Kelirukan Perkataan Allah
Agama Allah mampu dicela dengan perkataan-perkataan yang dikelirukan makna-maknanya. Amalan ini sudah berkurun-kurun lama dilakukan, oleh sebahagian daripada orang-orang Yahudi, sejak Kitab-Kitab Allah sebelum al-Qur'an diturunkan.
Nasib yang sama telah menimpa Kitab al-Qur'an yang mesejnya dalam bahasa Arab masih berada dalam keadaan original kerana dipelihara Allah.
Dengan kelebihan itu, mana-mana perkataannya yang telah dikelirukan dapat dikesan, pada hari ini, oleh orang-orang yang mengkaji dan memegang al-Qur'an. Lantas perkara itu menjadi isi karangan ini, kecuali bagi yang sudah lama ditelan oleh masyarakat.
Antara yang baru didatangkan, sejak belasan tahun lalu, dan masih tidak dipakai umum, ialah mengenai zakat. Frasa aatawu zzakaata daripada al-Qur'an, yang lazim diterjemah kepada menunaikan zakat atau beri zakat menjadi bukti bagi sesetengah pihak pemegang al-Qur'an atas kewujudan kekeliruan yang dimaksudkan.
Menurutnya, makna itu telah diubah oleh pihak tertentu, dan makna sebenarnya menurutnya lagi ialah bukan beri tetapi terima. Maka frasa itu, baginya bermaksud terima zakat.
Lalu kalimat aata dikaji, dengan mengkaji penggunaannya di dalam al-Qur'an. Ia didapati disebut sebanyak 275 kali, terkandung di dalam 51 ayat, jika pengiraan penulis tidak silap. Sebagai contoh diturunkan dua ayat berikut:
"Dan apabila Kami beri (aatainaa) Musa al-Kitab, dan Pembeza, supaya kamu dapat petunjuk." (2:53)
"Dan apa yang kamu beri daripada riba (aataitum min-riban), supaya ia menambahkan harta manusia, ia tidak bertambah di sisi Allah; tetapi apa yang kamu beri daripada zakat (aataitum min-zakaatin), dengan hendakkan wajah Allah, maka itulah yang melipatgandakan." (30:39)
Jelas bahawa jika ia bermaksud terima maka maksud ayat-ayat itu tentu menjadi keliru. Kerana itu semua aata diterjemah kepada beri, dalam usaha menyeragamankan maksud, kecuali satu yang tidak dapat dilaksana kerana konteks ayat yang berbunyi,
"Dan jika kemasukan dikenakan terhadap mereka dari segenap penjuru, dan kemudian, jika mereka diminta untuk buat penganiayaan, tentu mereka lakukannya (aatauha), dan tidak tinggal di dalamnya melainkan sebentar." (33:14)
(sila rujuk Kalimat Beri 1)
Dalam keindahan mana-mana bahasa memang terdapat pengecualian, tetapi di sini perkataan terima bukanlah terjemahan kecualiannya.
Selain itu (bukan hendak mengajar tetapi setakat menyalin apa yang didapati), bagi frasa beri zakat khususnya, terdapat perbezaan dalam sebutan kerana pengaruh tensa pada ayat yang ia berada. Tiga contoh diturunkan di bawah ini:
"Orang-orang yang, jika Kami teguhkan mereka di bumi, lakukan solat, dan beri zakat (aatu zzakaata), dan menyuruh yang baik, dan melarang yang mungkar; dan kepada Allah kesudahan segala urusan." (22:41)
"Tetapi orang-orang antara mereka yang dalam dalam pengetahuan, dan orang-orang mukmin yang percayai apa diturunkan kepada kamu, dan apa diturunkan sebelum kamu, dan orang-orang yang lakukan solat, dan orang-orang yang beri zakat ('tuuna -zzakaata), dan orang-orang yang mukmin kepada Allah dan Hari Akhir, mereka itu Kami pasti akan beri upah yang besar." (4:162)
"Yang tidak beri zakat (laa yu'tunna -zzakaata), dan tidak percaya kepada akhirat." (41:7)
Demikian difahamkan daripada sumber yang dianggap berkuasa dalam bahasa Arab. Maka dengan kuasa apakah kalimat aata ditukar kepada terima?
Adalah difahamkan seterusnya iaitu pertukaran yang dibuat adalah atas pemikiran
bahawa frasa aqaamu -shshalaata wa aatu zzakaata (22:41 tadi) yang
bermaksud lakukan solat dan beri zakat tidak bermaksud seperti itu, tetapi
bermaksud lakukan solat dan terima zakat (kesucian).
