Niat Puasa, Surah Ya Sin & Mengelirukan

 

From: abumuslim
To: e_bacaan@yahoo.com
Sent: Tuesday, September 2, 2008 10:07:16 PM
Subject: Niat Puasa & Surah Yassin

Salamun'alaikum

Selamat berpuasa diucapkan kepada sahabat, semoga dapat menjalankan ibadah puasa dengan baik.

Sewaktu saya sedang berehat-rehat sambil menunggu masuknya waktu maghrib, saya sekeluarga pun meluangkan masa dengan menonton televisyen. Lalu keluarlah seorang ustaz dikaca tv bercerita tentang niat puasa.

Cerita ustaz itu begini, katanya, jika seseorang itu tidak berniat puasa pada esok harinya maka puasanya dalam konteks puasa yang sebenarnya dalam bulan Ramadhan, tidak diterima, tetapi orang itu harus juga berpuasa iaitu tidak makan dan minum pada hari tersebut, dan wajiblah dia menggantikan hari dia tidak berniat puasa itu dengan hari yang lain.

Ustaz ini kata, puasa tidak diterima jika tidak berniat, tetapi kena puasa juga walaupun tidak diterima puasanya, ....emmm mengelirukan.

Apa komen sahabat ?

Jika tidak keberatan, bolehkah sahabat beri komentar mengenai perkara niat ini, yang juga banyak mengelirukan umat Islam, seperti niat sebelum wuduk, niat solat mengikut waktu, niat mandi wajib dan sebagainya.

Satu lagi soalan untuk sahabat,

Benarkah Surah Yassin itu jantung Al-Qur'an ?

Saya bangkitkan perkara ini kerana, baru-baru ini telah diadakan majlis tahlil disebuah rumah jiran saya, tetapi saya tidak menghadirinya, kerana bagi saya ianya satu perkara yang sia-sia iaitu membaca Surah Yassin untuk si mati.

Lalu saya ditegur oleh salah seorang ahli keluarga saya, dan berlaku perdebatan antara kami, dan dia menjelaskan bahawa Surah Yassin itu banyak hikmahnya dan ianya jantung Al-Qur'an.

Adakah perbuatan saya ini salah, yakni tidak menghadiri majlis tahlil tersebut ?

Penjelasan saudara amat saya hargai, terima kasih.


Salamun alaikum,

Terima kasih, sahabat. Semuanya baik, alhamdulillah.

Soalan kedua disentuh dahulu. Surah Ya Sin adalah surah ke-36, mengandungi 83 ayat. Manusia menganggapnya jantung al-Qur'an sebab ia berkisar pada watak utama dalam penyebaran Islam, wahyu-Nya, dan akhirat. Kami enggan mempertikaikan tanggapan yang diada-adakan itu walaupun terdapat beberapa surah lain turut mengandungi tema yang sama, atau beri penjelasan lebih lanjut.

Surah Ya Sin dikatakan mengandungi hikmah. Hikmah, atau kebijaksaan, terletak pada kandungannya. Jika kandungan tidak difahami dari mana pula datang hikmahnya? Atau mereka bermaksud surah Ya Sin mengandungi kuasa sihir yang mampu menyejahterakan orang mati!

Beberapa ayat surah Ya Sin dibentang di sini dengan harapan mereka yang membacanya sedari akan apa yang dibaca. Pertama dipilih ialah ayat ke-11 berbunyi,

"Kamu hanya beri amaran kepada orang yang ikut Peringatan, dan yang takut kepada Yang Pemurah dalam keadaan ghaib; maka berilah dia berita gembira dengan ampunan dan upah yang mulia." (36:11)

Ayat menyuruh manusia ikut Peringatan (al-Qur'an) dan takut kepada-Nya, supaya usaha Rasul dalam beri amaran tidak jadi sia-sia sahaja. Ingin bertanya, apakah gunanya ayat tersebut dibaca kepada si mati? Bagi yang membacanya pula adakah mereka memenuhi suruhan Tuhan tersebut?

 

Ayat surah Ya Sin kedua yang dipilih untuk renungan mereka ialah:

"Mereka berkata, 'Pemelihara kami tahu bahawa kami adalah utusan-utusan kepada kamu,
Dan atas kami hanyalah untuk sampaikan yang jelas.'" (36:16-17)

Adakah mereka percayai apa yang mereka baca iaitu tugas Rasul hanya sampaikan al-Qur'an? Sayugia diingat iaitu ayat tersebut berada di dalam "jantung" al-Qur'an.

