Kerosakan di Bumi
mengikut petunjuk al-Qur'an
Para malaikat telah mengetahui, sebelum Adam dicipta, bahawa manusia akan buat kerosakan di bumi dengan menumpahkan darah. Namun, Allah meneruskan rancangan-Nya kerana Dia tahu apa yang mereka tidak tahu. Firman-Nya,
"Dan apabila Pemelihara kamu berkata kepada para malaikat, 'Aku akan letak di bumi khalifah (pengganti).' Mereka berkata, 'Adakah Engkau letak di dalamnya orang yang akan buat kerosakan di dalamnya dan tumpahkan darah, sedang kami sanjung dengan memuji-Mu dan panggil Engkau Suci?' Dia berkata, 'Sesungguhnya Aku tahu apa yang kamu tidak tahu.'" (2:30)
Mungkin apa yang mereka tidak tahu ialah mengenai Iblis, yang hanya dikenali selepas Adam dicipta. Ia sombong dan kafir (tidak percaya).
Manusia sejak dari zaman anak Adam, yang membunuh saudaranya, telah menumpahkan darah hingga ke hari ini. Sebab-sebabnya banyak. Cukuplah dengan mengatakan bahawa mereka tidak takut kepada Tuhan.
Pertumpahan darah, yang turut dilakukan oleh orang Islam, lazimnya berlaku dalam peperangan. Kadangkala ia perlu dilakukan, umpamanya untuk mengusir orang-orang yang buat kerosakan di bumi. Seperti Nabi Daud yang bunuh Jalut. Sekiranya Jalut tidak dibunuh dan tenteranya dikalahkan maka rosaklah bumi ketika itu. Firman-Nya,
"Dan mereka kalahkan mereka, dengan izin Allah, dan Daud bunuh Jalut; ..... Sekiranya Allah tidak usir manusia, sebahagian mereka dengan sebahagian yang lain, tentu rosaklah bumi, tetapi Allah mempunyai pemberian kepada semua alam." (2:251)
Sama dilakukan ke atas orang-orang yang memerangi Allah dan Rasul-Nya, atau dengan perkataan lain, memerangi Islam. Dengan tindakan itu mereka buat kerosakan di bumi. Firman-Nya,
"Sesungguhnya balasan ke atas orang-orang yang memerangi Allah dan Rasul-Nya, dan yang berusaha di bumi untuk buat kerosakan - mereka dibunuh, atau disalib, atau tangan-tangan mereka dan kaki-kaki mereka dipotong berselang-seli, atau mereka dibuang daripada bumi." (5:33)
Orang-orang yang menyalakan api untuk perang juga ditakrif sebagai buat kerosakan di bumi (5:64).
Kerosakan berlaku apabila raja-raja masuksesebuah bandaraya untuk menawannya. Dan orang-orang yang berkuasa di dalamnya dijadikan rendah. Demikianlah kata Ratu Sabak kepada pembesar-pembesarnya setelah menerima surat Nabi Sulaiman yang mengajak baginda jadi muslim. Al-Qur'an ceritakan,
"Dia berkata, 'Raja-raja, apabila mereka masuksebuah bandaraya, merosakinya dan buatkan penduduknya yang perkasa rendah. Begitulah mereka buat.'" (27:34)
Pada hari ini raja-raja tidak berperanan seperti zaman dahulu. Tempat mereka diambil alih oleh orang-orang tertentu tetapi kerosakan yang berlaku pada sesebuah bandaraya apabila mereka masukinya adalah serupa dengan zaman dahulu, atau lebih dahsyat lagi.
Yajuj dan Majuj, yang dikatakan buat kerosakan di bumi, telah bercadang untuk masuk sebuah tempat. Untuk menghalangi mereka, dan berlindung daripada kejahatan mereka, satu benteng telah didirikan oleh Zul-Karnain (18:94). Benteng itu tidak dapat ditembusi mahupun didaki (18:97).
Selain daripada membina benteng, seperti Tembok Besar di negeri Cina, Allah menyuruh lari daripada orang-orang yang buat kerosakan di bumi. Nabi Musa telah disuruh membawa keluar Bani Israil dari Mesir kerana Firaun buat kerosakan dengan "meninggi di bumi, dan dia pecah belahkan penduduknya kepada golongan-golongan, menghinakan segolongan antara mereka, mengorbankan anak-anak lelaki mereka dan membiarkan hidup perempuan-perempuan mereka," (28:4).