Hujah itu agak menarik. Tapi sukar ditelan kerana solat itu sendiri merupakan suatu amalan yang menyucikan diri. Allah menjelaskan:
"Orang yang memikul beban tidak akan pikul beban, beban orang lain; dan jika orang yang bebannya berat menyeru supaya dipikul, tiadalah dipikul sesuatu daripadanya, walaupun dia sanak saudara yang dekat. Kamu hanya beri amaran kepada orang-orang yang takut kepada Pemelihara mereka dalam keadaan ghaib, dan lakukan solat; dan sesiapa yang menyucikan (tazakka) dirinya, hanyalah menyucikan (tazakka) untuk jiwanya sendiri. Kepada Allah kepulangan." (35:18)
(sila rujuk Kalimat Zakat di dalam al-Qur'an, terima kasih)
Mungkin tidak melampau apabila dikatakan terdapat redundant dalam hujah yang diutarakan itu.
Lantaran itu, mengenai apa yang patut diberi dalam zakat harus dijelaskan pula, menurut ayat-ayat Allah, yang menetapkan harta atau memberi sedekah, seperti berikut:
"Yang beri hartanya untuk menyucikan (tazakka) dirinya," (92:18).
"Ambillah daripada harta mereka sedekah untuk bersihkan mereka, dan untuk sucikan (zakka) mereka dengannya," (9:103).
Kembali kepada solat dan zakat, dan melonjak kepada amalan solat yang dikatakan pula
disalah erti. Ia menurut fikirannya lagi tidak bermaksud sembahyang seperti
yang lazim difahamkan tetapi suatu yang lain yang tidak nampak seperti
menyembah.
Untuk itu rasanya baik diperingatkan dengan ayat berikut:
"Dan solat mereka di Rumah tidak lain hanya siulan dan tepukan tangan; maka kamu rasalah azab kerana ketidakpercayaan kamu!" (8:35)
Adakah solat di situ kelihatan bermaksud selain daripada sembahyang atau menyembah?
Benar, solat sudah salah dilakukan, dan Allah telah menyatakannya pula di situ. Selepas ayat itu disedari, tentu ia telah dibetulkan, dan kemudian selepas beberapa lama, dicemari lagi, dan pada hari ini, atas orang yang tahulah untuk membetulkan bukan memperolok-olokkan apa yang sedang dilakukan. Betulkan wuduk, betulkan waktu, betulkan nada suara dalam solat, sebagai contoh.
Rumah telah disebut di situ, yang mungkin dipanggil-Nya juga dengan nama khas
lain iaitu Rumah-Ku dan Rumah Suci.
Akan tetapi, terdapat pula orang yang percaya mencercainya dengan menamakannya "Kotak Hitam" dan dilaungkannya pula di media sosial (ini telah buat penulis rasa sangat mual). Kalau orang fahaman lain guna nama yang tidak diajar Allah boleh dicaci-makinya, mengapa pula apabila diri sendiri melakukannya disifatkan sebagai mulia atau sudah dapat petunjuk?
Sila lihat apa yang dikatakan Allah mengenai Rumah tersebut dan lihat apa yang harus dilakukan di sana:
"Dan apabila Kami buatkan Rumah untuk jadi tempat berkunjung bagi manusia, dan tempat aman, dan, 'Ambillah bagi kamu medan Ibrahim untuk tempat solat.' Dan Kami buat perjanjian dengan Ibrahim dan Ismail, 'Bersihkan Rumah-Ku untuk orang-orang yang kelilinginya, dan orang-orang yang bertekun (iktikaf), dan orang-orang yang tunduk, orang-orang yang sujud.'" (2:125)
"Wahai Pemelihara kami, aku tempatkan sebahagian daripada keturunanku di sebuah lembah di mana tidak ada tanah yang disemai dekat Rumah Suci Engkau; wahai pemelihara kami, agar mereka melakukan solat, dan buatkan hati manusia berkeinginan padanya, dan berilah rezeki mereka dengan buah-buahan supaya mereka berterima kasih." (14:37)
Andaikata Rumah itu bukan di Mekah, negeri Arab, maka carilah ia di tempat lain, dan buat apa yang disuruh Allah di sana. Sehingga menjumpainya, sila jangan cuba mencercanya dan memburukkan lagi nama agama Allah di mata dunia, sehingga menjadi suatu celaan, seperti dilakukan orang-orang Yahudi dahulu. Sudahkah tidak cukup dengan orang-orang yang tidak percaya memfitnah agama Allah untuk ditambah lagi dengan perbuatan orang-orang yang mengaku percaya kepada-Nya pula?
Atau mereka kira ayat-ayat itu tidak boleh dipakai lagi lalu mencampakkannya ke belakang untuk menjadi orang-orang tidak percaya kepada-Nya.