 

Atau mereka berdalih dengan menyatakan bahawa yang dimaksudkan "yang jelas" di situ bukan al-Qur'an. Jika begitu, suruh mereka baca ayat surah Ya Sin ke-69 berbunyi,

"Dan Kami tidak mengajarnya syair; ia tidaklah patut baginya. Ia hanyalah satu Peringatan, dan sebuah al-Qur'an yang jelas." (36:69)

Setelah menerima yang jelas itu al-Qur'an, pergi pula kepada ayat yang menyusul iaitu yang ke-70 berbunyi,

"Supaya dia beri amaran kepada sesiapa yang hidup," (36:70)

Nah! Tuhan kata kepada orang yang hidup. Mengapa pulak mereka baca kepada orang mati? Orang mati tidak mendengar dan tiada satu pun mampu pergi kepadanya kerana adanya barzakh.

 

Tidakkah sia-sia sahaja apa yang mereka lakukan yang dipanggil Tahlil?

 

Mereka lakukannya kerana ikut ajaran sesetengah pihak yang dianggap celik agama. Mereka ikut orang yang Allah larang diikuti. Demikianlah dinyatakan juga dalam jantung berbunyi,

"Ikutlah orang yang tidak minta upah kepada kamu, merekalah orang-orang yang dapat petunjuk yang benar." (36:21)

Orang-orang yang mereka ikut adalah orang-orang yang menerima upah dalam agama. Mereka tidak dapat petunjuk, menurut Allah, lalu apa yang diajar adalah bukan petunjuk yang sebenar.

Seperti itu orang di kaca TV yang mengajar tentang niat (sila rujuk soalan pertama sahabat kita di atas).

Andaikata niat tentukan sesuatu ibadah itu sah atau tidak, atau diterima Allah atau tidak, tentu Dia telah menyebut mengenainya di dalam al-Qur'an. Yang diambil kira, atau diperhitungkan, ialah apa yang diusaha bukan apa yang diniatkan. Sila lihat ayat-ayat berikut:

"tetapi Dia pertanggungjawabkan kamu atas apa yang hati-hati kamu usahakan; dan Allah Pengampun, Penyantun." (2:225)

 

"Dan takutilah akan satu hari di mana kamu dikembalikan kepada Allah, kemudian tiap-tiap jiwa dibayar sepenuhnya apa yang ia telah usahakan, dan mereka tidak dizalimi." (2:281)

 

"Allah tidak bebankan sesuatu jiwa melainkan menurut kesanggupannya. Baginya apa yang ia usahakan, dan ke atasnya apa yang ia usahakan." (2:286)

Cukup banyak ayat yang menyebut tentang apa yang diusahakan, tetapi tiada satu pun mengenai niat yang akan dipertanggungjawabkan.

 

Segalanya atas apa yang diusahakan, atau dilakukan, umpama maksud firman berikut:

"Kamu tidak dalam sebarang hal, dan tidak juga kamu baca sebarang daripada al-Qur'an, dan tidak juga kamu buat sebarang amalan, melainkan Kami saksi-saksi ke atas kamu apabila kamu lakukannya; dan tidaklah seberat satu atom di bumi atau di langit tersembunyi daripada Pemelihara kamu, tidak yang lebih kecil daripada itu atau lebih besar, melainkan di dalam Kitab yang jelas." (10:61)

Malah orang yang bangun sahur dan kemudian berpuasa tidak mungkin berniat lain selain berpuasa walaupun dia tidak melafaz "Sahaja aku puasa pada esok hari ....."

 

Atau orang yang berwuduk, kemudian solat, tidak mungkin ada niat lain selain bersalat walaupun dia tidak malafaz "Sahaja aku solat ....."

 

Ajaran ustaz menambah pada yang hak lalu mengelirukan. Contoh daripada abumuslim - "Ustaz ini kata, puasa tidak diterima jika tidak berniat, tetapi kena puasa juga walaupun tidak diterima puasanya, ....emmm mengelirukan."

 

Puasa tidak diterima, tetapi kena puasa juga! Adakah itu ajaran Tuhan dan Rasul-Nya? Tidak, Islam sebenar tidak mengelirukan. Ia umpama satu pendustaan, yang ditutup dengan satu pendustaan lain.

 

Mengelirukan umat kelihatan sudah jadi pakaian sesetengah orang termasuk pemimpin-pemimpin agama. Selain daripada dicontohkan dalam jawapan kepada e-mel yang lalu sahabat abumuslim ada menyebut lagi tentang kekeliruan dilakukan oleh pihak tertentu di dalam e-mel yang terdahulu, seperti berikut:

From: abumuslim
To: e_bacaan@yahoo.com
Sent: Saturday, August 30, 2008 12:06:55 AM
Subject:

Salamun 'alaikum sahabat,

 

Apa khabar, semoga sihat selalu dan gembira disamping keluarga tercinta hendaknya.

