Menanya Ustaz:
kedatangan Imam Mahadi
dan Nabi Isa
Kepercayaan kepada kedatangan Imam Mahadi dan Nabi Isa di akhir zaman kelihatan menetap di kalangan masyarakat orang Melayu. Keterangan di Soalan Lazim, soalan 14, dengan bukti daripada al-Qur'an tidak mampu untuk mengusirnya keluar dari peti iman kebanyakan orang Melayu. Kerana ada yang menulis untuk mengajak supaya perbincangan mengenainya diteruskan dengan mengambil dalil-dalil daripada hadis dan karangan "ulama". Penulis menolak ajakan tersebut.
Namun, dia terus dengan keinginannya, menulis kepada kami sehingga sepucuk e-mel yang mendedahkan kami terima daripadanya. Kandungan e-mel tersebut diturun dan dibincang di sini, dan ia adalah seperti berikut:
Saya telah pun menanya ustaz. Hasil pertanyaan saya adalah seperti berikut.
1. Memang tidak ada dinyatakan mengenai Imam Mahadi di dalam Al-quran. Tetapi ada dinyatakan dalam hadith qudsi, yakni hadith yang kuat matannya.
2. Memang tidak ada dinyatakan mengenai turunnya Nabi Isa a.s dalam al-quran tetapi ada dinyatakan mengenai naikkan Nabi Isa a.s ke langit dan ada dinyatakan akan turunnya Nabi Isa a.s ke bumi dalam ayat yang berbentuk kiasan.
3. Kisah Yakjuj dan Makjuj ada diceritakan di dalam Al-Quran dan ia berkait rapat dengan turunnya Nabi Isa a.s
Jawapan penulis kepada penjelasan ustaz di atas akan menyinggung perasaan pihak-pihak tertentu terutamanya pihak ustaz itu sendiri. Namun, ia harus diketengahkan juga.
Terus pergi kepada penjelasan ustaz yang pertama, iaitu:
1. Memang tidak ada dinyatakan mengenai Imam Mahadi di dalam Al-quran. Tetapi ada dinyatakan dalam hadith qudsi, yakni hadith yang kuat matannya.
Untuk makluman, dalam hadis bukan qudsi pun ada menyebut mengenai Imam Mahadi. Terdapat empat kesemuanya. Sila rujuk di sini. Malangnya, penulis tidak dapat merujuk kepada hadis qudsi mengenai Imam Mahadi. Maka penulis terima kenyataan ustaz iaitu hadis qudsi ada menyebut mengenai Imam Mahadi.
Mengenai keseluruhan hadis qudsi (bukan yang menyentuh mengenai Imam Mahadi sahaja), maaf kerana bertanya, ada berapa bilangannya yang sebenar? Ada pakarnya mengatakan satu, dan pakar lain mengatakan sebelas. Mungkin ada lagi yang lain dengan bilangan yang lain pula. Tetapi tidak mengapa, keraguan itu diketepikan di sini.
Matan dan kekuatannya telah disebut. Mungkinkah kekuatan matan hadis qudsi itu lebih benar daripada ahsanal-hadiitsi yang diturunkan Allah? Ahsanal-hadiitsi, atau hadis yang paling baik, mampu menggentarkan kulit orang yang takut kepada Tuhan apabila mendengarnya. Firman-Nya:
"Allah turunkan ahsanal-hadiitsi (hadis yang paling baik) sebagai sebuah Kitab ..... dengannya digentarkan kulit orang-orang yang takut kepada Pemelihara mereka" (39:23).
Mampukah hadis qudsi beri kesan yang sama seperti ahsanal-hadiitsi daripada Tuhan? Seperti firman-Nya lagi,
"Apa, tidakkah mereka renungkan al-Qur'an? Jika ia daripada selain Allah, tentu mereka dapati di dalamnya banyak perselisihan." (4:82)
Selain al-Qur'an, banyak perselisihan! Maksudnya, jangan ambil selain daripada al-Qur'an. Banyak masalah! Mungkin ada orang yang kulitnya digentarkan dengan hadis tersebut.
