50. kenapa dalam banyak ayat Allah mengatakan "Kami" .... sebab ini menunjukkan banyak..... (ditambah perbincangan mengenai Aku)

Kamus Melayu mengertikan perkataan 'kami' kepada:

1. saya sekalian (saya dan rakan-rakan saya semua): sudah lama ~ menunggu awak di sini;
2. saya, aku: tidakkah ~ panjangkan cerita tersebut.

Seperti itu juga dapat dilihat kegunaan perkataan tersebut di dalam al-Qur'an. Pertama, menunjukkan jamak, dan kedua, satu, atau seorang sahaja.

Bagi yang pertama (saya dan rakan-rakan saya semua), oleh kerana Allah tidak mempunyai seorang rakan pun maka "Kami" di dalam al-Qur'an bermaksud Allah bersama para malaikat, atau hamba, atau ciptaan-Nya yang lain, dalam lakukan sesuatu.

Contoh ayat Kami yang bermaksud Allah berserta malaikat adalah:

"Dan Kami turunkan kepada kamu ayat-ayat, bukti-bukti yang jelas, dan tiada yang tidak percaya kepadanya melainkan orang-orang fasiq (tidak mempedulikan perintah Tuhan)." (2:99) dan,

"Orang-orang yang kepada mereka kami beri al-Kitab membacanya dengan bacaannya yang benar, mereka percayainya; dan sesiapa yang tidak percaya kepadanya, merekalah orang-orang yang rugi." (2:121)

Ayat-ayat dan al-Kitab itu adalah ayat-ayat dan al-Kitab Allah. Mereka diturun dan diberikan khas kepada Nabi dan seluruh manusia amnya tidak oleh-Nya Sendiri tetapi melalui malaikat yang diutus atas arahan-Nya. 

Kami yang bermaksud demikian dapat dilihat dengan lebih jelas pada ayat berikut:

"Ini adalah ayat-ayat Allah Kami bacakan kamu dengan benar, dan sesungguhnya kamu adalah daripada para utusan." (2:252)

"Berkata, 'Lut di dalamnya.' Mereka (malaikat-malaikat) berkata, 'Kami sangat-sangat tahu siapa di dalamnya. Kami akan menyelamatkan dia dan keluarganya, kecuali isterinya; dia termasuk orang-orang yang tinggal.'" (29:32)

Selain diguna untuk menunjukkan Allah bersama atau melalui para malaikat-Nya, perkataan 'Kami' di dalam sesetengah ayat al-Qur'an diguna untuk menunjukkan Allah bersama hamba-Nya yang bergelar manusia pula. Contoh,

"Dan apabila Kami buatkan Rumah untuk jadi tempat berkunjung bagi manusia, dan tempat aman ....." (2:125)

Rumah tersebut telah dibina oleh Nabi Ibrahim dan anaknya Ismail (2:127) tetapi di dalam ayat tadi dikatakan dibuat oleh "Kami".

Sama dengan ayat berfrasa "Kami rezekikan mereka". Allah tidak turun ke bumi untuk memberi rezeki kepada manusia tetapi, lazimnya, mereka diberi rezeki oleh-Nya melalui manusia lain, atau dengan usaha mereka sendiri. Misalan ayat yang dinyatakan itu berbunyi,

" Yang percayai yang ghaib, dan lakukan solat, dan nafkahkan (belanjakan) sebahagian daripada apa Kami rezekikan mereka," (2:3).

Tidak ketinggalan adalah ayat-ayat yang mengandungi frasa "Kami jelaskan ayat-ayat" seperti di bawah:

"Inilah jalan Pemelihara kamu, yang lurus; sesungguhnya Kami telah jelaskan ayat-ayat bagi kaum yang mengingati." (6:126)

Penjelasan ayat-ayat Allah turut dilakukan oleh manusia yang mempunyai pengetahuan tertentu, seperti ilmu sains. Beberapa contoh penjelasan mereka, setelah kajian yang dibuat, dengan izin Allah, dapat dibaca di ruangan Penemuan.

