Ratu Cantik

 

From: hypatia.agora
To: "ebacaan@yahoo.com" <ebacaan@yahoo.com>
Sent: Wednesday, July 31, 2013 3:35 AM
Subject: Fatwa & Diskriminasi


Salam,

Kepada saudara & keluarga, semoga dalam keadaan sihat.

Saya terpanggil sekali lagi untuk menulis kepada saudara, sekadar inginkan pendapat saudara. Baru-baru ini saya ada terbaca berita tentang Pertandingan Ratu Cantik 'Beauty Pageant 2013' yang diadakan di Kuala Lumpur dan seramai 40 orang finalist telah terpilih untuk mewakili Malaysia, namun pada saat akhir, 4 orang peserta berbangsa Melayu telah disingkirkan dari pertandingan itu atas sebab laporan yang dibuat kepada JAWI mengenai penglibatan peserta jelitawan Melayu yang dianggap telah menghina Islam dengan menyertai pertandingan yang amat dikenali dunia itu. Uniknya kerana mereka memiliki wajah Pan-Asian dan iras wajah Melayu kemelayuan itu masih ada, oleh itu amat cocok jika mereka mewakili Malaysia untuk menjadi bahan mulut dunia memperlihat kecantikan wanita Malaysia.

Atas sebab Fatwa 1996 yang dikeluarkan oleh JAWI itu (Erra Fazira pernah menyertai dan dimahkotakan sebagai Ratu Cantik M'sia 1992) tetapi sebelum Fatwa itu dikuatkuasakan sekitar tahun 1970an - 1992, pertandingan ratu cantik masih dilancarkan tanpa menyekat kebebasan wanita dalam penglibatan seni (bidang lakonan dan modeling masih belum ada fatwa). Bermula pada tahun 1997 hingga baru-baru ini, Fatwa itu yang dikatakan berfungsi untuk melindungi kehormatan wanita Islam dan memansuhkan apa jua bentuk eksploitasi wanita dalam pertandingan 'mendedah aset' iaitu tubuh badan itu dilihat oleh Feminist dan Persatuan Hak Asasi Wanita "Sisters In Islam' sebagai Male Authoritative Dominance, bahawa selagi JAWI berkuatkuasa, maka kerajaan dan rakyat perlu bersetuju dengan konklusi akhir yang termaktub. Kebanyakan wanita hari ini menganggap isu ini sebagai melanggar hak asasi manusia dan Malaysia dikatakan sedang melalui era 'extreme-Islamization' sejak akhir-akhir ini.

JAWI memberi sebab-sebab seperti berikut:

1. Haram dan berdosa, melanggar akidah, menghina Islam;
2. Fatwa 1996 dikuatkuasakan melarang wanita beragama Islam dari menyertai Pertandingan Ratu Cantik;
3. Mufti berpendapat ia melanggar 'Hukum Syarak' berkenaan panduan aurat wanita Islam;
4. Menteri-menteri lain sepakat ia tidak harus digubal kerana melibatkan hukum agama.

Apa yang menarik adalah, salah seorang peserta (saya lupa namanya) itu bersuara di media, dia membalas dengan mengkritik tindakan JAWI yang menyingkirkan mereka itu sebagai:

1. Penindasan Jantina Wanita (Gender Discrimination - Female);
2. Berat Sebelah (Gender Biased);
3. Lapuk (Edict).

Dia menambah, ".....kalau begitu mengapa tidak mansuhkan saja pertandingan sukan bagi atlet jimnastik dan renang? Mereka juga memperlihatkan tubuh badan, bukan?"

Terdapat suara-suara membantah dan ada juga yang menyokong jelitawan tersebut, ada orang-orang Melayu yang memberi komen:

"Ya, betul lah, kenapa tak mansuhkan juga atlet wanita Islam yang mendedah tubuh badan?"
*Perli tindakan Jawi.

"Kasihan, Malaysia ni bila nak maju, itu tak boleh, ini tak boleh!"
*Berkenaan fatwa.

"Ada Melayu cantik tapi tak boleh mewakili Malaysia, akhirnya yang dapat menang C*** dan I****!"
*Merujuk kepada kaum di None-Muslim di Malaysia.

