Perhambaan, Allahu Akbar, dan Amin

 

 

 

From: Idham Shah
Date: 2010/4/6
Subject: Perhambaan
To: Pengurus Laman <
ebacaan114@gmail.com>


Salamun alaikum,

Persoalan perhambaan ini sering menghantui saya.

Di dalam Al-Quran, tidak melarang perhambaan.
Saya juga dapati di dalam Al-Quran tiada sebarang ayat yang menyuruh secara khusus kepada perhambaan. Yang ada cuma urusan pembebasan hamba atau hubungan tuan dan hamba yang mana jadi dalil bahawa perhambaan itu dibolehkan.

Namun saya yakin bahawa perhambaan itu sesuatu yang amat tidak wajar.

Bolehkah saya berkata bahawa kita mempunyai kebebasan untuk menentukan urusan kehidupan kita walaupun sesuatu itu tidak dilarang dalam Al-Quran?
Yakni melarang sesuatu yang tidak dilarang oleh Allah.  Sedangkan ayat yang melarang kita lakukan sebegitu sudah jelas.

Jika kita tidak boleh mengharamkan perhambaan, adakah cukup dengan kita hanya berdiam diri dan tidak mengamalkannya, maka kita dikatakan tidak melarang tapi dalam masa yang sama tidak mengamalkan.

Saya khuatir jika saya mengatakan sesuatu atas alasan ianya perintah Allah, sedangkan tiada ayat2 yang jelas melarang atau perintah.

Harap dapat bincang lebih lanjut,
(Idham Shah)


Salamun alaikum,

Walaupun rasa tidak begitu sedap membaca mengenai Allah dan Kitab-Nya daripada kandungan kiriman IS kami tetap ucapkan terima kasih kepadanya kerana sudi meluahkan perasaan kepada kami.

Mengenai perhambaan, Allah ada menyebut bagaimana segolongan manusia jadi hamba kepada segolongan lain. Sebutan melalui ayat al-Qur'an bermaksud,

"Apa, adakah mereka yang membahagikan pengasihan Pemelihara kamu? Kami membahagikan antara mereka penghidupan mereka dalam kehidupan dunia, dan naikkan sebahagian mereka di atas sebahagian yang lain dalam darjat, supaya sebahagian mereka ambil yang lain dalam perhambaan; dan pengasihan Pemelihara kamu adalah lebih baik daripada apa yang mereka kumpulkan." (43:32)

Maka perhambaan timbul daripada pembahagian dalam penghidupan manusia di dunia ini. Ada yang diberi lebih dan ada yang kurang. Yang kurang menghambakan kepada yang diberi lebih.

 

Selain daripada itu, peperangan antara manusia juga akan mengakibatkan segolongan jadi hamba kepada segolongan lain. Mereka yang tewas jadi rampasan perang, atau disebut sebagai tangan kanan kamu miliki seperti tersurat di ayat berikut:

"Wahai Nabi, Kami telah halalkan untuk kamu isteri-isteri kamu yang kamu sudah beri upah mereka, dan apa yang tangan kanan kamu miliki, yang Allah beri kamu (rampasan perang)," (33:50).

Mereka yang dimiliki itu dikategorikan sebagai hamba juga menurut ayat berbunyi,

"Mereka yang tangan kanan kamu miliki yang inginkan kitab (pembebasan), maka adakanlah perjanjian dengan mereka, jika kamu tahu ada kebaikan pada mereka; dan berikan mereka daripada harta Allah yang Dia beri kamu. Dan janganlah kamu paksa hamba-hamba pemudi kamu melakukan pelacuran, jika mereka hendak kesucian, kerana kamu cari keuntungan kehidupan dunia. Sesiapa yang paksa mereka, maka sesungguhnya Allah, setelah mereka dipaksa, Pengampun, Pengasih." (24:33)

Justeru, bolehkah kita kata ia amat tidak wajar atas kewujudan perhambaan, setelah ayat-ayat Yang Mengetahui menjelaskan? Atau mengatakan perhambaan seperti itu harus diharamkan? Sebaliknya, cuba fikir nasib orang-orang yang tidak berpeluang jadi hamba, yang hidup kelaparan dan tanpa tempat tinggal yang tetap!

Mereka yang dijadikan hamba di situ adalah supaya dapat menikmati penghidupan mereka dalam kehidupan dunia, sehingga boleh jadi isteri kepada Nabi, atau isteri atau suami kepada tuannya pula. Firman Allah,

"Kahwinlah orang-orang yang tidak berkahwin di kalangan kamu, dan hamba-hamba lelaki kamu, dan hamba-hamba perempuan yang salih; jika mereka fakir, Allah akan beri kecukupan kepada mereka daripada pemberian-Nya; Allah Merangkumi, Mengetahui." (24:32)

Dalam perhambaan, kita hanya boleh bertindak jika mereka tidak dilayan dengan baik. Kepada mereka harus dibuat baik seperti orang lain yang dinyatakan di dalam ayat di bawah:

"Buat baik kepada ibu bapa, dan kepada sanak saudara yang dekat, dan anak-anak yatim, dan orang-orang miskin, dan jiran yang kerabat, dan jiran yang tidak dikenali, dan teman di sebelah kamu, dan musafir, dan apa yang tangan-tangan kanan kamu miliki. Sesungguhnya Allah tidak suka orang-orang yang sombong, membanggakan diri," (4:36).

