Ayat 4:92 (bunuh) bukan Islam?

 

From: Mohamad Hashim
To: e_bacaan@yahoo.com
Sent: Sunday, August 24, 2008 5:43:22 PM
Subject: DIAT

Salam,

Surah An Nisa -Ayat 92 :

Dan tidak layak bagi seorang mukmin membunuh seorang mukmin (yang lain), kecuali karena tersalah (tidak sengaja), dan barang siapa membunuh seorang mukmin karena tersalah (hendaklah) ia merdekakan seorang hamba sahaya yang beriman serta bayar diat yang diserahkan kepada keluarganya (si terbunuh itu), kecuali jika mereka (keluarga terbunuh) bersedekah. Jika ia (si terbunuh) dari kaum yang memusuhimu, padahal ia mukmin, maka (hendaklah si pembunuh) merdekakan hamba-sahaya yang mukmin. Dan jika ia (si terbunuh) dari kaum (kafir) yang ada perjanjian (damai) antara mereka dengan kamu, maka (hendaklah si pembunuh) bayar diat yang diserahkan kepada keluarganya (si terbunuh) serta merdekakan hamba sahaya yang mukmin. Barang siapa yang tidak memperolehnya, maka hendaklah ia (si pembunuh) berpuasa dua bulan berturut-turut sebagai cara tobat kepada Allah. Dan adalah Allah Maha Mengetahui lagi Maha Bijaksana.

Petikan dari Bacaan :

Tiadalah bagi seorang mukmin untuk membunuh seorang mukmin melainkan dengan silap, dan sesiapa membunuh seorang mukmin dengan silap, maka hendaklah dia merdekakan seorang hamba yang mukmin, dan ganti rugi dibayar kepada keluarganya, kecuali mereka sedekahkannya. Jika dia daripada kaum yang bermusuhan dengan kamu, dan dia seorang mukmin, maka pembunuh hendaklah merdekakan seorang hamba yang mukmin, dan jika dia daripada kaum yang berhubungan dengan kamu dengan perjanjian, maka ganti rugi dibayar kepada keluarganya, dan pembunuh akan merdekakan seorang hamba yang mukmin; jika dia tidak dapatkan, hendaklah dia berpuasa dua bulan berturut-turut - taubat Allah; Allah Mengetahui, Bijaksana.

Jika hanya mengikut Al Quran semata-mata bagaimana boleh seseorang itu tahu jenis diat(denda ganti nyawa) dan kadar bayaran diat? . Diat dalam istilah perundangan Islam bererti: Denda yang telah ditetapkan oleh syarak sebagai menggantikan qisas yang tidak dilaksanakan.

Sekian, terima kasih


Salamun alaikum,

Pertama, kami ingin menarik perhatian kepada kenyataan penulis berbunyi,

"Diat dalam istilah perundangan Islam bererti: Denda yang telah ditetapkan oleh syarak sebagai menggantikan qisas yang tidak dilaksanakan."

Kenyataan mengundang kecaman sebab beri isyarat bahawa ayat Allah 4:92 bukan Islam. Dan bahawa Kitab ajaran-Nya, al-Qur'an, tidak sempurna.

Mungkin yang dimaksudkan Islam ialah ketetapan daripada sekutu-sekutu Allah yang mensyariatkan agamanya, seperti firman berbunyi,

"Atau, adakah mereka punyai sekutu-sekutu yang mensyariatkan untuk mereka sebagai agama, yang dengannya Allah tidak izinkan? Jika tidak kerana Kata Ketetapan, tentu ia diputuskan antara mereka. Bagi orang-orang zalim, azab yang pedih." (42:21)

Adakah Allah mengizinkan apa yang telah ditetapkan syarak bergelar Islam itu? Tidak. Sebab Dia tidak menyebutnya. Sebaliknya Dia mengecam orang-orang yang terlibat dengan panggilan sekutu-sekutu-Nya. Mereka dan pengikut-pengikut adalah orang-orang zalim, bakal menerima azab yang pedih. Allah tidak bersekutu dalam kerajaan-Nya.

Kembali renungkan kata-katanya yang lain, iaitu sebelum yang dipetik di atas:

"Jika hanya mengikut Al Quran semata-mata bagaimana boleh seseorang itu tahu jenis diat(denda ganti nyawa) dan kadar bayaran diat?"

Adakah maksudnya balasan ke atas pembunuh yang tersilap? Tidak mungkin dia tidak nampak, sebab sudah jelas dinyatakan Allah dengan kategori-kategorinya sekali. Ayat yang dianggap bukan Islam itu diakhiri dengan "jika dia (pembunuh) tidak dapatkannya, hendaklah dia berpuasa dua bulan berturut-turut - taubat Allah; Allah Mengetahui, Bijaksana."