Akhir sekali, Kami juga bermaksud Allah dengan ciptaan-Nya yang lain. Contoh pertama ialah ayat bermaksud:

" Dan apabila Kami belah laut untuk kamu, dan Kami selamatkan kamu, dan tenggelamkan keluarga Firaun, sedang kamu perhatikan." (2:50)

Telah ada satu pendapat bahawa laut yang terbelah itu disebabkan suatu komet yang lalu dekat dengan bumi. Laluannya, antara lain, menyebabkan laut terbelah. Komet tersebut dikatakan menghampiri bumi setiap beberapa ribu tahun (maaf, kami tidak ingat butirannya yang tepat).

Satu lagi contoh bagi kegunaan Kami yang bermaksud Allah bersama ciptaan-Nya ialah:

"Tidakkah mereka renungkan bagaimana Kami musnahkan sebelum mereka banyak generasi yang Kami telah teguhkan di bumi ...." (6:6)

Generasi-generasi zaman purba telah dimusnahkan dengan banjir, gempa bumi, letupan gunung berapi dan sebagainya. (Sila lihat Bencana Alam - kemurkaan dari langit.)

Setakat itu sahaja penjelasan mengenai "Kami" bermaksud yang pertama, iaitu jamak.

Maksud Kami yang kedua, bukan jamak tetapi satu, diguna untuk mempamerkan sifat hormat atau lembut. Amalan tersebut terdapat juga di kalangan sesetengah masyarakat Melayu, di mana seseorang anak apabila berkata kepada ibu bapanya atau orang-orang tuanya menggunakan "kita" atau "kami", bukan "aku" atau "saya", untuk melahirkan tanda hormat dan kelembutan terhadap mereka, walaupun anak itu berkedudukan lebih tinggi daripada mereka dalam masyrakat.

Ayat al-Qur'an yang boleh dijadikan contoh atas maksud itu ialah:

"Dan apabila Kami berkata kepada para malaikat, 'Sujudlah kamu kepada Adam', lalu mereka sujud kecuali Iblis." (2:34)

Kami di atas tidak menunjukkan Tuhan itu lebih daripada satu tetapi bahawa Dia lembut terhadap makhluk ciptaan-Nya. Yang berkata kepada para malaikat itu hanya Tuhan yang satu, menurut ayat yang menyusul berbunyi,

"Dan apabila Pemelihara kamu berkata kepada para malaikat, 'Aku akan letak di bumi khalifah (pengganti).'" (2:30)

Satu lagi contoh:

"Dan, orang-orang tidak percaya dan dustakan ayat-ayat Kami, mereka itulah penghuni-penghuni Api, di dalamnya mereka tinggal selama-lamanya." (2:39)

Sekali lagi "Kami" tidak bermaksud bilangan lebih daripada satu. Tetapi sifat lembut. Seperti yang sedia maklum ayat-ayat adalah hanya ayat-ayat Allah yang satu. Dia jelaskan:

"Dan percayalah kepada apa yang Aku turunkan, yang mengesahkan apa yang bersama kamu, dan janganlah jadi yang pertama tidak percaya kepadanya, dan jangan jual ayat-ayat-Ku untuk harga yang sedikit; dan kamu takutilah Aku." (2:41)

 "Jangan ambil ayat-ayat Allah dalam olok-olokan," (2:231)

"Jika kamu dapat lihat ketika mereka diberhentikan di hadapan Api, dan mereka berkata, 'Aduhai, sekiranya kami dapat dikembalikan, dan kami tidak dustakan ayat-ayat Pemelihara kami supaya kami jadi antara orang-orang mukmin.'" (6:27)

Demikianlah serba sedikit mengenai kegunaan 'Kami' di dalam al-Qur'an.