 

Terbaca email seorang pengirim yang memanggil saudara sebagai sahabat, lalu saya juga nak menggunakan panggilan yang sama. :)

 

Bercerita sedikit tentang politik, nampaknya senario politik Malaysia akan berlaku perubahan <dipadam>. Saya bukanlah penyokong mana-mana kem politik, <dipadam>. Saya juga tak pernah kisah siapa yang menang kerana bagi saya ahli politik semuanya sama sahaja, hanya mahukan wang, pangkat dan kuasa. Hari ini kata biru, esok kata coklat, lusa kata kuning, tulat kata biru balik.

 

Hari itu kata jika bersekongkol dengan bukan Islam maka dia juga kafir tetapi kini bila bersekongkol dengan orang kafir, katanya tak apa pula semata-mata kerana inginkan kuasa. Cis, entah apa nak jadi dengan ulama' kita. Hari itu kata orang ini tak boleh dipercayai, hari ini jadi sahabat, itulah politik......

 

Dia kata nak jadikan negara ni negara Islam, tapi sahabat dia kata langkah mayat dia dulu. Bila jumpa tepuk-tepuk bahu. Sekejap tegakkan Islam, sekejap kena kendur. Macam tak ada pendirian. Tapi bila bercakap tentang Islam dialah jaguh dialah wira. Satu pasukan bola yang pengurusnya dan seorang pemainnya Yahudi, ditentang kemasukan mereka; orang Yahudi tak boleh masuk Malaysia, Malaysia negara Islam, tapi sahabat dia kata langkah mayat dia dulu nak jadikan Malaysia negara Islam. Bila jumpa tepuk-tepuk bahu lagi, senyum nampak gigi. Pasukan bola tu nak main bola, yang sahabatnya terang-terang menentang Islam, habis yang mana nak serang ?

 

Dalam politik katanya tak ada lawan tak ada kawan. Esok kawan lusa lawan, lusa lawan tulat kawan.

 

Mengapa Islam dipolitikkan ?

 

Mengapa umat Islam susah nak bersatu, tetapi dengan orang kafir boleh jadi sahabat pula ?.

Sekali lagi, terima kasih sahabat. Maaf kerana beberapa bahagian dipadam untuk fokus kepada perkara yang mengelirukan.

 

Sebagaimana kami menyatakan kain lama dahulu bahawa kami tidak berminat dengan politik tetapi apabila kebenaran Islam dicemari, maka kami rasa terpanggil untuk memprotes.

 

Orang-orang beragama lain, atau bangsa lain, memandang apa yang dilakukan oleh orang-orang atau pemimpin-pemimpin Islam. Tidak mungkin mereka melihat sesuatu yang baik pada Islam akibat tindakan pemimpin-pemimpin berkenaan.

 

Kekeliruan dalam ajaran dan pendirian orang-orang agama menimbulkan kesedaran bahawa apa yang mereka pegang tiada lain kecuali kepalsuan. Itu disebabkan,

"Begitulah Kami adakan bagi tiap-tiap Nabi suatu musuh, syaitan-syaitan daripada manusia dan jin, yang mewahyukan ucapan palsu yang indah-indah kepada satu sama lain, untuk menipu; dan sekiranya Pemelihara kamu hendak, tentu mereka tidak membuatnya. Maka tinggalkanlah mereka dan apa yang mereka ada-adakan." (6:112)

Yang palsu datang daripada selain Allah, iaitu orang-orang yang ingin jadi tuhan atau sekutu-sekutu-Nya. Ayat berikut menjelaskan,

"Itu adalah kerana Allah, Dia Yang Benar (Hak), dan bahawa apa yang mereka seru, selain daripada Dia, itulah yang palsu; dan sesungguhnya Allah, Dia Yang Tinggi, Yang Besar." (22:62)

Dan dirasakan tidak keterlaluan atau bersalah memohon kepada Allah supaya mereka dan apa yang mereka ada-adakan dihapuskan daripada muka bumi ini. Demi menyanjung Allah dan Kitab-Nya semata-mata!

"Dan supaya Dia membenarkan yang benar, dan membatalkan yang palsu, walaupun orang-orang yang berdosa membencinya." (8:8)

 

4.9.08

 

Halaman Utama   Terkini   Perpustakaan   Artikel   Bacaan   E-Mail   Hiasan   Kalimat Pilihan
Keratan Akhbar   Penemuan   Soalan Lazim   Sudut Pelajar   Senarai Penulis   English Articles

Tulis kepada Pengurus Laman