Segala yang dikatakan telah dikelirukan oleh pihak tertentu tercatuk di atas beberapa ayat al-Qur'an
yang ditonjolkan di hadapan. Penulis tidak berapa ingat ayat-ayatnya, kecuali satu yang amat
ketara, berbunyi seperti diturunkan di bawah tetapi dimerahkan perkataan
antara (mimman) yang didapati telah
disembunyikan untuk menuding jari terhadap keseluruhan suatu kaum yang
dipandang serong. Terjemahan di bawah adalah daripada Bacaan bukan dipetik
daripada pihak sedia maklum, dan bahagian yang diwarnakan biru adalah yang tidak
dimuatkan juga dalam petikannya:
"Dan antara orang-orang Arab di sekeliling kamu, mereka adalah orang-orang munafik; dan sebahagian daripada penduduk Kota jadi berani dalam kemunafikan. Kamu tidak tahu mereka, tetapi Kami tahu mereka, dan Kami akan azab mereka dua kali, kemudian mereka dikembalikan kepada azab yang besar." (9:101)
Dengan menyorok kalimat mimman maka kelihatan seperti seluruh kaum Arab terlibat dalam komplot untuk mengelirukan perkataan-perkataan Allah. Tambahan lagi, di situ Allah menyatakan Rasul tidak tahu mereka, tetapi sekarang kelihatan seolah sudah ada orang yang tahu, seperti Dia, atau mendapat petunjuk lebih daripada Rasul.
Penulis tidak tahu, atau tidak mahu tahu,
siapa sebenarnya yang telah
mengelirukan makna perkataan-perkataan Allah di dalam al-Qur'an. Baginya, ia boleh dilakukan oleh siapa saja
termasuk orang Melayu seperti digambarkan di sini. Apa yang diketahui daripada al-Qur'an
mengenainya harus menjadi keutamaan dalam membuat sesuatu tuduhan. Ayat berikut
harus dirujuk dahulu:
"Wahai Rasul, janganlah mereka sedihkan kamu, yang bersegera dalam ketidakpercayaan, daripada orang-orang yang berkata dengan mulut mereka, 'Kami percaya', tetapi hati mereka tidak percayai, dan daripada orang-orang Yahudi, yang dengar yang dusta, yang dengar kaum lain, yang tidak datang kepada kamu, dengan kelirukan perkataan-perkataan daripada makna-maknanya, dan berkata, 'Jika kamu diberi yang ini, ambillah ia, dan jika kamu tidak diberi, maka berhati-hatilah kamu.' Sesiapa yang Allah hendak mencubanya, kamu tidak berkuasa untuk menolongnya sedikit pun terhadap Allah. Mereka itulah orang-orang yang hati mereka Allah tidak hendak bersihkan; bagi mereka kerendahan di dunia, dan di akhirat, bagi mereka azab yang besar," (5:41).
Perkataan-perkataan yang dikelirukan menjadi hanya cubaan bagi kita semua, terbit daripada orang-orang yang hati mereka tidak bersih, dan Allah tidak pula ingin bersihkannya juga.
Kaum lain di situ adalah bukan Arab. Bangsa Arab memang tidak dipuja mahupun bangsa-bangsa lain kerana masing-masing mempunyai kekuatan dan kelemahan. Tetapi di negara mereka terletak bahan rujukan seperti kamus yang tua yang telah menjadi rujukan kepada seorang doktor pakar dari Perancis lagi ternama di dunia dalam memahami sesuatu kalimat daripada al-Qur'an untuk diguna dalam kajian dan penulisan bukunya. (Video ini menceritakan sedikit mengenai dirinya - http://www.youtube.com/watch?v=1zs6z6E_Oik)
Tidak juga penulis menyarung sifat anti kepada mana-mana pendapat atau fahaman
lain, tetapi sekadar menegur sahaja, menuruti Kitab al-Qur'an yang menjadi
teguran bagi orang-orang yang takut kepada-Nya. Dua firman diturunkan sebelum
berhenti menulis, berbunyi:
"Sesungguhnya Kami telah turunkan kepada kamu ayat-ayat yang menjelaskan, dan satu contoh orang-orang yang telah berlalu sebelum kamu, dan satu teguran bagi orang-orang bertakwa." (24:34)
"Serulah ke jalan Pemelihara kamu dengan kebijaksanaan dan teguran yang baik, dan debatlah dengan mereka dengan cara lebih baik. Sesungguhnya Pemelihara kamu, Dia sangat-sangat tahu orang-orang yang sesat daripada jalan-Nya, dan Dia sangat-sangat tahu orang-orang yang dapat petunjuk." (16:125)
Allah disanjung!
Artikel /
English
Articles
Halaman Utama Terkini
Perpustakaan Bacaan
E-Mail Hiasan
Kalimat Pilihan
Keratan
Akhbar
Penemuan
Soalan Lazim
Sudut
Pelajar
Tulis
kepada
Pengurus Laman