Lari, atau berhijrah, dan terus berjuang di jalan-Nya dengan harta dan jiwa, sambil orang-orang lain memberi perlindungan dan pertolongan, adalah dituntut Allah (8:72), semata-mata untuk mengelak daripada berlaku penganiayaan dan kerosakan yang besar di bumi. Firman-Nya,
"Bagi orang-orang tidak percaya, mereka adalah wali-wali satu sama lain. Jika kamu tidak buat ini (8:72), akan jadilah penganiayaan di bumi, dan kerosakan yang besar." (8:73)
Setelah bumi diperbetulkan Allah berpesan, "Janganlah buat kerosakan di bumi setelah ia dibetulkan, dan serulah kepada-Nya dengan rasa takut, dan penuh harapan. Sesungguhnya pengasihan Allah dekat dengan orang-orang buat baik." (7:56)
Perbincangan mengenai kerosakan di bumi diteruskan dengan menyebut mengenai orang-orang yang berkata percaya kepada Allah dan Hari Akhir tetapi sebenarnya mereka tidak percaya. Mungkin kerana mereka tidak takut kepada ancaman yang dijelaskan di dalam al-Qur'an atau mereka mempunyai penjelasan yang berlainan mengenai Hari Akhir.
Kerosakan yang mereka lakukan, seperti menyuruh orang ramai percaya sebagaimana mereka percaya, adalah dibuat dengan tanpa disedar oleh mereka. Iktibar diambil daripada ayat-ayat berbunyi,
"Apabila dikatakan kepada mereka, 'Janganlah kamu buat kerosakan di bumi', mereka berkata, 'Kami hanyalah orang-orang yang membetulkan.' Sesungguhnya, merekalah orang-orang yang buat kerosakan, tetapi mereka tidak sedar." (2:11-12)
Mereka itu adalah orang-orang munafik yang ciri-cirinya termasuk menaik saksi atas kerasulan Muhammad dan menggunakan kesaksian itu untuk menghalang orang lain daripada jalan Allah.
Orang-orang yang memecahkan perjanjian setelah diikat dengan teguh, dan yang memutuskan apa yang Allah perintah supaya dihubungkan (13:25), dan mereka yang hati berpenyakit yang memutuskan hubungan pertalian darah (47:22) adalah juga orang-orang yang buat kerosakan di bumi.
Pencuri pun dikatakan buat kerosakan di bumi (12:73), berserta orang-orang yang tidak membetulkan urusan anak yatim (2:220), dan orang-orang yang mengamalkan ilmu sihir (10:81). Satu contoh sihir di dalam al-Qur'an, selain daripada tongkat dan tali-tali jadi ular dalam kisah Nabi Musa, ialah memisahkan lelaki dengan isterinya (2:102).
Golongan yang buat kerosakan di bumi turut terdiri daripada orang-orang yang membazir - "Dan janganlah mentaati perintah orang-orang yang membazir (berlebihan), yang buat kerosakan di bumi, dan tidak membetulkan." (26:151-152). Contoh-contoh amalan yang membazir atau boleh menyebabkan pembaziran adalah:
makanan, minuman, dan perhiasan (pakaian) di masjid (7:31),
pemberian makanan, seperti buah-buahan (6:141),
pemberian nafkah (25:67),
pembunuhan (17:33),
amalan homoseksual (7:81),
melupakan kesusahan yang menimpa dan seruan yang telah dibuat kepada Allah (10:12),
melupakan ayat-ayat Allah (20:126-127),
ragu-ragu terhadap ayat-ayat Allah (40:34), dan
berdusta, seperti terhadap ayat-ayat Allah (40:28).
Kembali kepada tajuk. Orang-orang tidak percayai ayat-ayat Allah sebenarnya buat kerosakan (10:40). Seterusnya, mereka yang tidak percayai serta menghalangi orang lain daripada jalan Allah turut dikatakan buat kerosakan tetapi dikenakan azab yang bertambah. Firman-Nya,
"Orang-orang tidak percaya, dan halangi jalan Allah, merekalah yang Kami tambahkan azab di atas azab kerana mereka buat kerosakan." (16:88)
Manakala bagi mereka yang sangkal, walaupun jiwa mereka meyakininya, kerana sombong (ketinggian diri) dan zalim, tidak terlepas daripada azab yang berat:
"Dan mereka menyangkalnya (ayat-ayat Allah), walaupun jiwa mereka meyakininya, dengan kezaliman dan daripada ketinggian diri. Maka perhatikanlah bagaimana kesudahan orang-orang yang buat kerosakan!" (27:14)
Ayat-ayat Allah atau Peringatan tidak akan ikut keinginan sesetengah manusia. Jika begitu maka rosaklah langit dan bumi dan segala yang di dalamnya (23:71).