Aku pula, di samping bermaksud bilangan satu, diguna untuk ketegasan, seperti dapat dilihat pada ayat 2:41 yang baru disebut. Selain menunjukkan sikap keras terhadap perintah-Nya. Di bawah terdapat empat contoh ayat:

"Dia berkata, 'Wahai Adam, beritahu mereka nama-namanya', maka setelah dia beritahu mereka nama-namanya, Dia berkata (kepada para malaikat setelah mereka tunjukkan ketidaksetujuan terhadap ciptaan Adam), 'Tidakkah Aku kata kepada kamu bahawa Aku tahu perkara-perkara yang ghaib di langit dan bumi, dan Aku tahu apa yang kamu nampakkan dan apa yang kamu sembunyikan?'" (2:33)

"Wahai Bani Israil (yang kerap tidak percaya kepada ayat-ayat Allah), ingatlah akan rahmat-Ku yang dengannya Aku telah rahmati kamu, dan tepatilah perjanjian-Ku dan Aku akan tepati perjanjian kamu, dan kepada-Ku-lah kamu berasa gerun." (2:40)

"Dari mana sahaja kamu keluar, palingkanlah muka kamu ke arah Masjidil Haram, dan di mana sahaja kamu berada, palingkanlah muka kamu ke arahnya, supaya manusia tidak ada hujah terhadap kamu, kecuali orang-orang buat kezaliman antara mereka; dan janganlah takut pada mereka, tetapi kamu takutilah Aku, dan supaya Aku sempurnakan rahmat-Ku ke atas kamu, dan supaya kamu dapat petunjuk." (2:150)

"Kecuali orang-orang yang bertaubat, dan membetulkan, dan menunjukkan dengan jelas. Terhadap mereka, Aku akan terima taubat; Aku Yang Menerima Taubat, Yang Pengasih." (2:160)

Dengan serba sedikit juga penjelasan mengenai kegunaan Aku di dalam al-Qur'an dibuat di sini. Kami percaya ada pihak yang dapat beri penjelasan lebih baik mengenainya dan "Kami" daripada yang di atas. Sudilah kirim kepada kami untuk kemanfaatan semua.

Balik ke senarai soalan


51. pak saya mau bertanya tentang :

- obat-obat yang mengandung unsur babi (lemak babi) yang digunakan dalam pengobatan kedokteran,

- untuk penyakit jantung tertentu membutuhkan obat jantung yang mengandung lemak babi (sementara ini belum ada pengganti lain dari obat tersebut). menurut pendapat bapak bagaimana?

Benda-benda yang haram untuk dimakan sudah dinyatakan dengan jelas oleh Allah, dan lemak babi tidak termasuk dalam senarai tersebut. Contoh ayat yang menyenaraikannya berbunyi,

"Hanyalah benda-benda ini yang Dia haramkan kamu: bangkai, dan darah, dan daging babi, dan apa-apa yang disucikan kepada selain Allah. Namun begitu, sesiapa yang terpaksa, dengan tidak menginginkan dan tidak menderhakai, maka tidaklah berdosa kepadanya; sesungguhnya Allah Pengampun, Pengasih." (2:173)

Daging dan lemak adalah dua yang berlainan, menurut ajaran-Nya yang terperinci. Andaikata Dia ingin mengharamkan lemak tentu Dia telah menyebutnya dengan jelas seperti di dalam ayat ajaran-Nya yang lain berbunyi,

"Dan ke atas orang-orang Yahudi, Kami haramkan segala haiwan yang berkuku, dan daripada lembu dan kambing, Kami haramkan mereka lemak mereka, kecuali apa yang punggung-punggung mereka bawa, atau ususnya, atau apa yang bercampur dengan tulangnya; bahawa Kami balas mereka kerana keangkuhan mereka; sesungguhnya Kami berkata benar." (6:146)

Lemak babi tidak diharamkan kerana terdapat kebaikan padanya. Pengetahuan tentang kebaikannya ditambah dengan kenyataan doktor di atas iaitu ia harus diguna sebagai ubat bagi sejenis penyakit berbahaya. Sehingga kini, menurutnya lagi, tidak ada pengganti baginya sebagai ubat berkenaan.

