Wanita - Perhiasan dan Aurat

 

From: hypatia.agora
To: Pengurus Laman <ebacaan@yahoo.com>
Sent: Tuesday, August 6, 2013 8:21 AM
Subject: RE: Thank You & Alhamdulilah


Salamun'Alaikum,

Terima kasih sekali lagi Saudara pengurus laman kerana memberi pemerhatian dan pendapat yang sangat teliti & jujur, menurut Al Quran dan pendapat yang sejajar dengan wahyu Allah.

Sumber rujukan saya mengenai hal ehwal kewanitaan, sejarah wanita purba & moden (online dictionary & random articles) banyak berhubung-kait dengan budaya & adat resam... Saya agak 'cerebral stimulated' dan terlalu seronok dalam proses mengkaji, dan maaf juga kerana saya tersilap atau keliru dengan satu ceramah di youtube oleh professor liberal dari Pakistan yang ada menyebut "A woman is an adornment..." saya teringatkan kata-katanya sehingga terbawa-bawa. Emoji Berkemungkinan dia tidak memahami tafsiran Al Quran tersebut....

Sedihnya, perkataan Aurat yang banyak disalah terjemah oleh para akademik dari Timur Tengah yang tidak mengikuti maksud sebenar dari Al Quran, sungguh, saya terlalu banyak mencari sumber sehingga saya terikut-ikut dengan pelbagai terjemahan yang berbeza (perkataan Arab, Sanskrit India, Parsi, ). Ada yang mengatakan Aurat itu 'wanita', manakala dalam budaya Arab ia bertukar maksud "Kecacatan". Para ustazah dan ustaz di sekolah juga turut mengambil maksud aurat ini mengikut ajaran dari Timur Tengah. Secara tidak langsung mereka melabelkan wanita sebagai cacat, umpamanya.

Apabila saya tahu maksud sebenar Al Quran bukan mengikut tradisi (tafsiran berdasarkan budaya sesuatu kaum), maka senanglah hati saya, dan bahasa Al Quran itu bahasa yang baik-baik untuk seluruh umat manusia dan memberi ketenangan kepada yang mempercayainya.

Terima kasih kepada saudara yang sangat sabar (membaca emel saya yang panjang) dan berkongsi cerita dan ilmu pengetahuan.

Sampaikan salam saya kepada rakan-rakan ebacaan dan ahli keluarga Saudara.

Yang ikhlas,
arch.emerith
 
Emoji


Salamun alaikum,

Terima kasih kembali. Sebenarnya, sebelum ini kami tidak tahu bahawa perkataan wanita dan cacat menjadi maksud kepada kalimat aurat, dan bahawa ia dipakai dan dimulakan oleh orang Arab sendiri. Kalau kalimat itu ('awrah) mereka tidak sedar wujud di dalam al-Qur'an, apatah lagi dengan kata-kata Nabi yang terkandung di dalamnya seperti firman berbunyi,

"Aku tidak ikut apa-apa, melainkan apa yang diwahyukan kepadaku (al-Qur'an). Sesungguhnya aku takut, jika aku ingkari Pemeliharaku, akan azab hari yang besar." (10:15)

Ayat itu turut menimbulkan kesedaran supaya tidak menjadi pak turut kepada mana-mana manusia walau dari bumi mana pun mereka menjelma.

Tambahan pula perkataan wanita atau NISA' mahupun IMRA'AH di dalam al-Qur'an tidak sedikit pun berbunyi seakan 'awrah untuk dijadikan maksud bagi aurat. Atau kalimat-kalimat SHIYAH atau SAWIY atau A'RAJ yang bermaksud cacat, seperti terdapat pada ayat-ayat di bawah, yang turut tidak semelodi dengan bunyi kalimat 'awrat:

2:71. Dia berkata, "Sesungguhnya Dia berkata, ia lembu yang belum pernah dipakai untuk membajak bumi, atau untuk mengairi tanaman; sesuatu yang teguh, tanpa tanda yang mencacatkan (SHIYAH) padanya." Mereka berkata, "Sekarang kamu sudah datangkan yang benar." Lalu mereka korbankannya, dan hampir mereka tidak melakukannya.

19:17. Dan dia (Mariam) ambil satu tabir, menjauhkan daripada mereka; kemudian Kami utus kepadanya Roh Kami yang menyerupai di hadapannya seperti seorang manusia dengan tanpa cacat (SAWIY).

24:61. Tidak salah ke atas orang buta, dan tidak salah ke atas orang cacat (A'RAJ), dan tidak salah ke atas orang sakit, dan tidak juga ke atas diri kamu sendiri, untuk kamu makan di rumah....

(Ketiga-tiga ejaan kalimat Arab al-Qur'an itu adalah dalam bahasa Inggeris, seperti terdapat pada Concordance di muka surat 1295, 1116 dan 279. Begitu juga dengan dua sebelum, mengenai wanita. Harap maaf.)

Maka, mengapa maksud perkataan aurat diselewengkan dan menjadi hukum dalam agama pula?


Turut menarik perhatian kami ialah kenyataan seorang
professor liberal Islam berbunyi "A woman is an adornment..." atau bermaksud wanita adalah perhiasan.

Benarkah wanita itu suatu perhiasan? Atau hanya diambil sebagai perhiasan sahaja, sehingga menjadi antara beberapa objek yang dicintai, daripada nafsu, dalam kesenangan kehidupan dunia, sebagaimana disebut firman berbunyi,

3:14. Dinampakkan indah bagi manusia ialah kecintaan hawa nafsu (syahwat) daripada perempuan-perempuan, dan anak-anak, dan menimbunkan timbunan emas dan perak, dan kuda-kuda yang ditanda, dan binatang ternak, dan tanaman. Itu kesenangan kehidupan dunia; tetapi Allah, di sisi-Nya tempat kembali yang terbaik.

Ingin melanjutkan sedikit peringatan mengenai perhiasan dengan menurunkan ayat Allah berbunyi,

57:20. Ketahuilah bahawa kehidupan dunia adalah tiada, melainkan satu permainan, dan satu hiburan, dan perhiasan, dan bermegah-megah antara kamu, dan persaingan dalam harta dan anak-anak.

Justeru, jika wanita dijadikan suatu perhiasan maka ia berjoget bersama apa yang dikatakan permainan, hiburan dan bermegah-megah antara manusia. Itukah wanita yang anda miliki, atau ingin miliki?

Tidak, Allah tidak menyifatkan wanita sebagai perhiasan. Tidak ada satu petunjuk pun dalam ajaran agama-Nya yang menghalakan kaum wanita ke dalam ruang perhiasan manusia. Sila rujuk kalimat Perhiasan di dalam al-Qur'an. Terima kasih. Dan artikel Wanita dalam Islam sebenar jika perlu.

Sekian.

Allah disanjung!


8 Ogos 2013

Halaman Utama   Terkini   Perpustakaan   Artikel   Bacaan   E-Mail   Hiasan   Kalimat Pilihan
Keratan Akhbar   Penemuan   Soalan Lazim   Sudut Pelajar   English Articles
Tulis kepada Pengurus Laman