahu seorang pun mengenai kamu.'" (18:19)

 

Turut disebut ialah mata wang dinar yang diguna di tempat Nabi Muhammad tinggal dan kawasan sekitarnya. Demikianlah menurut firman bermaksud,

 

"Dan daripada ahli Kitab ada yang, jika kamu percayakan dengan satu timbunan, dia akan kembalikan kepada kamu; dan antara mereka ada yang, jika kamu percayakan dengan satu dinar, dia tidak akan kembalikan kepada kamu, kecuali kamu selalu berdiri di atas (menagih) dia. Itu kerana mereka berkata, 'Tidak ada jalan atas kami terhadap orang-orang ummiy (yang tidak diberi Kitab, iaitu Arab).' Mereka berkata dusta terhadap Allah sedang mereka mengetahuinya." (3:75)

 

Kita hanya boleh menduga apa yang dilakukan oleh orang mempunyai duit perak apabila dia pergi ke negeri bermata wang dirham untuk berbelanja dan sebagainya. Mungkinkah telah berlaku pertukaran mata wang pada masa itu?

 

Haruskah amalan yang jadi seperti "wajib" dilakukan diharamkan pula oleh Allah? Mungkin soalan itu tidak harus ditanya kerana dalam senarai benda-benda yang diharamkan Allah tiada satu pun yang berkait dengan forex. Dan perbuatan mengharamkan sesuatu yang tidak diharamkan Allah adalah suatu yang amat berat pula. (Sila rujuk kalimat Haram. Terima kasih.)

 

Yang diharamkan Allah dalam jual beli, termasuk jual beli mata wang, ialah riba, atau ambil untung berlipat kali ganda. Firman-Nya "Allah halalkan jual beli, dan haramkan riba" (2:275). Sila rujuk di sini untuk keterangan lanjut mengenai riba. Terima kasih.

 

Pendapat mengenai forex diakhiri dengan ucap terima kasih kepada sahabat payauputih dan dua Peringatan Allah bagi orang-orang yang terlibat dalam jual beli atau perdagangan iaitu berbunyi,

 

"Adalah lelaki-lelaki yang perdagangan dan jual beli tidak pesongkan mereka daripada Peringatan Allah, dan untuk melakukan solat, dan untuk memberi zakat, dan takut akan satu hari apabila hati dan penglihatan dibalik-balikkan kepadanya." (24:37)

 

"Wahai orang-orang yang percaya, apabila dipanggil untuk solat pada hari berkumpul, bersegeralah kepada mengingati Allah, dan tinggalkanlah jual beli; itu lebih baik bagi kamu jika kamu tahu." (62:9)

 

Allah disanjung!

 

4 Disember 2010

 

Halaman Utama   Terkini   Perpustakaan   Artikel   Bacaan   E-Mail   Hiasan   Kalimat Pilihan
Keratan Akhbar   Penemuan   Soalan Lazim   Sudut Pelajar   Senarai Penulis   English Articles

Tulis kepada Pengurus Laman