Seorang dari ahli PAS juga menghentam tindakan JAWI yang hanya bertindak memansuhkan aktiviti 'Haram' wanita Islam manakala aktiviti 'Haram' lelaki Islam tidak pula dikuatkuasakan (tiada fatwa untuk aurat lelaki),
ahli PAS itu dengan rasionalnya berkata, "Bersikap adil lah, pertandingan bina badan lelaki pun dedah badan juga, kenapa tak dimansuhkan?"

Artikel penuh boleh dibaca di sini:
http://my.news.yahoo.com/video/no-double-standards-pas-member-110031647.html?bcmt=1375189520850-97dbc4ea-3b03-4001-9a2a-970f23864125&bcmt_s=u#mediacommentsugc_container

Beberapa hari selepas media menyiarkan wawancara mereka dengan peserta-peserta yang disingkir, JAWI membalas kritikan itu dengan spontan "Tidak boleh samakan pertandingan ratu cantik dengan atlet kerana mereka melakukan aktiviti sukan, bukan hiburan."

Maksud JAWI, Fatwa itu bukan sahaja mengharamkan atas sebab-sebab akidah dan 'aurat' sahaja malah mereka turut mengharamkan apa saja bentuk hiburan! Kalau begitu mesti ada Fatwa yang haramkan semua jnis hiburan, maka kita tak boleh tengok TV, wayang, pergi ke konsert dan sebagainya kerana itu semua juga hiburan. Bukankah konsert lagu Nasyid juga berbentuk hiburan, kerana masyarakat terhibur dengan nyanyian merdu artis Soleh dan Solehah itu semua? Bagaimana pula dengan pertandingan 'Model Muslimah' bertudung dan berjubah yang dilancarkan Sunsilk dan pereka fesyen di ibu kota sejak kebelakangan ini? Bukankah ia juga berbentuk hiburan? Orang terhibur melihat gadis-gadis Muslimah mengenakan jubah Arab ala Morocco yang labuh menyapu carpet runway; kecantikan model-model Muslimah itu memukau dengan solekan tebal 'Arabic smokey eyes' dan bulu mata palsu Unta yang digam pada bulu mata asli yang panjang melentik itu, tidakkah kecantikan mereka menghiburkan?

(Pendapat peribadi)

Sambungan:

Peserta jelitawan itu membalas lagi dengan berkata, "Ia bukan hanya tentang kecantikan luaran tapi juga dalaman, dan saya mempunyai misi untuk menang sebagai ratu cantik yang membawa imej Malaysia, dikenali atas kecantikan, apa salahnya wanita itu mewakili negaranya untuk mempamerkan kebijaksanaan dan kecantikannya? Saya juga berniat untuk melibatkan diri dalam aktiviti amal jariah sebagai seorang Ratu Cantik, tapi apalah nasib, undang-undang Fatwa tidak membenarkan, saya sedih dengan hal ini."

Manakala Dato Anna Lim pula memberi pendapat yang jarang sekali disuarakan oleh seorang Christian, "Saya sudah menelefon pejabat JAWI dan bertanya mengapa wanita Islam di negara ini tidak dibenarkan menyertai pertandingan ini kerana ia tidak menghina sesiapa mahupun agama, tunjukkan saya di mana ada di dalam  Surah AL QURAN yang menyatakan tentang halal atau haram seseorang wanita Islam itu untuk melibatkan diri dalam pertandingan yang bersih seperti ini?"

JAWI tidak boleh menjawab.

Selang beberapa hari, pada 27 Julai 2013, berita online (Malaysiakini, MalaysianInsider, Yahoo) menyiarkan artikel terbaru, "Beauty Pageant contestants' eviction may be withdrawn", Pegawai Jawatankuasa JAWI (Encik Che Mat) yang dikatakan telah bertemu dengan Dato Anna Lim (Penganjur Malaysia) untuk berbincang dengannya tentang isu 4 orang peserta Melayu-Muslim  yang disingkirkan itu mungkin boleh diberi kelonggaran setelah JAWI dipujuk dan diberi lampiran untuk memberi peluang kepada wanita Muslim untuk menyertai pertandingan kerana:

1. Penganjur rasmi di Indonesia berkata wanita Muslim diberi pilihan sama ada:
     A) Tidak diwajibkan memakai bikini, dan
     B) Boleh memakai bodyshirt dan kain Sarong Batik.
2. Tidak ada pendedahan tubuh di dada (breast), belakang badan, pinggul dan kaki;
3. Tidak ada unsur lucah atau pornografik.