Namun begitu, sesetengah pihak tetap mengharamkannya sebab ia daripada babi.

Sehubungan itu, teringat lagi tentang orang-orang yang mengharamkan benda-benda yang tidak diharamkan Allah. Mereka dikatakan berdusta terhadap Allah dan jadi orang-orang yang tidak beruntung. Firman-Nya,

"Dan jangan kata apa yang lidah kamu terangkan dengan dusta, 'Ini halal, dan ini haram,' supaya kamu ada-adakan dusta terhadap Allah; sesungguhnya orang-orang yang ada-adakan dusta terhadap Allah tidak akan beruntung." (16:116)

Mereka disuruh datangkan saksi atau bukti terhadap apa yang mereka haramkan. Selepas itu kesaksian mereka harus ditolak, kerana mereka hanya ikut keinginan mereka di samping mendustakan ayat-ayat Allah. Firman-Nya,

"Katakanlah, 'Bawalah saksi-saksi kamu, orang-orang yang saksikan bahawa Allah haramkan ini.' Kemudian, jika mereka saksikan, janganlah saksikan bersama mereka; dan jangan ikut keinginan orang-orang yang dustakan ayat-ayat Kami, dan yang tidak percayai akhirat, dan setarakan Pemelihara mereka." (6:150)

Orang-orang seperti itu diterangkan sebagai tidak percaya kepada akhirat-Nya (kerana mereka mempunyai pengertian akhirat yang tersendiri) dan mereka diterangkan juga sebagai orang-orang yang menyetarakan Tuhan.

Mereka akan menerima balasan buruk. Seperti itu juga bagi masyarakat yang menolak rezeki atau rahmat daripada Allah. Di dunia mereka dirasakan-Nya dengan kelaparan dan ketakutan dalam kehidupan mereka. Demikianlah menurut ayat al-Qur'an bermaksud,

"Allah buat satu persamaan: sebuah bandaraya yang aman, tenteram, rezekinya datang kepadanya dengan senang dari tiap-tiap tempat, kemudian ia tidak percaya akan rahmat-rahmat Allah; maka Allah merasakannya pakaian kelaparan dan ketakutan kerana apa yang mereka kerjakan." (16:112)

Golongan manusia yang mengalami kelaparan dan ketakutan di dunia pada hari ini dapat diketahui melalui berita-berita yang disiar. Malang sekali, mereka termasuk orang-orang yang mengaku Islam.

Balik ke senarai soalan


52. From: janggutputih (Date: 2009/11/26)

Salamun 'alaikum Tuan yang dihormati.

Terima kasih kerana beri pendapat dan penerangan Tuan mengenai 'Tauliah'.

Disini saya ingin bertanyakan lagi pendapat Tuan mengenai Sunnah. Selalunya para ulama' sekarang apabila menerangkan sesuatu perkara mengenai agama, mereka gemar menggunakan hadis. Dan dikatakan bahawa ' Jangan ditinggalkan Al-Qur'an dan Hadis ' ianya berjalan seiringan.

Namun mengikut pemahaman saya yang jahil ini, perkara yang ditinggalkan oleh Nabi Muhammad ialah 2 perkara, seperti yang disabdakan oleh baginda iaitu, " Aku tinggalkan kamu 2 perkara supaya kamu tidak sesat iaitu, Al-Qur'an dan Sunnahku ".

Bukankah Sunnah dan Hadis 2 perkara berbeza ?. Apa pendapat Tuan dalam hal ini ?.


Salamun alaikum dan terima kasih. Maka terdapat kekeliruan pada perkara yang tidak jadi keutamaan kami, walaupun jadi umpama rukun dalam kepercayaan sesetengah pihak. Maaf, itu sahaja yang kami dapat katakan.

Balik ke senarai soalan