Dengan itu ia lengkap, tidak perlu ditambah lagi. Sesungguhnya al-Qur'an itu sempurna, kecuali bagi orang-orang tidak percayainya.

Atau, dia bermaksud ganti rugi yang dibayar kepada keluarga orang yang dibunuh? Memang Allah tidak menyebut berapa banyak kerana bergantung kepada kemampuan. Sama seperti Dia tidak tetapkan berapa banyak seseorang harus nafkahkan daripada harta milikinya dengan ayat bermaksud,

"Dan mereka tanya kamu mengenai apa yang mereka patut nafkahkan. Katakanlah, 'Yang berlebihan.' Begitulah Allah menjelaskan ayat-ayat kepada kamu supaya kamu fikirkan." (2:219)

Perhatikan frasa supaya kamu fikirkan. Maka fikirkanlah berapa yang perlu dibayar kepada keluarga tersebut. Tidak perlu ada orang menetapkan sifirnya, sebab keadaan berbeza, dan sebab Allah tidak menetapkannya.

Pun begitu, Dia beri nasihat "kecuali mereka (ahli keluarga orang dibunuh) sedekahkannya". Sedekahkan ganti rugi kepada pembunuh yang tersilap, atau bermaksud tidak menerima apa-apa daripadanya, jika perlu. Cuma maafkannya sahaja sebab dia bertaubat.

Demikianlah ajaran ISLAM SEBENAR. Islam daripada Allah. Islam agama-Nya. Selain daripada-Nya adalah tiada kecuali kezaliman.

Itu kes bunuh dengan kesilapan. Apa pula kata Allah bagi yang tidak silap? Firman-Nya,

"Wahai orang-orang yang percaya, dituliskan (ditetapkan) bagi kamu ialah pembalasan (qisas), mengenai orang yang dibunuh - orang merdeka dengan orang merdeka, dan hamba dengan hamba, dan perempuan dengan perempuan; tetapi, jika sesuatu dimaafkan kepadanya oleh saudaranya, maka hendaklah mengikutinya dengan baik, dan hendaklah bayarannya dibuat dengan baik. Itu adalah satu keringanan bagi kamu daripada Pemelihara kamu, dan satu pengasihan; dan sesiapa mencabuli sesudah itu, baginya azab yang pedih." (2:178)

Jika pembunuh dimaafkan oleh saudara orang yang dibunuh, lalu bebas daripada hukuman mati, maka hendaklah dia menjelaskan bayaran yang dibuat dengan baik kepada keluarga mangsa. Bayaran tersebut tiada pengecualian.

Dan kata-Nya lagi,

"Dalam pembalasan (qisas) ada kehidupan untuk kamu, wahai orang-orang empunya minda, supaya kamu bertakwa." (2:179)

Dalam ISLAM SEBENAR ada perikemanusiaan. Nyawa manusia tidak diambil sewenang-wenangnya. Orang Islam sebenar tidak asyik dengan hendak membunuh orang sahaja. Tetapi dia guna akal yang waras dan takut kepada Allah.

Sikap angkuh penulis terhadap ayat-ayat Allah diwarisi daripada sesetengah pemimpin agama. Kini ia jadi begitu ketara. Satu contoh, sumpah yang dibuat atas nama Allah baru-baru ini. Ada yang kata sah, dan ada pula yang kata tidak. Berlagak seperti Tuhan. Umat bukan sahaja jadi keliru kerana tindakan mereka malah akan bertindak umpama Tuhan juga atau lebih daripada-Nya.

Mereka adalah jahat. Sehubungan itu, teringat sebahagian daripada doa Nabi Nuh berbunyi,

"mereka akan sesatkan hamba-hamba-Mu, dan mereka tidak beranakkan, kecuali kejahatan yang berdegil dalam ketidakpercayaan." (71:27)

Mereka dipohon kepada Allah supaya dihapuskan dari muka bumi, demi kesucian agama dan kesejahteraan negara.

Kepada penulis surat dan orang-orang lain yang sefahaman dengannya kami menyeru agar berhati-hati terhadap Allah sebelum azab datang dengan tiba-tiba. Azab yang pelbagai akan menimpa bukan sahaja orang-orang bersalah. Misalan azab daripada-Nya dapat dibaca melalui artikel Bencana Alam - kemurkaan dari langit. Namun kebanyakan manusia tidak percayainya.

Selamat menyambut Hari Merdeka.
 

Satu Tuhan Satu Kitab Satu Umat


29.8.08


Halaman Utama   Terkini   Perpustakaan   Artikel   Bacaan   E-Mail   Hiasan   Kalimat Pilihan
Keratan Akhbar   Penemuan   Soalan Lazim   Sudut Pelajar   Senarai Penulis   English Articles

Tulis kepada Pengurus Laman