Setelah sebab-sebab di atas dikemukakan kepada JAWI (Che Mat) kemudian memberi satu jawapan yang agak mengejutkan Malaysia! Dia berkata "Saya akan pertimbangkan, mungkin peserta yang tersingkir akan diberi peluang untuk kembali ke dalam pertandingan, saya akan memberi jawapan rasmi dalam masa satu minggu lagi."

Berita gembira itu mungkin satu 'miracle' yang jarang sekali dilakukan oleh Ahlul Sunnah yang begitu kuat fahaman dan pegangan mereka terhadap soal yang membabitkan wanita dan aurat! Tetapi JAWI telah memberi satu harapan untuk negara, bahawa diskriminasi terhadap wanita dan kebebasan memilih aktiviti yang melibatkan seni dan hiburan yang tidak melampau.

Namun, tidak sempat hal itu dibawab ke dalam perbincangan untuk mendapat ijmak ulama JAWI, Yahoo! News menyiarkan berita rasmi pada hari ini, 29 Julai 2013, petang tadi bahawa setelah dibincangkan, Menteri Jamik Khir Baharom telah memberi kata putus: "TETAP DIHARAMKAN UNTUK WANITA ISLAM", melihat outcome terburu-buru itu, saya hampa. Ramai juga hampa. Keraan JAWI sendiri sudah ingin memberi kelonggaran dan mungkin SEJARAH HAK SAMA RATA WANITA di Malaysia akan mencipta rekod baru.

Artikel penuh: 'Muslims banned from beauty pageants despite no bikini rule, says Jamil Khir'
http://my.news.yahoo.com/muslims-banned-from-beauty-pageants-despite-no-bikini-rule--says-jamil-khir-012026015.html

Bukan saja mereka disingkir, malah akan menerima hukuman Syariah kerana 'menghina Islam':
"Beauty pageant contestants who dispute ban can be charged in Syariah court"
http://www.thestar.com.my/News/Nation/2013/07/25/Beauty-pageant-contestants-who-dispute-ban-can-be-charged-in-Syariah-court.aspx

Mengenai Hak Sama Rata: Malaysia akan berubah? Semua itu hanya mimpi.

Saya sebenarnya bersikap neutral dalam hal ini kerana ia memang ada unsur 'Feminine Commercialism" tetapi bila teringatkan Al Quran, Allah menyebut 'wanita itu perhiasan dunia', maka saya pun rasa mungkin Allah mencipta kejadian wanita itu untuk dunia melihat kebesaranNya, kecantikan wanita itu diperlihatkan olehNya atas izinNya, tetapi ada juga manusia yang tidak suka pada kecantikan, malah menggelar wanita itu sebagai 'AURAT', saudara juga tahu apa maksudnya, iaitu 'Cacat' atau 'Aib'.

Teringat saya akan artikel dari ebacaan dan juga dari website etymology & origins, bahasa itu dijumpai dari Hindi "Awrah" (Women, Concealed) & Farsi "Awrat" (Imperfection, Flaw), dan orang Arab pula menggunakan perkataan itu untuk merujuk kepada wanita sebagai "Aurat" Tidak semena-mena wanita menjadi Cacat. Seterusnya menjadi "Wanita itu Aurat" oleh golongan alim ulama di Malaysia. Terus melekat dalam tradisi orang Melayu.

Mereka menggelar wanita sebagai cacat dan aib, padahal Allah menggelar wanita itu 'An Nissa', "Wanita" "Jamiliah", "Cantik", namun diejek-ejek dan didiskriminasi oleh kaum lelaki dan wanita (tanpa disedari) sebagai makhluk Cacat. Mungkin mereka tidak faham bahasa Arab, tapi jika mereka sudah tahu apabila diberitahu, mahukah mereka menggelar 'WANITA ITU AURAT (CACAT)'?