Perhambaan yang tidak baik, atau berlaku kezaliman, memang ada disuruh Allah agar ia diberhentikan. Ini dapat difahamkan daripada cerita Nabi Musa (dan Harun). Baginda telah diutus kepada Firaun untuk menyuruhnya menerima baginda sebagai Rasul Allah, dan juga untuk membebaskan kaumnya daripada perhambaan Firaun (26:22) yang zalim. Firman-Nya,

"Pergilah kamu kepada Firaun, dan katakan, 'Sesungguhnya kami adalah Rasul Pemelihara semua alam. Maka utuslah bersama kami Bani Israil.'" (26:16-17)

Akibat daripada suruhan Musa (termasuk merdekakan kaumnya daripada perhambaan), yang ditentang hebat oleh Firaun, maka Firaun dan tenteranya ditenggelamkan Allah.

 

Antara perhambaan yang zalim, pada hemat kami, ialah memaksa perempuan jadi pelacur. Kegiatan ini bukan baru, mungkin sudah berlaku sejak zaman dahulu lagi, terbukti dengan adanya ayat yang melarang, seperti ayat 24:33 tadi.

 

dengan mengambil iktibar daripada ayat tersebut, dan kezaliman Firaun dalam menghambakan Bani Israil, maka dapat diketahui bahawa Allah melarang sebarang perhambaan yang zalim. Lantas, sekiranya anda tahu sebarang kegiatan perhambaan yang zalim, dan ingin jadi seperti Nabi Musa, maka buat laporan kepada pihak berkuasa.

 

Allah tidak menyuruh supaya perhambaan diharamkan. Kerana ada kebaikan padanya. Oleh itu, jangan cuba jadi seperti tuhan selain daripada-Nya yang mengharamkan pula. Sila lihat Syariat Agama, terima kasih.

 

Pun begitu, Dia menyuruh supaya para hamba dimerdekakan, dengan ganjaran sangat baik iaitu perbuatan tersebut diterima sebagai antara amalan-amalan dalam ketaatan kepada-Nya (2:177), selain diterima sebagai amalan sedekah (9:60), dan termasuk dalam pendakian untuk menjadi Orang Kanan di akhirat kelak (90:12-18).

 

Oleh kerana penjelasan mengenai perhambaan didapati lengkap, maka kenyataan IS berbunyi, "Yang ada cuma urusan pembebasan hamba atau hubungan tuan dan hamba yang mana jadi dalil bahawa perhambaan itu dibolehkan" (maaf kerana menyatakan) adalah hanya merupakan fitnah dan dusta terhadap Allah belaka.

 

 

Tidak juga rasa senang hati dengan kandungan satu lagi e-mel IS yang dikirim pada hari yang sama. Kandungannya juga cuba merendahkan Allah, seperti dipamerkan di bawah:

 

From: Idham Shah
Date: 2010/4/6
Subject: Re: Allah Al-Kabeer
To: Pengurus Laman <
ebacaan114@gmail.com>


Salamun alaikum,
Saya cuma ingin meminta pendapat tentang seruan Allahu Akbar.  Ada yang mengatakan boleh, ada yang mengatakan tidak.

Secara peribadi, saya ambil pendapat bahawa nama2 yang baik wajar untuk Allah walaupun ianya tidak terdapat dalam Al-Quran.  Nama2 Allah bukan hanya dalam bahasa Arab, malah boleh dalam bahasa apa pun yang dipertuturkan manusia.

Selain itu timbul persoalan sebutan "Amin."  Jika kita boleh menyebut bahasa apa pun dalam solat, maka tidak timbul soal "Amin" itu boleh atau tidak.

Persoalannya adakah ianya tambahan bagi ayat2 Al-Quran?

mencari kebenaran,
(Idham Shah)


Salamun alaikum lagi!

 

Betulkan kami di sini - IS berpendapat bahawa nama Allahu Akbar boleh dipakai, kerana ikut orang-orang yang kata boleh.

