Allah Tidak Ampunkan

 

Paling awal dikesan di dalam al-Qur'an, atas kesalahan yang Allah tidak ampunkan, ialah perbuatan menyembunyikan ayat-ayat al-Qur'an yang sudah difahamkan, untuk mendapatkan keuntungan dunia, yang harganya betapa tinggi pun difikirkan namun bagi Allah hanya sedikit sahaja. Mesej tersebut didapati tersirat dalam firman berbunyi,

"Orang-orang yang sembunyikan apa-apa daripada al-Kitab yang Allah turunkan kepada mereka, dan menjualnya untuk harga yang sedikit, mereka itulah yang tidak makan melainkan Api di dalam perut-perut mereka, dan Allah tidak akan berkata-kata kepada mereka pada Hari Kiamat, dan tidak juga sucikan mereka; bagi mereka, azab yang pedih.
Mereka itulah orang-orang yang beli kesesatan dengan petunjuk, dan azab dengan ampunan; betapa sabarnya mereka menahan Api!" (2:174-175)

Orang-orang itu membeli kesesatan dengan petunjuk, dan azab Allah dengan ampunan-Nya. Mereka tidak disucikan Allah, dan akan makan Api di dalam perut merek, kerana tidak diampunkan-Nya.

Bersabit lagi dengan orang-orang diberi al-Kitab yang mengambil keuntungan dunia yang rendah ialah mereka yang bercakap mengenai Allah tetapi yang tidak benar, dan mengatakan lagi bahawa mereka akan diampunkan. Firman-Nya,

"Dan menggantilah sesudah mereka pengganti-pengganti yang mewarisi Kitab, dengan mengambil keuntungan daripada dunia yang rendah ini, dan mereka berkata, 'Kami akan diampunkan'; dan jika keuntungan yang serupa dengan itu datang kepada mereka, mereka akan mengambilnya. Bukankah perjanjian Kitab telah diambil daripada mereka, bahawa mereka tidak mengatakan terhadap Allah kecuali yang benar? Dan mereka pelajari apa yang di dalamnya, bahawa tempat kediaman akhir adalah lebih baik bagi orang-orang bertakwa. Tidakkah kamu faham?" (7:169)

"Kami akan diampunkan"? Tidak, mereka tidak akan diampunkan, kerana tidak bertakwa (takut kepada Tuhan). Bagi orang-orang yang percaya dan bertakwa pula, Allah akan kurniakan kepada mereka Pembeza (untuk mengenali yang benar dan yang palsu), di samping dilepaskan daripada kejahatan-kejahatan mereka serta diampunkan-Nya pula. Ayat berikut menjelaskan:

"Wahai orang-orang yang percaya, jika kamu bertakwa kepada Allah, Dia akan adakan untuk kamu satu Pembeza, dan lepaskan kamu daripada kejahatan-kejahatan kamu, dan ampunkan kamu; Allah mempunyai pemberian yang besar." (8:29)


Sedia dimaklumkan iaitu ayat-ayat diguna dalam perbincangan di sini adalah daripada senarai ayat-ayat mengandungi kalimat Ampun di dalam al-Qur'an. Daripadanya didapati tujuh ayat mengandungi frasa "Allah tidak ampun". Yang pertama dan kedua berbunyi,

"Allah tidak ampun apa-apa yang dengan-Nya disekutukan, dan Dia ampun yang selain itu kepada siapa Dia hendaki. Sesiapa sekutukan Allah, sungguh dia ada-adakan dosa besar." (4:48)

"Allah tidak ampun apa yang dengan-Nya disekutukan, dan Dia ampun yang selain itu kepada siapa Dia hendaki, dan sesiapa sekutukan Allah dengan sesuatu, dia sesat dalam kesesatan yang jauh." (4:116)

Sekutukan Allah - dosa besar, sesat yang jauh, dan tidak diampunkan-Nya.

Semua orang Islam tahu bahawa Allah tidak ampunkan dosa menyekutukan-Nya. Sebahagian besar memahaminya (sekutu Allah) sebagai berhala yang diukir, dan segelintir sahaja yang mengetahuinya sebagai bukan sahaja yang diukir malah manusia yang diikuti dalam agama pun boleh menjadi berhala. Misalan "manusia-berhala" itu ialah orang-orang alim yang didapati di dalam semua agama, termasuk Islam, yang mengajar bertentangan dengan ajaran Allah. (Sila rujuk artikel Sekutu Allah menurut al-Qur'an dan Tuhan Lain, sementara daripada artikel Siapa sebenarnya orang sesat dapat mengenali mereka yang sama berada dalam kategori sesat yang jauh. Terima kasih.)