Saya bukan cacat. Ibu saya bukan cacat. Nenek saya tidak cacat. Wanita tidak cacat, yang cacat adalah mata dan hati manusia yang tidak tahu menilai kecantikan itu.

Bolehkah saya panggil JAWI atau Jamil Khir 'Aurat'? (Cacat)?

(Maaf, saya sedikit terganggu).

Sekian saja nukilan saya, maaf kerana mempunyai habit suka bercerita dan menulis.
Saya juga ada blog, selalu juga saya menulis di situ. 

Terima kasih kerana saudara sudi meluangkan masa membaca.

Diharap dapat membalas dengan perkongsian minda saudara yang bernas dan segar!

Reference:
http://weehingthong.wordpress.com/2013/07/21/miss-malaysia-world-2013-faces-controversy-four-finalists-eliminated-by-fatwa/
http://www.sistersinislam.org.my/
http://www.petisyen.com/petition/5/hentikan_diskriminasi_terhadap_wanita.html


Salamun'alaikum!

Yang Ikhlas,
arch.Emerith

 

Salamun alaikum,

Sungguh banyak sudah diperkatakan, namun tidak kelihatan sebarang langkah untuk menjemput mereka yang melarang menjadi antara para pengadil atau juri atau pemerhati sahaja, kerana kami berpendapat mereka bukanlah orang-orang yang kurang arif dalam menilai kecantikan wanita dan keintelekualan mereka.

Kalau mereka tolak pelawaan itu, maka agama merekalah yang melarang mereka daripada melihat mana-mana perempuan cantik, apatah lagi untuk menjadikan mereka pasangan hidup (mungkin begitu)!

Walhal agama Allah tidak melarang memandang perempuan (termasuk yang cantik) tetapi dengan pandangan yang berbatas. Firman-Nya,

24:30. Katakanlah kepada orang-orang mukmin supaya mereka tundukkan pandangan mereka, dan jaga kemaluan mereka; itu lebih suci bagi mereka. Sesungguhnya Allah sedar apa yang mereka kerjakan.

Menundukkan pandangan tidak bermaksud memandang ke lantai tetapi memandang perempuan dengan pandangan yang tidak mendalam atau jauh atau merenung dengan membeliakkan biji mata seperti terjojol. Di samping itu, jangan pulak ada pihak (berkuasa?) yang memerhati mata lelaki atau kemaluan mereka ketika mereka memandang. Cukuplah dengan Allah sedar apa yang mereka lakukan.

Tentu sekali yang dipandang itu adalah bahagian-bahagian perempuan yang terbuka iaitu muka, kepala (rambut), tangan hingga ke siku dan kaki di bahagian buku lali dan ke bawah.


Begitu juga kepada kaum perempuan mereka, yang harus turut dijemput, kerana kami dapati kaum perempuan juga suka menonton pertandingan Ratu Cantik. Mungkin bilangan mereka yang menyukainya lebih ramai daripada kaum lelaki. Maka pertandingan itu bukan sahaja mampu mendinginkan mata kaum lelaki sahaja.

Bagi perempuan yang memandang (lelaki terutamanya) peringatan Allah adalah serupa dengan lelaki iaitu berbunyi,

24:31. Dan katakan kepada perempuan-perempuan mukmin, supaya mereka tundukkan pandangan mereka, dan jaga kemaluan mereka, dan tidak nampakkan perhiasan mereka kecuali apa yang nampak daripadanya; dan hendaklah mereka letak penudung mereka pada dada mereka,


Kalaupun pertandingan itu difikirkan tidak begitu baik, namun jangan menghukumnya sebagai haram pula. Menetapkan hukum haram, yang tidak ditetapkan Allah, adalah amat berat di sisi-Nya. Firman-Nya,

6:150. Katakanlah, "Bawalah saksi-saksi kamu, orang-orang yang saksikan bahawa Allah haramkan ini." Kemudian, jika mereka saksikan, janganlah saksikan bersama mereka; dan jangan ikut keinginan orang-orang yang dustakan ayat-ayat Kami, dan yang tidak percayai akhirat, dan setarakan Pemelihara mereka.