 

Apa pula kata Allah, yang sudah diketahuinya, semasa membaca karangan-karangan di laman web kami, berbunyi,

"Kepunyaan Allah nama-nama paling baik, maka serulah kepada-Nya dengannya, dan tinggalkan orang-orang yang mencercai nama-nama-Nya. Mereka akan dibalas dengan apa mereka buat." (7:180)

Nama-nama Allah dimulakan dengan kalimat Al seperti Al-Kabeer. Pada Allahu Akbar tidak ada Al, lalu jadikan, apa yang dikatakan nama Allah itu, atau Allah sendiri, bersifat rendah, dan tidak baik. Tidakkah perbuatan itu serupa mencerca nama-Nya?

 

Allah menyuruh supaya orang-orang yang mencerca nama-Nya ditinggalkan, tetapi dia, bukan sahaja enggan, malah ikut mereka pula.

 

Sesungguhnya, sebutan nama yang betul, iaitu seperti diajar-Nya, adalah penting di sisi Allah. Sila renungkan ayat-ayat berikut:

"Berkatalah dia, 'Kotoran dan kemurkaan daripada Pemelihara kamu akan jatuh ke atas kamu. Apa, adakah kamu debat aku mengenai nama-nama yang kamu namakan, kamu dan bapa-bapa kamu, yang Allah tidak turunkan kuasa padanya?'" (7:71)

"Apa kamu sembah selain daripada Dia tiadalah melainkan nama-nama yang kamu sendiri namakan, kamu dan bapa-bapa kamu; Allah tidak turunkan kuasa mengenai mereka." (12:40)

Kembali kepada Al. Terdapat juga segolongan manusia yang namakan tuhan dengan nama bermula kalimat Al. Oleh kerana Allah tidak ajar nama tersebut maka ia juga dilarang daripada menggunakannya. Ayat-ayat yang menjelaskan berbunyi,

"Adakah kamu fikirkan al-Lat, dan al-Uzza? ....Tiadalah ia, melainkan nama-nama yang kamu sendiri namakan, dan bapa-bapa kamu; Allah tidak turunkan kuasa mengenai mereka. Mereka ikut hanya sangkaan, dan apa yang jiwa inginkan;" (53:19-23)

Lantaran itu, kelihatan seoleh Allahu Akbar jatuh ke dalam kategori yang sama dengan al-Lat atau al-Uzza, walaupun tanpa Al, tetapi kerana tidak dianjurkan Allah. Mengapa pilih nama yang rendah bagi Allah walhal terdapat banyak nama-Nya yang baik-baik tercatat di dalam al-Qur'an, seperti yang dihendaki-Nya?

 

Orang-orang yang berkata boleh menggunakan nama yang rendah itu (Allahu Akbar) tentu telah ikut bapa-bapa mereka, sambil menolak petunjuk daripada Allah. Sehubungan itu terdapat satu Peringatan berbunyi,

"Dan apabila dikatakan kepada mereka, 'Ikutlah apa yang Allah turunkan', mereka berkata, 'Tidak, kami akan ikut apa yang kami dapati bapa-bapa kami buat.' Apa? Dan jika bapa-bapa mereka tidak faham sesuatu, dan mereka tidak dapat petunjuk?" (2:170)

 

 

Menyentuh tentang Amin pula. Tentu maksudnya meng-amin-kan al-Fatihah dan doa. Ia merupakan satu lagi amalan mengikut amalan bapa-bapa, bukan ajaran Tuhan. Tajuk ini sudah dibincang (Amin) tapi ditanya lagi.

 

Tuhan tidak mensyariatkan kegunaan Amin dalam agama-Nya. Tetapi dalam agama selain daripada-Nya, Kristian dan Yahudi, ada menggunakannya, akibat ajaran ulama agung mereka bernama Ezra atau Uzair. Perkara ini sudah juga dibincang di laman web kami.

 

Lalu ajaran ulama Yahudi yang agung itu diikuti orang-orang zaman dahulu yang mengaku Islam, iaitu bapa-bapa orang-orang diberi al-Qur'an. untuk menunjukkan perbuatan itu, izinkan kami turunkan satu (lagi) Peringatan yang berkaitan berbunyi,

"Maka jangan kamu berada dalam keraguan mengenai apa yang mereka ini sembah; mereka hanya sembah seperti bapa-bapa mereka sembah dari dahulu; dan sesungguhnya Kami akan bayar kepada mereka sepenuhnya bahagian mereka tanpa dikurangi." (11:109)

Maksudnya dengan ringkas ialah kita dilarang menyembah Allah seperti bapa-bapa atau nenek moyang kita menyembah-Nya (dan sembah tidak bermaksud solat sahaja).

 

Dengan Peringatan itu, pendapat kami di sini berakhir.

 

Terima kasih.

Allah disanjung!

 

8 April 2010

Halaman Utama   Terkini   Perpustakaan   Artikel   Bacaan   E-Mail   Hiasan   Kalimat Pilihan
Keratan Akhbar   Penemuan   Soalan Lazim   Sudut Pelajar   Senarai Penulis   English Articles

Tulis kepada Pengurus Laman