Semua pihak setuju bahawa sama ada ia matan atau tidak, hadis itu tetap hadis, iaitu tulisan selepas al-Qur'an. Sekiranya ingin bertanya sama ada hadis yang sesudah al-Qur'an itu harus dipercayai atau tidak, maka Allah menjawab dengan ahsanal-hadiitsi yang berikut:
"Ini adalah ayat-ayat Allah yang Kami bacakan kamu dengan benar; maka dengan hadis apakah, sesudah Allah dan ayat-ayat-Nya (al-Qur'an), yang mereka akan percayai?" (45:6)
Lagipun, apakah gunanya Imam Mahadi datang - untuk beri petunjuk seperti yang diisyaratkan daripada namanya? Petunjuk Allah sudah lama turun. Di dalamnya tidak menyebut mengenai Imam Mahadi.
Beralih kepada kenyataan ustaz yang kedua, berbunyi:
2. Memang tidak ada dinyatakan mengenai turunnya Nabi Isa a.s dalam al-quran tetapi ada dinyatakan mengenai naikkan Nabi Isa a.s ke langit dan ada dinyatakan akan turunnya Nabi Isa a.s ke bumi dalam ayat yang berbentuk kiasan.
Pembaca agak keliru sedikit. Mula-mula kata tidak ada ayat mengenai turunnya Nabi Isa, kemudian mengatakan ada pulak, tapi dalam bentuk kiasan.
Maaf kerana bertanya lagi, bagaimanakah bunyi ayat al-Qur'an (berbentuk kiasan) yang menyatakan Nabi Isa akan turun ke dunia? Agak sudah puas penulis mencarinya, namun, masih belum jumpa lagi.
Dan, sudah puas juga penulis mencari ayat mengenai Nabi Isa naik ke langit. Masih belum jumpa juga. Yang dijumpai hanya satu ayat sahaja yang menyebut frasa "naik ke langit". Itu pun bukan berkaitan dengan Nabi Isa. Ayat tersebut berbunyi:
"Atau, sehingga kamu (Muhammad) mempunyai sebuah rumah daripada perhiasan (emas), atau sehingga kamu naik ke langit; dan kami tidak akan percayai kenaikan kamu ....." (17:93).
Ayat tersebut mengisahkan orang-orang yang berada di sekeliling Nabi, yang tidak percaya, walaupun Nabi mempunyai sebuah rumah dibuat daripada emas atau baginda telah naik ke langit, sehingga baginda turunkan sebuah kitab (dari langit) untuk mereka membacanya. Mereka mahukan kitab yang datang dari langit bukan yang ditulis oleh Nabi. (Sila rujuk artikel Nabi pandai membaca, menulis. Terima kasih.),
Untuk menyambung bicara mengenai naikkan Nabi Isa ke langit dinyatakan iaitu tidak ada ayat al-Qur'an yang mengisahkan naikkan Nabi Isa ke langit seperti yang didakwa (dalam bentuk kiasan).
Adalah difahamkan bahawa kepercayaan kepada naikkan Nabi Isa berdasarkan baginda tidak wafat waktu disalib, dan dinaikkan ke langit hidup-hidup supaya dapat kembali turun ke bumi suatu hari nanti. (Sila betulkan penulis di sini sekiranya silap.)
Akan tetapi, Tuhan menjelaskan bahawa baginda telah wafat (bukan disalib - 4:157). Lantaran itu, baginda wafat selepas peristiwa penyaliban yang berlaku ke atasnya. Bila dan di mana sebenarnya baginda wafat tidak dimaklumkan di dalam al-Qur'an.
Penjelasan Tuhan mengenai kewafatan Nabi Isa berbunyi:
"Apabila Allah berkata, 'Wahai Isa, Aku akan matikan kamu, dan naikkan kamu kepada-Ku, dan Aku bersihkan kamu daripada orang-orang tidak percaya. Aku akan buatkan orang-orang yang ikut kamu di atas orang-orang tidak percaya hingga Hari Kiamat. Kemudian kepada-Ku kamu akan kembali, dan Aku akan hakimkan antara kamu mengenai apa yang padanya kamu selisihkan.'" (3:55)
Setelah diwafatkan, baginda dinaikkan kepada-Nya sebagaimana semua orang yang mati dikembalikan kepada-Nya. Baginda tidak akan dihidupkan lagi di dunia, kerana Nabi Muhammad adalah Nabi Allah yang terakhir diutus.
Apakah yang akan dibawanya apabila turun nanti, kerana tiap-tiap Nabi membawa al-Kitab? Al-Qur'an? Ia sudah dimiliki manusia kian lama.