16:116. Dan jangan kata apa yang lidah kamu terangkan dengan dusta, "Ini halal, dan ini haram," supaya kamu ada-adakan dusta terhadap Allah; sesungguhnya orang-orang yang ada-adakan dusta terhadap Allah tidak akan beruntung.

(Sila lihat halaman kalimat Haram di dalam al-Qur'an. Terima kasih.)


Justeru itu, mereka yang ingin menyertai pertandingan tersebut harus diberitahu mengapa ia kurang baik (kami tidak begitu tahu tentang hal ini) dan jika mereka ingin meneruskan juga, maka atas diri mereka sendiri beban (jika ada beban) yang dipikul. Orang lain tidak memikulnya. Sila lihat firman-firman berikut:

4:111. Dan sesiapa usahakan dosa, hanyalah dia usahakan bagi dirinya sendiri; dan Allah Mengetahui, Bijaksana.

45:15. Sesiapa buat kerja-kerja baik, ia adalah untuk dirinya sendiri, dan sesiapa buat jahat, ia adalah terhadapnya sendiri; kemudian kepada Pemelihara kamu, kamu akan dikembalikan.

35:18. Orang yang memikul beban tidak akan pikul beban, beban orang lain; dan jika orang yang bebannya berat menyeru supaya dipikul, tiadalah dipikul sesuatu daripadanya, walaupun dia sanak saudara yang dekat. Kamu hanya beri amaran kepada orang-orang yang takut kepada Pemelihara mereka dalam keadaan ghaib, dan lakukan solat; dan sesiapa yang menyucikan dirinya, hanyalah menyucikan untuk jiwanya sendiri. Kepada Allah kepulangan.

Jika ini diketahui umum, kami percaya penghinaan terhadap Islam oleh orang lain tidak akan ditambah lagi.


Atau menjemput mereka (masih dengan jemputan yang disebut di atas) untuk membaca doa, seperti lazim dilakukan di majlis-majlis besar di negara ini, untuk memohon ampun dengan setulus hati atas sebarang pelanggaran atau kemungkaran yang berlaku, di samping memohon petunjuk-Nya. Kerana mereka berperanan seperti Tuhan lalu kami syak segalanya akan diampunkan.

Demikian pendapat kami atas isu yang diutarakan. Sedia maklum, ia hanya pendapat yang jujur.


Izinkan kami menyambung sedikit lagi. Mungkin ada yang bertanyakan ayat-ayat mengenai kecantikan perempuan. Ayat-ayatnya memang ada. Kami mula dengan ayat menyentuh hal Nabi yang mungkin tertarik dengan perempuan yang cantik, berbunyi,

33:52. Sesudah itu, perempuan-perempuan tidak dihalalkan untuk kamu (Muhammad), dan tidak juga kamu boleh tukar isteri-isteri kamu dengan mereka, walaupun kecantikan mereka menarik hati kamu, kecuali apa yang tangan kanan kamu miliki; Allah menjagai atas segala sesuatu.

Untuk mengetahui lebih lanjut sila baca ayat sebelum, bermula ayat 33:50. Terima kasih.

Petikan disambung dengan dua ayat lagi:

55:58. Cantik seperti batu delima, jelita seperti merjan.
55:59. Maka pemberian Pemelihara kamu yang manakah kamu dan kamu dustakan?

55:70. Di dalamnya mereka yang baik-baik, cantik-cantik,
55:71. Maka pemberian Pemelihara kamu yang manakah kamu dan kamu dustakan?


Terima kasih. Allah disanjung!

PS:
Maaf, frasa 'wanita itu perhiasan dunia' tidak terdapat di dalam al-Qur'an, dan maksud aurat di dalam al-Qur'an ialah
bahagian-bahagian sulit, atau penelanjangan atau terbuka. Sila lihat halaman kalimat
Aurat di dalam al-Qur'an. Sekali lagi, Terima Kasih.


1 Ogos 2013

Halaman Utama   Terkini   Perpustakaan   Artikel   Bacaan   E-Mail   Hiasan   Kalimat Pilihan
Keratan Akhbar   Penemuan   Soalan Lazim   Sudut Pelajar   English Articles
Tulis kepada Pengurus Laman