Ayat ketiga, menurut sekuen, menyebut orang-orang yang terumbang-ambing dalam kepercayaan kepada Allah. Bermula dengan percaya, kemudian tidak percaya, dan kemudian percaya lagi, disusuli dengan tidak percaya sekali lagi, dan berakhir dengan ketidakpercayaan yang bertambah. Dua kali percaya, dua kali tidak percaya, dan akhirnya terus masuk gol!

"Orang-orang yang percaya, kemudian tidak percaya, kemudian percaya, kemudian tidak percaya, kemudian bertambah dalam ketidakpercayaan (kekafiran), Allah tidak akan ampun mereka, dan tidak juga beri petunjuk kepada mereka pada sebarang jalan." (4:137)

Mereka itu (yang bermula dengan percaya atau bermula dengan "beriman" menurut setengah pihak) tidak diampuni Allah, dan tidak diberi petunjuk pada sebarang jalan yang lurus.


Menyusuli mereka ialah orang-orang tidak percaya serta membuat zalim, yang turut tidak diampun dan diberi petunjuk pada jalan lurus. Sedikit keterangan mengenai kezaliman iaitu ia bukan sahaja dilakukan terhadap orang lain malah terhadap diri sendiri jua. Sila rujuk artikel Kafir dan Al-Qur'an dan Zalim: siapa mereka sebenarnya.

"Sesungguhnya orang-orang tidak percaya dan buat zalim, Allah tidak akan ampun mereka, dan tidak juga beri mereka petunjuk pada jalan," (4:168)

Sebaliknya pula, mereka yang melakukan kezaliman, harus bertaubat dan membetulkan, untuk menerima ampunan Allah. Firman-Nya,

"Sesiapa bertaubat sesudah kezalimannya, dan dia membetulkan, Allah akan terima taubatnya; sesungguhnya Allah Pengampun, Pengasih." (5:39)


Tidak diampun juga ialah orang-orang yang buat jahat dengan menyedarinya, dan tidak bertaubat serta tidak membetulkan selepas itu. Demikianlah tersirat di dalam ayat berikut:

"... bahawa sesiapa antara kamu buat jahat dalam kejahilan, dan sesudah itu bertaubat, dan membetulkan, maka sesungguhnya Dia Pengampun, Pengasih." (6:54)


Allah Pengampun, Pengasih - juga ke atas orang-orang yang makan makanan yang diharamkan-Nya. Namun begitu, jika sesiapa yang memakannya dengan rela hati, bukan terpaksa, dan dengan menginginkannya serta untuk menderhakai Allah, maka Dia tidak lagi menjadi Pengampun, Pengasih kepadanya. Kejahatan orang itu tidak diampunkan. Ayat mengandungi mesej tersebut berbunyi,

"Katakanlah, 'Aku tidak dapati, dalam apa yang diwahyukan kepadaku, tiada yang diharamkan untuk dimakan kepada orang yang makan daripada itu, kecuali ia bangkai, atau darah yang tercurah, atau daging babi - itu adalah kotoran - atau kefasiqan yang disucikan kepada selain daripada Allah; namun begitu, sesiapa yang terpaksa dengan tidak menginginkan dan tidak juga menderhakai, sesungguhnya Pemelihara kamu Pengampun, Pengasih.'" (6:145)


Sifat-Nya yang Pengampun, Pengasih tidak juga merangkumi orang-orang buat jahat, dan tidak bertaubat selepas itu, dan tidak juga percaya kepada-Nya. Sekali lagi mengambil iktibar daripada ayat-Nya, yang kali ini berbunyi,

"Dan orang-orang yang kerjakan kejahatan, kemudian bertaubat sesudah itu, dan percaya, sesungguhnya Pemelihara kamu sesudahnya, Pengampun, Pengasih." (7:153)


Adalah difahamkan iaitu ampunan daripada Allah atas pelanggaran-pelanggaran yang dilakukan mudah didapati, dengan hanya menuruti perintah-Nya yang mudah dilakukan, misalan terdapat dalam ayat berikut:

"Dan apabila dikatakan kepada mereka, 'Tinggallah di bandaraya ini, dan makanlah daripadanya di mana sahaja kamu hendaki; dan katakan, 'Tidak membebankan'; dan masuklah pada pintu gerbang, dengan bersujud. Kami akan ampun kamu atas pelanggaran-pelanggaran kamu, dan tambahkan kepada orang-orang buat baik.'" (7:161)

Akan tetapi, orang-orang yang diperintah itu (kaum Musa, iaitu Yahudi) tidak masukbandaraya tersebut, dan tidak lakukan perintah yang mudah dilakukan, maka mereka tidak diampun oleh-Nya lalu hidup merayau-rayau di bumi selama 40 tahun (5:26). Demikianlah satu contoh azab di dunia kerana tidak diampunkan Allah.


