Arab dan Israel II - The Promised Land

 

From: janggutputih
To: ebacaan@yahoo.com
Sent: Friday, February 3, 2012 3:38 PM
Subject: Israel - The Promised Land.


Salamun 'alaikum Tuan.

Terpanggil saya untuk meminta pendapat Tuan mengenai pergolakan Israel/Palestin.

Jika mengikut penjelasan Kitab Taurat, sememangnya tanah itu dijanjikan kepada Keluarga Israel(Yaakob/Jacob). Apabila Bani Israel yg dipimpin oleh Nabi Musa sampai ke tanah itu mereka telah berperang dengan satu kaum iaitu Philistine (mengikut Taurat).

Dan di dalam al-Qur'an ada ceritakan tentang Thalut (Saul) yg diangkat menjadi raja Israel untuk berperang dgn kaum Philistine yg diketuai oleh Jalut (Goliath). Dimana akhirnya Jalut (Goliath) telah dibunuh oleh Dawud (David).
Surah 2 al-Baqarah Ayat 247-251.

Pertanyaan saya kepada Tuan ialah; apakah isu Israel/Palestin ini isu agama ataupun isu 'Siapakah yg berhak ke atas tanah ini'. Sebagai seorang muslim saya mengasihani nasib rakyat Palestin, namun jika benar ianya adalah milik Israel seperti yg telah dijanjikan kepada Yaakob (Israel), maka perdamaian di antara mereka adalah perlu lebih diutamakan bukannya bangkit berjihad berperang menentang Bani Israel?.

Ah saya agak keliru dalam hal ini, saya tidak mahu ambil pendirian yg salah. Jika ianya mengenai Islam saya menyokong peperangan dilancarkan kepada Israel tetapi jika ianya mengenai hakmilik tanah, saya menyokong rundingan.

Apakah pendapat Tuan dalam perkara ini?

Salam.
 

Salamun alaikum,

Terima kasih atas kiriman yang sudah agak lama diterima tetapi baru hari ini kami tergerak untuk menulis mengenainya, sebab ada sesuatu yang berkait dengan al-Qur'an.

Kami menarik perhatian kepada cerita tertulis di atas mengenai Nabi Musa yang memimpin kaumnya sampai ke bumi yang dikatakan telah dijanjikan kepada mereka (The Promised Land). Selanjutnya dipercayai bahawa bumi tersebut ialah negara Israil yang sedia maklum.

Memang benar baginda telah membawa keluar kaumnya dari Mesir setelah dizalimi kian lama oleh keluarga Firaun. Lalu mereka sampai di sebuah tempat yang Allah telah tetapkan (bukan janjikan) untuk mereka. Apa yang berlaku di situ telah diceritakan Allah seperti berikut:

5:21. Wahai kaumku, masuklah Bumi Suci yang Allah tuliskan (tetapkan) untuk kamu, dan jangan kembali (murtad) ke belakang kamu, untuk balik sebagai orang-orang yang rugi."

5:22. Mereka berkata, "Wahai Musa, di dalamnya ada kaum yang gagah perkasa, dan kami tidak akan masuk sehingga mereka keluar darinya. Jika mereka keluar darinya, kami akan masuk."

5:23. Berkata dua orang lelaki antara orang-orang yang takut kepada Allah, yang Allah rahmati, "Masuklah temui mereka melalui pintu gerbang. Apabila kamu masuk, kamulah orang-orang yang mengalahkan, dan tawakallah kepada Allah, jika kamu orang-orang mukmin."

5:24. Mereka berkata, "Wahai Musa, kami tidak akan masuk selama-lamanya, selagi mereka berada di dalamnya. Pergilah, kamu dan Pemelihara kamu, dan berperanglah; kami akan duduk di sini."

Maka mereka tidak masukinya. Lantaran itu, Nabi Musa memohon kepada Allah supaya mereka dapat dipisahkan daripada baginda dan saudaranya. Permohonan diperkenankan, dan kaumnya selepas itu dapati diri-diri mereka merayau-rayau di bumi selama 40 tahun sebelum berjumpa sebuah tempat tinggal yang tetap untuk mereka. Ayat-ayat yang menyusul menjelaskan:

5:25. Berkata (Musa), "Wahai Pemeliharaku, aku tidak menguasai sesiapa kecuali diriku dan saudaraku. Pisahkanlah antara kami dan kaum yang fasiq (tidak mempedulikan perintah Tuhan)."

5:26. Berkatalah Dia, "Maka ia diharamkan kepada mereka selama empat puluh tahun sedang mereka merayau-rayau di bumi; maka jangan kamu dukacita terhadap kaum yang fasiq."

Justeru dapat difahamkan bahawa mereka tidak berperang dengan kaum yang gagah perkasa di Bumi Suci, tetapi tinggalkan mereka untuk mencari sebuah tempat tinggal yang lain, tanpa Nabi Musa dan saudaranya Harun.