Mengapakah al-Qur'an tidak menyebut suatu peristiwa yang amat besar, seperti naik turun Nabi Isa dari langit, di dalam kandungannya?
Kini sampai kepada kenyataan ustaz yang terakhir berbunyi:
3. Kisah Yakjuj dan Makjuj ada diceritakan di dalam Al-Quran dan ia berkait rapat dengan turunnya Nabi Isa a.s
Untuk mengetahui sama ada benar atau tidak apa yang dikatakan oleh ustaz tersebut adalah tidak sukar. Kerana terdapat hanya dua ayat al-Qur'an yang menyebut mengenai Yajuj dan Majuj. Ayat-ayatnya adalah:
"Mereka berkata, 'Wahai Zul-Karnain, sesungguhnya Yajuj dan Majuj buat kerosakan di bumi; maka adakah kami adakan bagi kamu satu ufti, untuk kamu buatkan satu benteng di antara kami dan mereka?'" (18:94) dan,
"Satu pengharaman ke atas sesebuah bandaraya yang Kami telah binasakan; mereka tidak akan kembali, Sehingga apabila Yajuj dan Majuj dibukakan, dan mereka melongsor turun dari tiap-tiap lereng," (21:95-96)
Di mana terletak perkaitan rapat antara ayat-ayat itu dengan turunnya Nabi Isa, seperti yang didakwa oleh ustaz?
Adakah dimaksudkan bahawa Yajuj dan Majuj itu adalah sebenarnya Imam Mahadi dan Nabi Isa? Mungkin tidak.
Atau turun untuk melawan Yajuj dan Majuj yang buat kerosakan di bumi. Apa kata kalau mereka terdiri daripada orang-orang Timur Tengah atau Asia Barat! (Sila rujuk Tanda Kiamat - Yajuj dan Majuj. Terima kasih.)
Mungkin ustaz telah "mutasyabihatkan" ayat-ayat al-Qur'an, untuk mengiakan dakwaannya lalu lupa Peringatan Allah yang berbunyi:
"Bagi orang-orang di dalam hati mereka menyimpang, mereka ikut yang mutasyabihat daripadanya untuk inginkan pertikaian, dan inginkan interpretasinya." (3:7)
Kebengkokan pada kepercayaannya mungkin disebabkan dia berada di dalam golongan yang terlibat dengan mengambil Upah Mengajar Agama. Jika begitu, dakwaan dan bukti-buktinya atas kedatangan Imam Mahadi dan naik turun Nabi Isa dari langit harus ditolak supaya tidak jadi orang-orang yang tidak dapat petunjuk yang benar daripada Allah.
Golongan yang diberi pengetahuan seperti dia tidak juga ditanya setelah menerima sesuatu penjelasan yang benar, daripada al-Qur'an misalnya, kerana Allah akan menutup hati orang-orang yang buat demikian. Mereka akan jadi orang-orang yang ikut keinginan mereka sahaja. Sila renungkan ayat berikut:
"Dan antara mereka ada yang dengarkan kamu, sehingga, apabila mereka keluar daripada kamu, mereka berkata kepada orang-orang diberi pengetahuan, 'Apakah yang dia kata tadi?' Merekalah orang-orang yang pada hati mereka Allah letak satu penutup, dan mereka ikut keinginan mereka." (47:16)
Maka kembalilah kepada al-Qur'an supaya beban kepercayaan itu dapat dilepaskan dengan senang, dan masa untuk mengkaji al-Kitab jadi bertambah, lalu dapat mengingati Allah dengan banyak, dan seterusnya tidak jadi seperti orang-orang munafik, yang juga mengingati-Nya, tetapi dengan tidak banyak, hanya sedikit sahaja.
Sila rujuk:
Imam Mahadi
Tanda
Kiamat - Yajuj dan Majuj
Tanda Kiamat - Tsunami
Tanda
Kiamat - Kehilangan Ayat Qur'an
Penulis
Bacaan
Februari 2003
(kemaskini 22 Januari 2005
dengan diberi nafas baru)
Artikel
/ English
Articles
Halaman Utama
Terkini
Perpustakaan Bacaan
E-Mail Hiasan
Kalimat Pilihan
Keratan
Akhbar Penemuan
Soalan Lazim
Sudut
Pelajar
Tulis kepada
Pengurus Laman