Turut tidak diampun dan dikasihi-Nya ialah orang-orang yang tidak pergi berjuang atau berperang di jalan Allah dengan beralasan yang tidak diterima. Firman-Nya,

"Dan orang-orang Arab datang dengan alasan mereka, supaya mereka diizinkan; orang-orang yang berdusta kepada Allah dan Rasul-Nya duduk; kelak akan timpa orang-orang tidak percaya antara mereka, azab yang pedih.
Tidak salah ke atas orang-orang yang lemah, dan ke atas orang-orang yang sakit, dan ke atas orang-orang yang tidak dapati sesuatu untuk dinafkahkan, jika mereka jujur kepada Allah, dan kepada Rasul-Nya. Tidak ada jalan terhadap orang-orang buat baik; Allah Pengampun, Pengasih." (9:90-91)


Kelihatan juga seperti tidak diampun ialah orang-orang yang melakukan dosa besar dan kesumbangan (sila rujuk artikel
Dosa dan Haram yang mengandungi penjelasan lanjut). Di dalam ayat berkenaan, tersebut pula orang-orang yang menganggap diri-diri mereka sebagai suci, yang mungkin menjadi tambahan bagi dua kejahatan tersebut. Ayat dimaksudkan berbunyi,

"Orang-orang yang menjauhi dosa-dosa besar dan kesumbangan, kecuali kesalahan kecil - sesungguhnya Pemelihara kamu luas dalam ampunan-Nya. Dia sangat-sangat tahu mengenai kamu apabila Dia tumbuhkan kamu dari bumi, dan apabila kamu belum dilahirkan di dalam rahim ibu-ibu kamu; maka jangan menganggap diri kamu suci; Dia sangat-sangat tahu siapa yang bertakwa." (53:32)

Mereka tidak bertakwa. Orang-orang tidak bertakwa berada di dalam Api kerana tidak diampunkan Allah.


Atas kesalahan yang dilakukan, manusia harus meminta ampun dan diikuti amalan bertaubat. Memohon ampun sahaja kelihatan seperti tidak cukup. Tambahan lagi, kesalahan yang dilakukan tidak harus diteruskan supaya dapat diampunkan. Firman-Nya,

"Dan, hendaklah kamu minta ampun kepada Pemelihara kamu, kemudian bertaubat kepada-Nya, dan Dia akan beri kesenangan yang baik kepada kamu hingga satu tempoh yang dinyatakan, dan Dia beri daripada pemberian-Nya kepada setiap orang empunya kelebihan. Tetapi jika kamu berpaling, aku takut untuk kamu akan azab hari yang besar." (11:3)

"Yang, apabila mereka lakukan satu kesumbangan, atau menzalimi diri-diri mereka sendiri, mengingati Allah dan minta ampun atas kesalahan-kesalahan mereka, dan siapakah yang akan ampunkan kesalahan-kesalahan melainkan Allah? Dan mereka tidak berterusan dalam apa yang mereka lakukan sedang mereka mengetahuinya." (3:135)

Hanya Allah yang mengampunkan kesalahan. Satu tanda permohonan ampunan dan taubat diterima Allah ialah menerima kesenangan daripada pemberian-Nya sewaktu berada di dunia.


Menyebut lagi mengenai ayat mengandungi frasa Allah tidak ampunkan. Kali ini tentang Nabi, iaitu walaupun baginda memohon ampun sebanyak 70 kali pun ke atas orang-orang tertentu, mereka tidak akan diampunkan Allah. Firman-Nya,

"Orang-orang yang mencari kesilapan orang-orang mukmin yang memberi sedekah dengan sukarela, dan orang-orang yang tidak dapati sesuatu melainkan usaha mereka, mereka memperolok-olokkan - Allah memperolok-olokkan mereka; bagi mereka, azab yang pedih.
Mintalah ampun bagi mereka, atau kamu tidak meminta ampun bagi mereka; jika kamu mintakan ampunan untuk mereka tujuh puluh kali pun,
Allah tidak akan ampunkan mereka; itu kerana mereka tidak percaya kepada Allah, dan Rasul-Nya. Allah tidak beri petunjuk kepada kaum yang fasiq." (9:79-80)

Mereka yang tidak diampunkan di situ ialah orang-orang yang mewah tapi tidak bersedekah, dan seterusnya memperolok-olokkan pula orang-orang mukmin yang bersedekah dan yang hanya dapat berusaha. Sedekah dimaksudkan ialah pemberian untuk diguna dalam peperangan, melawan orang-orang tidak percaya dan munafik.