Nabi Daud telah membuka Jerusalem (Baitul Maqdis). Baginda hidup kira-kira 400 tahun selepas Nabi Musa menurut sesetengah ahli sejarah. Kawasan di situ dan sekitarnya telah jadi tanah jajahan kerajaan baginda. Catatan mengenai kerajaannya dapat dibaca dalam tulisan bertajuk
Arab dan Israil yang tersedia di sini.

Kemudian muncul pula Nabi Isa (kira-kira 1000 tahun selepas Daud), seorang lagi Nabi Bani Israil, yang tinggal di sekitar kawasan yang luas itu. Justeru, kawasan itu (Timur Tengah) telah jadi kampung halaman bagi Bani Israil. Adakah kawasan itu Bumi Suci yang ditetapkan Allah bagi mereka? Atau The Promised Land?

Namun, kesemua mereka didapati tidak sealiran, kerana segolongan orang Yahudi yang ortodok (berjanggut lebat, berjubah dan bertopi hitam) yang tinggal di luar Israil, seperti di Amerika Syarikat, telah menyatakan dengan tegas bahawa negara Israil kini adalah bukan The Promised Land!


Orang-orang Yahudi dan Arab Palestin telah tinggal dengan aman sebelum negara Israil ditubuhkan pada tahun 1948. Demikianlah dapat difahamkan daripada cerita-cerita benar yang ditulis, misalan mengenai percintaan di kalangan pemuda-pemudi Arab-Israil.

Setelah negara Israil ditubuhkan, sempadan didirikan, sekali gus memisahkan, antara lain, ahli keluarga, harta benda dan pentadbiran. Keadaan tidak menyenangkan hati telah timbul, yang berakhir dengan kedengaran bunyi letupan bom pertama di situ. Lantas, pihak berkuasa Israil ambil tindakan demi keselamatan di dalam negeri yang baru mereka perolehi.

Dan kira-kira 28 tahun kemudian tercetus pula perang Arab (diketuai negara Mesir) dengan Israil. Setelah menang, sempadan negara Israil jadi lebih luas. Ia jadi lebih luas lagi setelah perang Arab-Israil ke-2 yang berlaku kira-kira 10 tahun kemudian.


Yasser Arafat (arwah) selaku ketua PLO pada suatu masa dahulu telah menegaskan bahawa perjuangan mereka adalah bukan agama, tetapi untuk menuntut hak ke atas tanah-tanah yang diambil Israil. Sayugia diingatkan bahawa bukan semua orang Palestin beragama Islam, dan isteri beliau sendiri merupakan penganut agama Kristian yang taat.

Kemudian selepas itu wujud pula sebuah parti berlabel Islam lalu jadikan perjuangan orang Palestine sebagai perjuangan agama. Perjuangan berlabelkan Islam kelihatan begitu laku apabila ditawar di sana sini kepada umat Islam.


Pergelutan Israil-Palestin adalah di gelanggang politik yang kami tidak begitu memahami dan suka, kerana apa yang diketahui melalui media massa adalah, pada hemat kami, bukan cerita sebenar. Masing-masing menyimpan rahsia, seperti semua kerajaan di dunia ini.

Apapun, kami lemparkan simpati kepada orang-orang awam yang jadi mangsa pertumpahan darah dalam pergelutan tersebut, terutama mereka yang jadi pelarian. Kepada mereka harus diberi bantuan dengan tanpa soal lagi.


Orang Yahudi adalah ahli Kitab seperti orang Islam. Segala perselisihan antara ahli Kitab harus dihadapi dengan perundingan seperti disyorkan Allah melalui ayat berbunyi,

3:64. Katakanlah, "Wahai ahli Kitab, marilah kepada satu kata yang sama, antara kami dan kamu, bahawa kita tidak sembah melainkan Allah, dan bahawa kita tidak sekutukan sesuatu dengan-Nya, dan janganlah sebahagian kita ambil sebahagian yang lain sebagai pemelihara-pemelihara, selain daripada Allah." Dan jika mereka berpaling, katakanlah, "Saksilah bahawa kami adalah muslim."

Oleh itu, urusan dilaksana dengan aman, tetapi jika mereka serang selepas itu, atas kepercayaan agama, maka jadi wajib bagi orang Islam membalas dengan setimpal.

Sekian pendapat kami.

Allah disanjung!


20 Februari 2012

Halaman Utama   Terkini   Perpustakaan   Artikel   Bacaan   E-Mail   Hiasan   Kalimat Pilihan
Keratan Akhbar   Penemuan   Soalan Lazim   Sudut Pelajar   Senarai Penulis   English Articles

Tulis kepada Pengurus Laman