Allah telah beri beberapa contoh kaum zaman dahulu yang dihapuskan dengan bencana alam kerana mereka buat kerosakan di bumi. Seperti kaum Lut (29:30) yang mengamalkan homosekual dengan meluas dan terbuka.
Atau, kaum Shuaib iaitu penduduk Madyan yang tidak tepati sukatan dan timbangan untuk mengurangi sesuatu bagi manusia, dan duduk di setiap jalan, mengancam, serta menghalangi orang-orang yang percaya daripada jalan Allah dan inginkannya jadi bengkok (7:85-86).
Dan Tsamud, kaum Salleh, yang telah "buat celaka di bumi dengan buat kerosakan," (7:74). Mereka mencederakan unta betina kerana tidak percaya kepada apa yang dibawa oleh Rasul, memandang rendah kepada perintah Tuhan, dan mereka lebih suka kebutaan daripada petunjuk.
Di kotanya pula, terdapat sekumpulan sembilan orang yang buat kerosakan di bumi (27:48). Mungkin mereka adalah orang-orang yang berkuasa. Sementara di Mesir, selain Firaun dan pembesar-pembesarnya yang buat keroskan (7:103), ialah Karun, seorang yang sangat kaya dan angkuh (28:77). Semuanya telah dihapuskan Tuhan kerana buat kerosakan di bumi.
Kerosakan di bumi yang dilakukan oleh manusia meluas hingga kepada tumbuh-tumbuhan. Tanaman bersama anak-anak pokok dimusnah. Firman-Nya,
"Dan apabila dia berpaling, dia berusaha di bumi untuk buat kerosakan padanya, dan untuk musnahkan tanaman, dan anak-anak pokok; dan Allah tidak suka kerosakan." (2:205)
Kerosakan yang dilakukan oleh manusia jelas kelihatan, baik di darat mahupun di laut. Keburukan daripada kerosakan hasil kerja tangan-tangan mereka sengaja dirasakan ke atas mereka oleh Allah supaya mereka kembali. Firman-Nya,
"Kerosakan telah nampak di darat dan di laut kerana tangan-tangan manusia sendiri usahakan, supaya Dia merasakan kepada mereka sebahagian daripada apa mereka buat, supaya mereka kembali." (30:41)
Orang-orang yang buat kerosakan di bumi, dari penumpahan darah ke pemusnahan tanaman adalah jahat pada pandangan Allah. Sifat mereka berlawanan dengan orang-orang yang percaya kepada ayat-ayat Allah dan buat kerja-kerja baik , atau bertakwa. Firman-Nya,
"Atau, adakah Kami akan buat orang-orang yang percaya dan buat kerja-kerja baik , seperti orang-orang yang buat kerosakan di bumi, atau, adakah Kami akan buat orang-orang bertakwa seperti orang-orang yang jahat?" (38:28)
Di akhirat, tempat yang baik disediakan bagi orang-orang yang tidak sombong (ketinggian diri) terhadap ayat-ayat Allah dan yang tidak buat kerosakan di bumi. Mereka adalah orang-orang bertakwa (takut kepada Tuhan). Firman Tuhan,
"Tempat kediaman akhir itu, Kami membuatnya untuk orang-orang yang tidak hendak ketinggian diri di bumi, dan tidak juga kerosakan. Kesudahan adalah bagi orang-orang bertakwa." (28:83)
Bacaan tambahan:
Kalimat Pilihan: Rosak
Artikel:
Bencana
Alam - kemurkaan dari langit
Penulis Bacaan
29 Januari 2005
Artikel
/ English
Articles
Halaman Utama
Terkini
Perpustakaan Bacaan
E-Mail Hiasan
Kalimat Pilihan
Keratan
Akhbar Penemuan
Soalan Lazim
Sudut
Pelajar
Tulis kepada
Pengurus Laman