Allah turut tidak ampunkan orang-orang yang mewah, yang bersumpah tidak memberi sanak saudara, orang-orang miskin, dan orang-orang yang berhijrah di jalan Allah, dan tidak hendak maafkan dan ketepikan perselisihan yang terbit antara mereka. Mesej tersirat dalam ayat berbunyi,

"Janganlah orang-orang antara kamu yang mempunyai pemberian dan keluasan bersumpah untuk tidak memberi sanak saudara, dan orang-orang miskin, dan orang-orang yang hijrah di jalan Allah; tetapi hendaklah mereka maafkan dan ketepikan. Tidakkah kamu suka bahawa Allah akan ampun kamu? Allah Pengampun, Pengasih." (24:22)


Kembali kepada ayat berfrasa Allah tidak ampunkan, lalu menyebut orang-orang tidak percaya, yang menghalangi jalan Allah, dan kemudian mati sedang mereka tidak percaya. Firman-Nya,

"Orang-orang tidak percaya, dan halangi jalan Allah, dan kemudian mati sedang mereka tidak percaya, merekalah yang Allah tidak akan ampunkan." (47:34)


Ayat itu adalah yang keenam mengandungi frasa tersebut di dalam al-Qur'an, sementara yang terakhir adalah mengenai orang-orang munafik pula, dan ia berbunyi,

"Sama sahaja bagi mereka, sama ada kamu minta ampun untuk mereka, atau kamu tidak minta ampun untuk mereka, Allah tidak akan ampunkan mereka. Sesungguhnya Allah tidak beri petunjuk kepada kaum yang fasiq." (63:6)

Kalau pun Rasul Allah meminta ampun untuk mereka Allah tidak ampunkan orang-orang munafik yang dikenali juga sebagai orang-orang fasiq, iaitu yang tidak mempedulikan perintah Tuhan. Sila rujuk surah ke-63, Orang-Orang Munafik, atau artikel Munafik untuk keterangan lanjut.


Demikianlah didapati yang tersurat dan tersirat daripada al-Qur'an mengenai orang-orang yang Allah tidak ampunkan. Namun, harapan untuk diampunkan masih ada, dengan mengerjakan beberapa kebaikan, menurut firman-firman berikut:

"Katakanlah, "Wahai hamba-hamba-Ku yang membazir ke atas diri-diri kamu sendiri, jangan berputus asa daripada pengasihan Allah; sesungguhnya Allah ampunkan kesalahan-kesalahan, kesemuanya; sesungguhnya Dialah Yang Pengampun, Yang Pengasih." (39:53)

"Sesungguhnya Aku, Yang Pengampun kepada orang yang bertaubat, dan percaya, dan buat kerja-kerja baik , dan akhirnya dapat petunjuk." (20:82)

"Kecuali orang yang bertaubat, dan percaya, dan buat amalan (kerja-kerja) yang baik; bagi mereka, Allah akan tukar kejahatan-kejahatan mereka dengan yang baik, dan Allah Pengampun, Pengasih." (25:70)

Justeru, kesalahan dapat diampunkan dengan bertaubat, percaya kepada-Nya, dan buat kerja-kerja baik .


Perbincangan di sini diakhiri dengan doa para malaikat ke atas orang-orang yang bertaubat dan mengikuti jalan Allah, serta memohon ampun untuk orang-orang yang percaya:

"Mereka yang membawa Arasy, dan mereka di sekelilingnya, menyanjung dengan memuji Pemelihara mereka, dan percayai-Nya, dan mereka minta ampun untuk orang-orang yang percaya, 'Wahai Pemelihara kami, Engkau merangkumi segala sesuatu dalam pengasihan dan pengetahuan, maka ampunkanlah orang-orang yang bertaubat, dan ikut jalan Engkau, dan lindungilah mereka daripada azab Jahim.'" (40:7)


Allah disanjung!


Penulis Bacaan
13 Mei 2012

Artikel / English Articles
Halaman Utama Terkini Perpustakaan Bacaan E-Mail Hiasan Kalimat Pilihan
Keratan Akhbar Penemuan Soalan Lazim Sudut Pelajar
Tulis kepada Pengurus Laman